27 October 2015

USA-GABUNGAN dalam dilema, antara realiti dan fantasi


“USA-GABUNGAN dalam dilema, antara realiti dan fantasi”


  Selama 50 sebelum ini rakyat Sabah tidak pernah mengeluh secara terang-teragan kepada pemimpin-pemimpin politik Malaya. Kelihatannya semua perancangan awal penjajahan Malaya kepada Sabah dan Sarawak berjalan baik dan lancar. Tetapi sejak 2 tahun kebelaksngsn ini, rakyat Sabah mulai bangkit untuk menyuarakan ketidakpuashatian mereka terhadap cara laku pemerintah persekutuan, khususnya yang ditunggangi oleh pemimpin-pemimpin politik dari UMNO.

  Bermula di era perjuangan politik Dr. Jeffrey Kitingan, di mana hasratnya untuk menyedarkan rakyat Sabah bahawa Sabah sedang dijajah dan dinafikan hak-haknya dalam bukunya yang bertajuk “Sabah Land Below The Wind” dan
"The 20 Points". Akibatnya harga yang perlu dibayar oleh Dr. Jeffrey adalah merengkuk dalam penjara kerana menegakkan kebenaran itu dianggap suatu kesalahan. Maka mulailah pemimpin-pemimpin Sabah menjadi dayus kerana insiden penangkapan itu.

  Tahun 1976 adalah tahun malang bagi Sabah, di mana 3 kejadian besar berlaku. Pertama tragedi kematian pemimpin-pemimpin utama Sabah, kemudian disusuli dengan penyerahan 95% hasil minyak Sabah diserahkan kepada Petronas, di mana ini sebabnya urusan pemimpin-pemimpin utama Sabah yang terkorban dalam nahas helikopter itu untuk berangkat ke Kuala Lumpur bagi menyelesaikan ketegangan kerana rasa tidak puas hati oleh pemimpin-pemimpin Sabah terhadap agihan  hasil  minyak  Sabah  yang  dibuat oleh pihak
pemerintah ketika itu. Kemudian malang yang ketiga adalah status Sabah sebagai sebuah Negara diturunkan kepada Negeri dan dimasukkan dalam senarai negeri Persekutuan Malaya yang pada mulanya 11 buah negeri. Perkara ini turut berlaku kepada negara Sarawak, di mana statusnya diturunkan sebagai negeri. Beberapa tahun kemudian, daerah Labuan pula diserahkan oleh pemimpin Sabah kepada kerajaan persekutuan tanpa persetujuan dari rakyat Labuan dan dengan cara yang tidak sepatutnya. Semua perkara ini berlaku pada era pemerintahan parti-parti politik tempatan yang begitu lemah mengurus tadbir kerajaan Sabah pada ketika itu.

Ringkasan Sejarah Politik Tempatan Sabah
  Pilihan Raya pertama di Sabah telah diadakan pada 16 Disember 1962 di bawah Local Government Elections Ordinance untuk 118 ward di pihak berkuasa tempatan. Setiausaha Kolonial bagi Kerajaan Tempatan selaku Penguasa Pilihan Raya bertanggungjawab menjalankan Pilihan Raya tersebut. Semua urusan pilihan raya berjalan dengan lancar. Kempen pilihan raya dibuat melalui corong radio yang tersedia, melalui mendia cetak dan risalah bagi tujuan untuk memberi kefahaman kepada rakyat Sabah ketika itu. Pendek kata, pilihanraya ketika itu benar-benar telus dan demokrasi tanpa sekatan kebebasan bersuara.

Tujuan parti-parti tersebut ditubuhkan kerana Sabah ingin mencapai kemerdekaan melalui kerajaan British dan tidak mahu menyertai pembentukan Persekutuan Malaysia yang telah diwar-warkan ketika itu. Rakyat Sabah dan Sarawak menginginkan kerajaan British untuk duduk lebih lama sehingga mereka mencapai kemerdekaan sendiri. Isu pembentukan Persekutuan Malaysia semakin dicanangkan dan sangat merisaukan pemimpin-pemimpin tempatan sehingga jalan terbaik yang dilakukan adalah menubuhkan parti masing-masing dengan tujuan menyuarakan pendapat melalui parti yang mereka wakili. Senario pembentukan dan kemunculan parti-parti politik tempatan berlaku begitu drastik dan singkat sekali.

