26 October 2010

PENGURUSAN GEREJA SECARA SISTEMATIK

Artikel Disumbangkan Oleh: Ckg. Malijon Malajad (Kota Belud)

Pengenalan

     Terdapat pelbagai tafsiran yang diberikan tentang kepimpinan, misalnya Warren Bennis, menganggap bahawa inti kepemimpinan ialah melakukan hal yang benar. McGregor Burns pula mengganggap kepemimpinan adalah memuaskan dan mengembangkan potensi atau kebolehan diri pengikutnya. Manakala Zakaria Ahmad memberikan tafsiran sebagai satu proses perhubungan di antara dua atau lebih manusia di mana seseorang individu itu cuba mempengaruhi yang lain ke arah pencapaian sesuatu matlamat atau tujuan.

     Menurut Dr. P. Octavianus (Manajemen dan Kepemimpinan Menurut Wahyu Allah), Pemimpin gereja atau lebih tepat pemimpin pergerakan kerohanian dalam Alkitab dan sejarah gereja, adalah mereka yang dipenuhi Roh Kudus. Standard pendidikan belum cukup kalau tidak sungguh-sungguh dipenuhi oleh Roh Allah.

     Berdasarkan kepada Buku Panduan dan Peraturan SIB, seorang pemimpin harus memimpin orang ke suatu arah tertentu. Ia harus mengetahui di mana tempatnya sekarang, tempat mana yang ditujuinya dan jalan-jalan yang harus diikutinya untuk mencapai tempat yang ditujuinya itu.

     Berdasarkan kepada pernyataaan di atas,  kepimpinan dan pemimpin adalah saling berkaitan rapat. Pemimpin adalah individu yang berpengaruh bagi melaksanakan pengurusan di dalam sesebuah organisasi.


Definisi Pengurusan
     Menurur Robbins dan Decenzo (2001 ), pengurusan bermaksud proses menyempurnakan sesuatu tugas dengan cekap dan berkesan dengan individu lain. Mankala Dessler (2001) pula mendefinisikan pengurusan dalam dua deminsi iaitu pengurus dan apa yang dilakukan oleh seorang pengurus.

     Professor Syed Othman-habshi pula berpendapat bahawa pengurusan ialah satu proses mendapat dan mencantumkan sumber kewangan, modal, tenaga manusia dan sebagainya untuk mencapai matlamat organisasi sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Pengurusan itu sebenarnya melibatkan dua faktor iatu modal, tenaga manusia dan alam digabungkan dengan kos, teknologi, kecekapan, jumlah hasil dan jualan serta keuntungan.

     Berdasarkan kepada takrifan di atas, dapat dirumuskan bahawa pengurusan ialah sebagai kemahiran dalam perancangan dan pelaksanaan untuk mencapi sesuatu matlamat.

Definisi Sidang
Berdasarkan Buku Panduan Dan Peraturan Sidang Injil Borneo, memperincikan sidang seperti berikut;
“Sidang dapat diperhatikan dari dua segi: iaitu sidang Umum dan Sidang Tempatan. Erti dasar daripada Sidang ialah SIDANG UMUM yang merupakan tubuh Kristus yang terdiri dari semua orang yang bersungguh-sungguh percaya kepada Tuhan Yesus Kristus, dari segala negara dan bangsa, pada segala jaman, dan bentuk tempatan daripadanya ialah SIDANG TEMPATAN yang merupakan segolongan orang percaya yang biasa berhimpun di suatu tempat tertentu. Sungguhpun begitu, bukan setiap golongan orang percaya yang terbentuk sebuah sidang. Rumusan sidang tempatan di dalam SIB ialah persekutuan orang percaya di suatu tempat tertentu, dengan beberapa orang diantaranya yang sudah dibaptis, mempunyai pemimpin-pemimpin sendiri dan yang berkumpul secara teratur untuk berbakti, mendengan Firman Tuhan dan mengadakan perjamuan Tuhan”. (Sidang Injil Borneo; Panduan Dan Peraturan SIB).

