23 October 2015

KUASA AUTONOMI SABAH SEPATUTNYA DILAKSANAKAN,BUKAN UNTUK DITUNTUT!

KUASA AUTONOMI SABAH SEPATUTNYA DILAKSANAKAN,
BUKAN UNTUK DITUNTUT!
 
Kebangkitan Sabahan bersuara menuntut autonomi, kini semakin menyeluruh. Semua Sabahan, tidak kira apa pun latar, tidak akan rugi apa pun jika autonomi penuh untuk Sabah dilaksanakan. Gerakan menuntut autonomi ini mampu menyelamatkan Persekutuan Malaysia dari terbubar, sebab jika gagal dalam tuntutan autonomi, sudah ada gerakan segelintir anak anak muda yang benar-benar mahu Sabah merdeka total dari cengkaman Malaya.

   Tuntutan autonomi sebenarnya bukan perkara yang baru mahu dituntut dan dirundingkan. Kita membentuk Malaysia bukan tidak menyerahkan Sabah ke tangan Malaya. Tapi kita berada dalam Malaysia disebabkan adanya jaminan dan janji. Jaminan dan janji itu adalah autonomi penuh untuk Sabah. Jadi, persoalannya sekarang, bukannya menuntut autonomi tetapi melaksanakan autonomi itu sendiri.

Bagaimana kita boleh yakin bahawa autonomi itu memang hak Sabah?
Kita kembali sebelum adanya Malaysia, kita ingat kembali jaminan dan janji Tunku Abd. Rahman;
"Bukan niat Malaya untuk menjajah Sabah. Era penjajahan sudah berakhir. Sabah akan memerintah sendiri. Sabah adalah RAKAN KONGSI sama taraf dalam Malaysia"


    Bukankah itu petunjuk jelas bahawa Sabah sebenarnya sebuah NEGARA berautonomi penuh, walaupun memilih berada dalam Malaya. Pada tahun 1963, tidak akan terjadi perang antara Malaya dan Sabah, andai saja Sabah memilih untuk membina negara berdikari pada masa itu. Buktinya, Brunei, yang memilih untuk kekal dalam naungan British sehinggalah  mereka benar-benar bersedia merdeka.

  Kita juga boleh merujuk dokumen-dokumen lain seperti Laporan IGC, Perjanjian Malaysia, 20 Perkara dan Batu Sumpah.  Begitu juga dengan petikan-petikan akhbar ketika era pembentukan Malaysia. Sarawak terutamanya, terjadi himpunan besar-besaran untuk menolak penggabungan.
Sabah pula kemukakan 20 Perkara, yang bersifat perlindungan untuk Sabah. Perlindungan bermaksud autonomi.

   Tidak cukup dengan apa yang tertulis di kertas, masyarakat pedalaman dengan tegas memahat di batu, bahawa Kerajaan Malaysia Jamin urusan tanah, adat istiadat Sabah, adalah hak mutlak Sabah sendiri. Kita boleh juga rujuk amaran-amaran oleh Pegawai Inggeris jika kita dalam Malaysia. Dengan yakin mereka mengatakan, Malaysia akan gagal juga akhirnya, jika pembentukan negara baru ini bersifat sekadar Malaya ambil alih Sabah dari tangan British.  Mereka juga beri amaran, jika terjadi penggabungan, pemimpin Sabah hanya bertaraf kuda, sedangkan penunggangnya kelak adalah Malaya.  Musa Aman benar-benar kini hanya bertaraf kuda, dipergunakan untuk menjaga kepentingan Malaya di Sabah.

  Perlu juga kita lihat kebimbangan Tun Fuad. Beliau dengan yakin meramalkan, Sabah akan jatuh taraf menjadi hanya negeri dalam Malaysia, jawatan akan diambil Malaya dan Sabah akan dijajah Malaya. Bukankah benar ramalan itu?

  Dari kupasan-kupasan di atas, bukankah itu bermakna Sabah memang sebuah negeri berautonomi dalam Malaysia? Maka wajar untuk Kerajaan Negeri Sabah melaksanakan autonomi itu, dan sama sekali tidak ada keperluan untuk menuntutnyaSebagai kerajaan yang mendapat mandat rakyat, Kerajaan Sabah sepatutnya menuntut autonomi, tapi sepatutnya bertindak melaksanakan autonomi itu. Maka apa semua bentuk autonomi yang Sabah berhak?  Jawapannya, kita boleh rujuk "20 Perkara" dan juga rujuk pentadbiran Sabah di awal-awal kemerdekaan. Sabahan patut ada pasukan keselamatan sendiri, contohnya dulu kita ada Border Scout, yang amat berkesan mengawal perairan Sabah, dan tanpa teknologi canggih. 

 Sabahan patut ada IC sendiri, Ada Suruhan Jaya Pilihan Raya sendiri, Lembaga Hasil Cukai sendiri, Sistem Pendidikan sendiri, Bahasa Kebangsaan sendiri, Hak untuk berdagang dengan negara luar sendiri. Hak untuk mengurus sumber sendiri seperti tanah, minyak dan sumber manusia. Melucutkan kepentingan Petronas di Sabah dan menawarkan konsesi yang baru dan adil.

  Hak untuk menyertai Olimpik, Piala Dunia dan semua temasya sukan peringkat dunia. (ingin bayangkan kita tumpaskan Harimau Malaya dalam Sukan SEA). Parti-parti politik, dan urusan kerajaan negeri yang langsung tiada campur tangan oleh Presiden parti dari Malaya. Kita hanya bersedia untuk berkongsi dengan Malaya berkaitan mata wang yang sama dan berkaitan dengan keselamatan dari ancaman negara luar. Dan jangan pernah kita lupa Artikel 8, Perjanjian Malaysia;  "Kerajaan Sabah boleh ambil apa-apa tindakan, untuk semua jaminan, syor dan aku janji pembentukan Malaysia itu dilaksanakan" Kerajaan Negeri boleh bawa kes ke Mahkamah ICJ. Kerajaan Negeri boleh bentang di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melaksana semua jaminan-jaminan itu. Dan terpenting, kita tidak perlu kebenaran Malaya untuk lakukannya.

   Tapi dengan parti dari Malaya, dengan boss parti dari Malaya, seekor kuda tidak mungkin akan berani utk melaksanakan autonomi itu. Pilihan di tangan kita! Ini tahun 2015 dan bukan lagi 1963. Sabahan, walau apa latar sekali pun, perlu bangkit dan bersatu agar AUTONOMI PENUH dapat dilaksanakan.

Oleh: Tuan Jalibin Paidi
Reactions:

0 comments :

Post a Comment

Sila Berikan Komen ATAU Sumbangan Artikel/Bahan Anda:-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...