  Parti pertama yang muncul adalah UNKO muncul pada bulan Ogos 1961, yang diasaskan dan diterajui oleh Donald Stephen. Di mana parti ini lebih sinonim dengan suku Kadazan dan beragama Kristian. Parti UNKO begitu keras untuk menentang pembentukan Persekutuan Malaysia ketika itu. Untuk mengseimbangkan keadaan, sekitar bulan Disember 1961 maka parti USNO pula ditubuhkan demi menjaga keharmonian dan perpaduan rakyat yang beragama Islam. Pada tahun 1962, satu lagi parti tempatan yang wujud mewakili Kadazan ketika itu ialah United National Pasok Momogun Organization. Parti ini juga membantah Sabah menyertai Pembentukan Malaysia. Akhirnya bila Sabah bersetuju untuk membentuk Malaysia, maka parti United National Pasok Momogun Organization dan UNKO bergabung menjadi satu dengan nama baru iaitu United Pasok Momogun Kadazan Organization (UPKO). Kembali lagi pada sekitar tahun 1962 wujud pula parti-parti yang mewakili kaum Cina, antaranya ialah Democratic Party (Jesselton), United Party (Sandakan), kemudian kedua-dua parti Cina ini bergabung menjadi satu yang dinamakan sebagai Borneo Utara National Party (BUNAP). Bilamana Sabah sudah bergabung membentuk Persekutuan Malaysia, parti ini bertukar nama menjadi Sabah National Party (SNP), dan kemudiannya pada bulan Mei 1965 parti ini sekali lagi menukar nama dengan nama baru iaitu Sabah Chinese Association (SCA).

   Selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, parti-parti perikatan tempatan sudah mulai bergeser dan bertelagah antara sesama kerana perbezaan pendapat. Pilihanraya umum Sabah yang pertama diadakan pada bulan April 1967, parti-parti politik tempatan berterusan berselisih faham. Namun dua parti sahaja yang berpeluang untuk membentuk kerajaan iaitu USNO dan SCA. Kerana kemelut dalaman parti-parti politik khususnya parti yang mewakili Kadazan (Kini disebut KDMR) tidak dapat diselesaikan, maka ramai ahli-ahli UPKO yang keluar dan menyertai USNO. Akhirnya UPKO berakhir dengan satu sejarah kehancuran akibat perselisihfahaman antara pemimpin dalaman.


 Parti USNO dan SCA terus memerintah kerajaan Sabah sejak tahun 1967 sebelum munculnya Parti Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pada tahun 1975. Beberapa pendapat bahawa Parti BERJAYA adalah medium pemimpin-pemimpin politik Malaya untuk mulai memasuki teritori Sabah sehingga dapat menaklukkan Sabah sepenuhnya dan hasrat mereka melalui Pembentukan Malaysia dapat direalisasikan terhadap Sabah. Buat pertama kalinya Parti BERJAYA telah memenangi Pilihan Raya Umum pada tahun 1976 dengan menewaskan Parti
Perikatan Sabah. BERJAYA terus berjaya mentadbir kerajaan Sabah sehinggalah ia didapati melakukan kesalahn dengan menyerahkan Pulau Labuan kepada Malaya. Pada tahun 1984, Joseph Pairin Kitingan dan beberapa rakannya keluar dari parti BERJAYA dan menubuhkan parti baru iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS). Akhirnya parti BERJAYA kalah teruk dalam pilihan raya itu dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menerajui kerajaan Sabah sehingga tahun 90an.

Parti UMNO Malaya Mengintai Peluang


   Kekuatan Parti Bersatu Sabah tidak dapat dinafikan dan sangat menyerlah bilamana parti ini dengan lantang menyuarakan agenda Borneo, hak-hak Sabah seperti yang terkandung dalam buku tulisan Dr. Jeffrey Kitingan yang menyebabkan ia ditangkap dengan Akta Hasutan 1948. Isu mengenai 20 PERKARA mulai hangat diperkatakan dan dituntut oleh pemimpin-pemimpin PBS agar persekutuan melaksanakannya, di mana kuasa autonomi harus dilaksanakan di Sabah.