Berdasarkan buku panduan dan peraturan Sidang Injil Borneo terdapat tiga prinsip dalam Firman Tuhan yang menjadi dasar pengurusan sidang iaitu;

  1. Kristuslah Kepala Sidang (Kol 1:18). Dialah yang mempunyai sidang; Ia mendirikannya (Mat 16: 18), memerintahahinya dan menyempurnanya (Ef 5:26-27). PengepalaanNya dilaksanakan oleh kuasa FirmanNya yang tertulis (iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baharu) dan oleh kuasa Rohnya dalam kehidupan orang percaya.

  1. Semua orang yang sungguh-sungguh percaya adalah anggota tubuh Kristus, yang telah diberiNya bermacam-macam karunia untuk membangun Sidang (1 Kor 12:4-31; Ef 4:4-16). Supaya sidang dapat melaksanakan tugasnya dengan sepatutnya, karunia-karunia semua anggotanya harus dipergunakan dengan teratur, dengan lemah lembut dan dengan merendahkan diri seorang terhadap yang lain.

  1. Pelayan-pelayan sidang atau jikalau dikehendaki penatua-penatua (termasuk gembala) dipilih untuk memimpin sidang supaya pekerjaan sidang itu dapat dijalankan dengan selayaknya dan supaya sidang dipelihara dari ajaran palsu (Kis 6:1-6; 1Tim 3:3-13; Tit 1: 5-9; 1Pet 5: 1-4)

      Berdasarkan kepada  prinsip-prinsip ini, setiap sidang tempatan harus diurus sesuai dengan ajaran dalam Firman Tuhan, dipimpin oleh pegawai sidang yang terpilih, serta mempergunakan karunia-karunia rohani yang telah diterima oleh anggota masing-masing.

     Tidak dinafikan bahawa pengurusan geraja yang mantap adalah hasil daripada pengurusan yang sistematik dan berlandaskan kepada Alkitab sebagai bahan rujukan dan panduan yang utama. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh memacu pertumbuhan gereja yang lebih mantap.

Misi dan Visi
     Gereja yang bertumbuh adalah gereja yang berkeupayaan untuk melihat peluang dan cabaran yang mungkin dihadapi pada masa akan datang. Setaiap gereja seharusnya berkeupayaan untuk menyatakan Misi dan Visi dengan jelas agar pengurusan gereja atau sidang mempunyai hala tuju yang jelas. Perkara ini amat membantu untuk mencapai  sasaran dengan jelas dan cara-cara atau perancangan strategik untuk mencapainya.  Seorang pemimpin merumuskan visi bersama, menggerakkan orang bersamanya dan menghasilkan transformasi. Bagi seorang Kristen, seorang pemimpin adalah seorang yang memotivasikan dan menghasilkan seseuatu  perubahan terhadap komuniti yang dipimpinnya.


Pentadbiran Organisasi Yang Mantap

Organisasi
     Organisasi boleh dilihat dari dua sudut iaitu sebagai satu entiti dan sebagai satu proses. Sebagai satu entiti ianya boleh dimengertikan sebagai satu kesatuan atau susunan yang sistematik terdiri daripada bahagian-bahagian di dalam sesuatu pertubuhan atau perkumpulan atau perbadanan untuk tujuan-tujuan tertentu demi kepentingan bersama (Zakaria Ahmad; 1990). Oleh yang demikian sesebuah organisasi yang dinamik dan sistematik adalah dianggotai oleh sekumpulan individu yang bekerjasama untuk mencapai matlamat yang diketui oleh seorang pemimpin.