   Pemimpin-pemimpin politik Malaya sudah lama berhasrat untuk memasuki dan campur tangan urusan politik Sabah, namun tidak ada ruang dan peluang yang membolehkan parti UMNO untuk mencapai hasratnya. Walaupun orang Sabah yang bernama Datuk Muhammad Dun Banir dan beberapa rakannya cuba untuk menaja parti UMNO masuk ke Sabah sekitar tahun 1980an, tetapi usaha itu gagal sama sekali.



   Peluang demi peluang diintai oleh parti Malaya ini dengan rakus dan lahapnya tidak sabar-sabar untuk menakluki politik Sabah. Kekuatan Parti Bersatu Sabah ketika itu sungguh diluar jangkaan mereka. Sehingga suatu ketika PBS pernah berhasrat untuk keluar dari gabungan Persekutuan Malaysia. Perkara ini menggemparkan rakyat Malaysia, dan ramai rakyat Sabah yang membantah khususnya mereka yang tidak tahu Sejarah sebenar kerajaan Sabah dan pembentukan Malaysia. Sehingga rakan seperjuangan dalam PBS pun turut membantah hasrat itu. Perkara ini terus diintai oleh UMNO untuk mencari kelemahan dan peluang untuk meneruskan hasrat mereka. Sekitar 1990-1994,
keretakan mulai berlaku kepada Parti Bersatu Sabah akibat sogokan, hasutan dan pujukan pemimpin-pemimpin Malaya khususnya dari parti UMNO. Senario politik Sabah terus menjadi kucar kacir. UMNO melakukan satu cara dengan menaja parti-parti tempatan seperti parti AKAR, PBRS, SAPP, PDS (UPKO) dengan mengambil beberapa pemimpin utama dari PBS yang keluar untuk menjadi Presiden parti tajaan itu.


   Parti Bersatu Sabah masih berusaha untuk bernafas dengan melakukan kerjasama dengan parti nasional seperti Semangat 46 pimpinan Razaliegh Hamzah, tetapi gagal. Akhirnya mencuba nasib untuk bersatu dengan USNO, namun pakatan ini pun menemui kegagalan. Semua kegagalan ini diakibatkan oleh pemimpin-pemimpin Malaya yang berkobar-kobar dan tidak sabar untuk
masuk dan menakluki Sabah melalui parti UMNO. Akhirnya sekitar tahun 1994 dan tahun-tahun berikutnya maka hasrat yang lama terpendam dan diimpi-impikan oleh pemimpin politik Malaya, khususnya UMNO menarik nafas dengan lega apabila mendapat peluang untuk memasuki Sabah. Walaubagaimanapun, pada awal kemasukan UMNO, mereka agak sukar melakukan sesuatu sehinggalah
parti USNO dijadikan kambing hitam untuk membunuh kekuatan PBS. Parti USNO terus diperalatkan oleh UMNO akhirnya berjaya menakluki Sabah, dan dalam masa yang singkat parti USNO turut dikuburkan oleh UMNO selama-lamanya setelah berjaya dengan taktiknya, istilah ‘habis madu sepah dibuang’ begitulah yang berlaku kepada parti USNO yang lahir sejak tahun 1960an.

   Sejak kemasukan UMNO di Sabah, para pemimpin politik Sabah menjadi kucar-kacir sekali lagi, malah lebih buruk sebelumnya. Semua rangka kepemimpinan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin tempatan Sabah sebelum ini telah diubah secara drastik sehingga parti UMNO adalah tuan kepada semua parti komponen Barisan Nasional ketika itu. Parti-parti politik tempatan hasil ciptaan dan tajaan UMNO terus menerus dijadikan kambing hitam dalam segala pelaksanaan agenda UMNO tanpa disedari oleh parti politik tempatan. Tidak dapat dinafikan bahawa segelintir pemimpin tahu akan hal ini, tetapi sengaja berdiam diri kerana takut kehilangan peluang dan karier politik peribadi.

   Parti PBS akhirnya mengalah dan kembali dengan segan silu menjilat semua tomahan dan carcian mereka terhadap Barisan Nasional sebelum ini. Namun untuk meneruskan karier politik, mereka melakukan tindakan menyertai Barisan Nasional tanpa menghiraukan perjuangan awal parti ini. UMNO terus berkuasa dan menjadi dalang dari segala masalah di Sabah dan diperingkat nasional dalam Malaysia.

Angin Perubahan Rakyat Sabah Bermula
   Tidak dapat dinafikan, bahawa perjuangan agenda Borneo dan 20 Perkara telah dimulakan oleh Dr. Jeffrey Kitingan. Di mana ia telah membuat satu ketetapan perjuangannya dari awal untuk memperjuangan hak-hak Sabah berkaitan dengan Perjanjian Malaysia, namun disalah tafsirkan oleh musuh-musuh politiknya. Sehingga dalam perjalanan politiknya, kadangkala ia
mengikut rentak dan kadangkala menyimpang demi untuk meneruskan hasratnya. Banyak parti-parti politik yang dibawanya untuk menggalas perjuangan Borneonisasi, tetapi pemimpin-pemimpin parti tempatan tersebut tidak mampu dan tidak mau menanggung risiko kehilangan keistimewaan dari pelbagai sudut. Yang paling utama ialah, parti-parti politik tempatan Sabah seperti sudah dibuatkan ‘cip’ yang ditanam ke akar umbi parti tersebut agar pihak UMNO dapat dengan bebas mengawal parti-parti ini walau dari jarak jauh.

   Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 berlaku, satu gerakan kebangkitan rakyat secara kecil-kecilan bermula di laman sosial Facebook. Kumpulan facebook yang dinamakan sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) mulai bersuara dengan berani dan lantang dan turut disertai dengan emosi-emosi negatif untuk menarik minat rakyat dan dengan tujuan mendidik rakyat Sabah dan Sarawak bagi mengetahui sejarah sebenar kerajaan Borneo yang telah dimanipulasi selama lebih 50 tahun melalui pelbagai medium khususnya dalam sistem pendidikan, iaitu mata pelajaran Sejarah. Kumpulan ini terus aktif dan mendapat reaksi yang positif dan negatif dari pelbagai pihak.

 SSKM bergerak sendiri tanpa campur tangan pemimpin politik dan dipengaruhi oleh ideologi politik tempatan tertentu. Setahun kemudian, mulai muncul aktivis-aktivis persendirian dari ahli-ahli parti tempatan yang bergerak sendirian dan lantang menyuarakan hak-hak Sabah. Beberapa parti politik tempatan juga mengambil kesempatan ini untuk turut menyuarakan apa yang sebenarnya disuarakan oleh kumpulan SSKM ini. Ternyata semua perkara yang didedahkan oleh kumpulan SSKM ini adalah benar sehingga ianya terus bertahan sehingga sekarang (2015).

   Senario baru berlaku terhadap politk Sabah pada PRU-13, di mana sekali lagi Dr. Jeffrey Kitingan yang menjadi buruan para blogger, aktivis politik dan penganalisa politik untuk mengetahui apakah rancangannya selepas ini. Sekali lagi Dr. Jeffrey Kitingan mencatat sejarah dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat dan hasratnya masih pada konsep awal, iaitu memperjuangkan hak-hak Borneo. Dalam rangka kerjasama yang dibuat, Dr. Jeffrey telah membuat satu usul (Deklarasi Tambunan) kepada penasihat dan pemimpin utama PKR, iaitu
Anwar Ibrahim. Tetapi malangnya perkara yang diutarakan oleh Dr. Jeffrey itu ditolak kerana dilihat akan memberikan keistimewaan penuh kepada rakyat Sabah dan akhirnya pemimpin-pemimpin Malaya akan terpinggir dari meneruskan keuntungan di Sabah seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Dr. Jeffrey dalam delima buat seketika, namun segala persoalan terjawab bilamana ia bekerjasama dengan parti tempatan dari Sarawak iaitu STAR dengan menjadi
penaja parti itu ke Sabah. Musuh-musuh politikya mengambil kesempatan sekali lagi untuk memburuk-burukkan Dr. Jeffrey kerana keluar dari PKR dengan tuduhan tiada pendirian dalam politik. Sedangkan Dr. Jeffrey bertindak keluar dari PKR kerana agenda Borneo yang diperjuangkannya ditolak oleh pemimimpin Malaya.