Prinsip-prinsip Organisasi
     Kejayaan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada beberapa prinsip. Di antara prinsip-prinsip organisasi adalah seperti berikut;

i.                    Memiliki objektif
Tiap-tiap organisasi yang diwujudkan mesti mempunyai objektif atau beberapa objektif. Pada kebiasaan organisasi akan dibahagikan kepada beberapa unit dan unit-unit ini akan bergerak menyumbang ke arah pencapaian objektif organisasi secara menyeluruh. Tiap-tiap unit hendaklah diberi objektif yang jelas supaya matlamat bersama tercapai.

ii.                  Keselarasan Arahan
Organisasi mesti mempunyai seorang ketua dan aktivitinya di atur berdasarkan kepada objektif yang sama. Perkara ini penting untuk menjamin keselarasan arahan.

iii.                Keselarasan Perintah
Prinsip ini menyatakan bahawa tiap-tiap individu menerima perintah atau arahan dari seorang ketua dan bertanggungjawab kepadanya. Jika tidak, akan berlaku konflik dikalangan orang yang dipimpin atau anggota yang dipimpin.. Jika situasi ini akan berlaku akan menimbulkan salah faham dan menambah kesilapan dan kerja yang kurang produktif.

iv.                Pengkhususan Kerja
Bagi menjamin kecekapan dan mengurangkan pembaziran serta mengelakkan pertindihan dan perulangan tanggungjawab, tiap-tiap individu, unit atau bahagian akan diberikan tugas yang tertentu. Di dalam pengurusan gereja secara umumnya terdapat empat pengkhususan kerja yang jelas iaitu Majlis Sidang, Persekutuan Wanita, Persekutan Pemuda Pemudi dan Persekutuan Sekolah Minggu. Setiap cabang persekutan ini haruslah memainkan peranan yang dinamik dan mengenali dengan jelas kebolehan setiap anggota yang terdapat di dalamnya.

v.                  Delegasi
Pengagihan kerja atau tugasan oleh ketua kepada orang-orang yang dipimpinnya berdasarkan kepada kebolehan dan kemahiran masing-masing. Kebiasaanya ketua akan mewakilkan beberapa kerja kepada individu-individu yang layak untuk menjalankannya. Walau bagimanapun ketua masih bertanggungjawab mengenai hasil kerja dan implikasi-implikasinya.

vi.                Kuasa dan Tanggungjawab
Kuasa dan tanggungjawab hendaklah digunakan atau diberikan secara berpatutan apabila tugas diberi kepada pekerja-pekerja bawahannya supaya tanggungjawab dapat dijalankan dengan lancar.

vii.              Kemampuan kawalan
Mengikut prinsip ini seseorang ketua mampu bertanggungjawab dan menyelia beberapa orang pekerja di bawahnya. Bilangan ini adalah tertakluk kepada jenis kerja yang dijalankan. Setiap kerja atau sasaran yang telah ditetapkan haruslah di pantau atau diselia untuk mengenal pasti kemajuan yang berjaya dicapai di samping mengenal pasti halangan atau cabaran yang di hadapi.

viii.            Hiraki
Organisasi dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu atasan, pertengahan dan bawahan. Pembahagian kerja dan kuasa adalah berdasarkan kepada kedudukan dimana individu itu berada.

ix.                Perseimbangan
Ketua organisasi adalah bertanggungjawab untuk memberikan perhatianya yang adil kepada semua fungsi pengurusan dan memberi layanan yang adil kepada semua pekerja di bawah jagaannya.


x.                  Latihan Kepimpinan
Setiap individu yang terdapat di dalam pentadbiran atau organisasiu perlu diberi kursus atau orentasi bagi memberikan kefahaman terhadap peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Latihan kerohanian hendaklah diberikan penekanan. Latihan yang berterusan adalah diperlukan supaya pendidikan kemanusiaan diberi penekanan. Kursus kepimpinan perlu diberi dari masa ke semasa.

xi.                Hubungan Kepimpinan Dan Organisasi
Tidak dinafikan bahawa perhubungan atau komunikasi di kalangan kepimpinan di dalam sesebuah organisasi memainkan peranan yang penting untuk mewujudkan keharmonian bagi mengelakkan salah faham. Organisasi diwujudkan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Kerja mesti diurus secara bertanggungjawab dan dedikasi. Tercapai atau tidak matlamat yang telah ditetapkan bergantung kepada keberkesanan corak kepimpinan yang diamalkan oleh organisasi tersebut. Semua ini memerlukan kerjasama dan pemimpin-pemimpin yang berkesan.