   STAR ketika itu bergerak bersama badan NGO, iaitu United Borneo Front (UBF). Dalam siri pertemuan dan kempen parti STAR sebelum menghadapi PRU-13, mereka telah cuba untuk memperjelaskan sejarah, hak-hak Sabah, 20 Perkara dan kuasa autonomi Sabah. Di sinilah dengan bebas Dr. Jeffrey meluahkan segalanya dan intipati sebenar perjuangannya. Namun rakyat Sabah masih nyenyak tertidur disebabkan oleh elusan janji-janji UMNO. Rakyat hanya tersenyum dan tersengih dengan agenda yang dibawakan oleh parti STAR. Dalam masa yang sama, parti SAPP bekas
komponen Barisan Nasional yang telah bertindak keluar dari komponen Barisan Nasional kerana menyedari bahawa keadaan perlu diperbetulkan segera, di mana Sabah harus diselamatkan dari masalah pendatang tanpa izin yang telah dilakukan olehpemimpin-pemimpin UMNO. Parti SAPP adalah parti pimpinan Yong Teck Lee yang juga pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dalam sistem penggiliran Ketua Menteri yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir Muhammad.

   Sebelum pilihan raya ke-13, SAPP mulai dengan tegas bersuara mengenai soal autonomi Sabah dan isu masalah PTI yang semakin merungsingkan Sabah, agenda perjuangan SAPP lebih mengukuhkan fakta bersama antara parti STAR. Dari sudut lain, kelihatan SAPP selari dengan STAR, tetapi dalam hal-hal tertentu mereka bertentangan. Namun pertentangan yang muncul sebenarnya hanyalah “soal peribadi dan kredibiliti pemimpin”, saling mengungkit kesilapan dan kesalahan yang pernah berlaku sebelum ini. Akibat sejarah politik pemimpin utama STAR dan SAPP maka memberikan peluang besar PAKATAN RAKYAT (PKR, DAP PAS) untuk meraih populariti bagi menarik perhatian pengundi Sabah ketika itu. Soal apa yang diperjuangkan oleh parti STAR dan SAPP tidak lagi menjadi hal yang penting difikiran rakyat, tetapi sentiasa mendapat impak keburukan dari sejarah politik peribadi.

   Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, STAR dan SAPP pernah berhasrat untuk bergabung dalam perjuangan yang hampir sama, namun gagal akibat daripada penyokong masing-masing yang melaga-lagakan antara Dr. Jeffrey Kitingan dan Yong Teck Lee, di tambah pula dengan kebijaksanaan Pakatan Rakyat mengambil kesempatan dalam kesempitan. Oleh kerana kedua-dua pemimpin parti ini bertaraf lima bintang, maka sama-sama mempertahankan pendiriannya dan menunjukkan kehebatan masing-masing dengan akur untuk bertembung dalam pilihan raya itu.

   Akhirnya, apa yang terjadi akibat pertembungan dua parti pembangkang Sabah itu disertai dengan lawan dari Barisan Nasional dan BEBAS maka semua calon SAPP kalah di seluruh tempat dan STAR hanya bernasib baik dengan kemenangan pemimpin utama mereka iaitu menang kerusi DUN di Bingkor, Keningau.

   Selepas PRU-13, di peringkat awal kedua-dua parti ini saling menuding, masing-masing mempersalahkan kerana pertembungan itu membawa kekalahan kepada parti SAPP dan STAR. Namun akhirnya peristiwa yang berlaku itu lama-kelamaan diakui sendiri oleh mereka akibat kecuaian, keegoan dan pentingkan diri sendiri dalam perjuangan. Parti STAR dan SAPP mengambil iktibar melalui tragedi yang mereka alami untuk meneruskan perjuangan mereka bagi menghadapi PRU-14 akan datang.

Angin Perubahan Politik Sabah
   Kumpulan facebook “Sabah Sarawak Keluar Malaysia” terus bergerak dengan lebih agresif dan melakukan pungutan tandatangan petisyen yang akan dihantar kepada pihak antarabangsa mengenai soal-soal manipulasi kerajaan Malaya yang menyamar dan berselindung di balik nama MALAYSIA. Gerakan SSKM yang dipelopori oleh Doris Jones anak jati Sabah bersama Zurainee Tehek (Sarawakian) melakukan perubahan dengan mendaftarkan pertubuhan antarabangsa yang dikenali sebagai Sabah Sarawak Union-United Kingdom (SSU-UK). Dalam keghairahan dan penuh semangat generasi muda untuk mendapatkan tandatangan rakyat dan mendidik rakyat, mereka menemui jalan buntu seketika apabila beberapa aktivis SSU-UK ditangkap di Tuaran atas kesalahan tertentu dan disabitkan dengan Akta Hasutan 1948.

   Atas nama perjuangan dan solidariti rakyat Sabah, beberapa pemimpin utama parti SAPP dan STAR serta dari kumpulan gerakan Hormati Perjanjian Malaysia yang dipelopori oleh Datuk James Ligunjang datang ke Balai Polis Tuaran untuk menyelesaikan kes aktivis SSU-UK ini. Akhirnya mereka yang ditangkap dibebaskan dengan ikat jamin dan terikat dengan syarat-syarat tertentu. Dari peristiwa ini, maka bermulalah satu detik persefahaman yang kuat terjalin antara penyokong-penyokong kedua parti besar itu. Bermula dari perkara itu juga lebih erat persafahaman antara SAPP dan STAR serta mendapat kerjasama dari pertubuhan NGO seperti APS dan beberapa badan NGO yang lain. Apa saja acara yang dilakukan berkaitan dengan perjuangan bagi Sabah, mereka akan lakukanya bersama.

United Sabah Alliance – USA (GABUNGAN)
 Semakin hari kesepakatan begitu kelihatan di antara kedua parti politik itu bersama badan NGO dan beberapa persatuan generasi muda sabah. Perkara ini membuatkan Kerajaan pemerintah mulai menarik nafas panjang kerana bimbang dengan kesatuan rakyat Sabah ini. Pelbagai cara dilakukan untuk mengugut dan menakut-nakutkan rakyat, namun semuanya tidak dihiraukan, malahan kerjasama semakin dimantapkan.

   Perbincangan meja bulat dibuat di antara beberapa parti, iaitu SAPP dan STAR
serta badan NGO besar iaitu APS serta badan-badan yang lain agar bersatu dalam satu pasukan baru yang dinamakan United Sabah Alliance yang akan dikenali sebagai GABUNGAN. Hasrat ini disambut baik dan penuh semangat oleh pemimpin-pemimpin utama masing-masing dan juga mendapat perhatian yang sangat memberangsangkan oleh rakyat. Daily Express yang bertarikh 10hb. Mac 2015 telah memaparkan secara rasmi bahawa United Sabah Alliance dengan rasminya telah wujud secara lisan atas persetujuan meja bulat.

   Bermula dari keputusan meja bulat ini, maka rakyat sangat memuji kesepakatan yang dilakukan, di mana hal tersebut sebenarnya adalah aspirasi rakyat Sabah selama ini. Setakat ini secara rasmi persefahaman yang benar-
benar wujud dalam USA-GABUNGAN adalah parti STAR dan SAPP serta APS (Angkatan Perubahan Sabah) pimpinan Wilfred Bumburing, di mana APS mempunyai wakil-wakil rakyat yang memenangi pilihan raya umum ke -13 atas tiket PKR. Akhirnya selepas PRU-13, APS bertindak untuk tidak menyertai Pakatan Rakyat, sebaliknya menjadi badan NGO.

   Rakyat Sabah di pelbagai peringkat usia yang memahami apa itu politik, mulai menyebut dan memperkatakan USA-GABUNGAN. Pakatan parti pembangkang tempatan ini dengan mudah mengambil hati rakyat sehingga kini.