Strategi  Pelaksanaan Memantapkan Pentadbiran Gereja
Kristus adalah kepala kepada semua perkara di dalam hal-ehwal gereja. Akan tetapi di dalam pelaksanaannya faktor atau sumber manusia juga memainkan peranan yang penting. Berikut adalah beberapa langkah atau saranan bagi memantapkan lagi pentadbiran gereja.

i.        Memantapkan Sumber Manusia
Pemimpin itu penting untuk mengetuai sesebuah organisasi. Seorang pemimpin bukan saja berkamahiran didalam selok belok pengurusan akan tetapi ia juga memerlukan pemantapan rohani. Bersandar kepada kekuatan manusia adalah usaha yang sia-sia. Kerana apa yang dilakukan atas dasar manusia akan mengharapkan sesuatu ganjaran yang nyata secara material terhadap usaha-usaha yang dilakukan. Pekerjaan atau pelayanan terhadap Tuhan adalah berlandaskan kepada penggilan daripada Tuhan untuk melaksanakan misinya di muka bumi ini.

Ilmu pengetahuan yang mantap terhadap kerohanian amat diperlukan oleh setiap pemimpin gereja kerana kepimpinan duniawi dan kepimpinan rohani adalah berbeza sebagaimana yang dijelaskan didalam firman tuhan berikut;

  Tetapi Yesus memanggil mereka lalu berkata: Kamu tahu, bahwa mereka yang disebut pemerintah bangsa-bangsa memerintah rakyatnya dengan tangan besi, dan pembesar-pembesarnya menjalankan kuasanya dengan keras atas mereka.
 (Markus 10:42-44)

     Seorang pemimpin duniawi  memerintahkan dan manaruh kuasa atas rakyat atau pengikutnya dan sering menggunakan kuasa untuk kepentingan diri. Seorang pemimpin rohani melaksanakan kepimpinan di bawah pengepalaan Kristus serta melayani orang yang dipimpinnya dengan kasih. Mengamalkan keperibadian yang baik dan bersedia menyerhkan diri untuk melayani dengan rendah hati dan berusaha bersungguh-sungguh memperdalamkan pengetahuan para jemaat yang dipimpin terhadap kerohanian.

ii.      Menilai Kemajuan Sidang
Seorang peimpin haruslah berkebolehan menilai kemajuan atau perkembangan sidang yang dipimpin dari masa ke semasa. Segala kelemahan diperhatikan dan diambil tindakan yang sewajarnya untuk mengatasinya. Kemajuan sidang bukan semata-mata diukur kerana banyaknya harta akan tetapi kemajuan sebenar sesebuah gereja adalah kualiti Iman bagi setiap anggotanya. Kebajikan anggota sidang harus diperhatikan  agar mereka merasakan diri dihargai.

iii.    Bersikap Terbuka
Seorang pemimpin sidang yang baik bukan saja berwawasan akan tetapi bersedia menerima teguran atau kritikan  yang membina daripada anggota yang dipimpinnya. Sikap ini akan mendorong jemaat untuk memberikan cadangan-cadangan yang membina demi kebaikan bersama.

iv.    Mempunyai Perancangan Jangka Pendek dan Jangka Panjang
Perancangan adalah panduan bagi kepimpinan gereja untuk menggerakkan aktiviti. Setiap perancangan dirancang dengan teliti agar tidak terlalu membebankan dari segai masa dan tenaga. Perancangan boleh dibuat secara berperingkat seperti 10 tahun, 5 tahun, 1 tahun atau bulan mengikuti kesesuaian dan persetujuan daripada anggota-anggota yang lain.

v.      Memiliki Keperibadian Yang baik
Seorang pemimpin haruslah memiliki sifat-sifat yang baik agar menjadi contoh teladan yang baik kepada jemaatnya. Antara sifat yang perlu ada bagi seorang pemimpin adalah seperti berikut;

a.       Tidak Bercacat  (1 Tim 3:2). Secara harfiah, ungkapan itu bererti “tidak ada pun yang herus diperbaiki” , iaitu seharusnya dalam kehidupannya sama sekali tidak ada yang digunakan oleh Iblis atau orang yang belum diselamatkan untuk mengkritik atau menyerang jemaat – Warren W.Wiersbe (1981).

b.      Memiliki Kawalan Diri Yang Baik (1 Timotius 3:2) agar mempunyai kesabaran  tidak bertindak secara terburu-buru di dalam membuat sesuatu keputusan.

c.       Bijaksana (1 Timotius 3:2) didalam membuat keptusan dan kemahiran yang tinggi terhadap firman Tuhan. Perkara ini penting agar pengajaran yang disampaikan kepada jemaat dapat dilaksanakan dengan betul.

d.      Bukan Pemarah (1 Timotius 3:3), Tidak suka bertangkar atau suka mencari-cari kesalahan orang lain.

e.       Tidak Rasuah atau Tamak (1 Timotius 3:3),  tidak menggunakan pelayanan untuk mengumpul kekayaan untuk kepentingan sendiri.

f.        Peramah dan Sopan (1 Timotius 3:3), mengamalkan sikap ramah dan sopan kepada jemaat atau sesiapa sahaja semasa melakukan urusan dan pada masa yang sama bersedia untuk mendengar pendapat orang lain.

g.       Tidak Bercabang Lidah (1 Timotus 3:8), merupakan sikap suka menipu, berbohong atau memfitnah orang lain. Seorang peimpin seharusnya jujur di dalam segala perlakuannya.

h.       Bukan Pemabuk (1 Timotius 3:8), perkara ini bukan saja tidak sopan akan tetapi banyak mendatangkan keburukan terhadap kesihatan rohani, mental dan fizikal. Orang yang mabuk tidak mempunyai kawalan diri dari segi tingkahlaku atau pertuturan.

i.         Dapat menyampaikan ajaran yang benar (1 Timotius 3:2) terhadap jemaah yang dipimpin. Mengajar firman Allah adalah salah satu pelayanan yang utama bagi seorang pemimpin. Oleh itu seorang pemimpin seharusnya memiliki keinginan yang tinggi untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dari masa ke semasa.

j.        Suka Memberi Tumpangan (1 Tim 3:2), memiliki kasih. Ini adalah suatu pelayanan yang penting dalam jemaat yang mula-mula kerana orang-orang percaya yang mengadakan perjalanan jauh memerlukan tempat penginapan
      (Rom 12:13)


Kesimpulan
     Sesungguhnya pemantapan pengurusan gereja amat diperlukan untuk melaksanakan pembangunan dan perkembangan gereja pada masa depan. Komedenan dan kecanggihan teknologi maklumat telah memberikan cabaran yang lebih berat kepada para pemimpin kerana melalui perkembangan ini manusia lebih bersikap individualistik dan materialistik yang menyebabkan mereka lupa kepada Tuhan. Oleh itu setiap pemimpin pada setiap peringkat perlu berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan pemantapan kerohanian bagi mengatasi segala cabaran yang mendatang.

Rujukan
SIB Sabah (1989). Buku Panduan Dan Peraturan Sidang Injil Borneo.SIB Sabah dan Sarawak: Sidang Injil Borneo

Warren W.Wiersbe (1981). Setia Di Dalam Kristus. Bandung: Yayasan Kalam Hidup.

Richard Samporoh (1999). Sejarah Gereja Sidang Injil Borneo: Nipuhawang Publishing:
Kuala Lumpur

Robert E Coleman (1972). Perancangan Pelan Induk Untuk Penginjilan. National
Evangelical Christian Fellowship Malaysia: Malaysia.

Robert H.Schuller (1992). Keuletan Kunci Keberhasilan. PT BPK Gunung Mulia:
Jakarta.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Pembelajaran Akses Kendiri. Kuala Lumpur:
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan
Misi. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.




Reactions:

0 comments :

Post a Comment

Sila Berikan Komen ATAU Sumbangan Artikel/Bahan Anda:-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...