USA-GABUNGAN Dalam Dilema, Antara Realiti dan Fantasi
   Kemunculan  USA-GABUNGAN ini sedang hangat diperkatakan, ada yang pro dan sebahagiannya kontra. Ada yang mengatakan hal ini berlebih-lebihan dan tidak kurang juga yang memperlekehkan. Ramai yang mengatakan bahawa masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa pakatn ini akan berjaya. Ditinjau dari pencapaian dan pengalaman parti-parti pembangkang dan yang terlibat dalam pakatan ini belum mampu untuk mentadbir kerajaan Sabah secara bersendirian tanpa bantuan parti-parti nasional dari Malaya. Demikian ulasan beberapa orang, namun ada juga yang mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin baru yang ada jauh lebih mampu untuk membawa Sabah ke satu puncak yang boleh dibanggakan berbanding sebelum ini. Ramai cendikiawan Sabahan yang melarikan diri atau berhijrah ke luar negara kerana menyedari bahawa mereka tidak berpeluang di Malaysia atas dasar diskriminasi yang diamalkan oleh pihak pemerintah. Bila mengimbas sejarah politik tempatan Sabah sejak tahun 1960, di mana parti-parti tempatan tumbuh bagai cendawan selepas hujan, begitu juga yang berlaku sampai sekarang. Tetapi bezanya kewujudan parti-parti tempatan dulu kerana protes mereka terhadap pembentukan Persekutuan Malaysia dengan kata lain semangat patriotisme terhadap tanah air begitu tinggi. Tetapi sekarang ini, kewujudan parti-parti tempatan yang baru hampir tidak dapat dipercayai oleh rakyat kerana fobia dengan senario politik Sabah yang berlaku sejak bertahun-tahun kebelakangan ini, di mana parti diwujudkan hanya untuk kepentingan peribadi atau batu loncatan untuk mendapatkan keuntungan kroni-kroni mereka.

   STAR dan SAPP semakin memantapkan jenteranya, manakala APS masih berstatus badan NGO. Selepas PRU-13, sebanyak 11 parti tempatan Sabah telah berjaya mendapat kelulusan dari ROS Malaysia. Antaranya termasuklah Parti Cinta Sabah (PCS), PPRS, PKS dan Parti Bugis Bersatu Sabah.

   Senario yang berlaku dalam politik Sabah sejak dulu selepas bergabung membentuk Malaysia, para pemimpin politik tempatan sentiasa dihasut, dipulaukan dan dipujuk oleh pemimpin-pemimpin UMNO dengan tujuan meneruskan kuasa mereka di Sabah.

 Situasi politik nasional mulai berubah akibat kebangkitan rakyat di dalam gabungan parti pembangkang Malaya iaitu Pakatan Rakyat (PKR, DAP, PAS) di mana kemunculannya telah menjatuhkan kredibiliti UMNO. Namun begitu
kemelut dalam politik ada di mana-mana dan Pakatan Rakyat tidak terlepas dari perkara ini apabila Pakatan Rakyat retak hubungan dengan PAS, maka wujudlah satu gabungan baru yang dinamakan sebagai Pakatan Rakyat Baru (PKR, AMANAH dan DAP).

   Tujuan utama Pakatan Rakyat diperingkat nasional adalah menukarkan kerajaan yang ada kerana tidak relevan lagi. Cubaan pertama Pakatan Rakyat sudah dilakukan sehingga PRU-13, namun menemui kegagalan. Perpecahan PR terjadi pada tahun 2015 secara rasmi. Kemunculan Pakatan Rakyat Baru muncul dengan harapan dapat bekerjasam dengan parti-parti pembangkang tempatan di Sabah dan Sarawak.

   Namun sentimen yang kuat berlaku di Sabah setakat ini adalah ‘menolak parti-parti Malaya’, dengan maksud rakyat Sabah tidak mahu ada parti-parti Malaya (DAP, AMANAH, PAS & PKR) yang bertanding di Sabah pada PRU-14 akan datang tetapi tetap akan bekerjasama dengan parti pembangkang nasional untuk mewujudkan satu kerajaan yang baru untuk mentadbir Persekutuan Malaysia. Dengan kata lain, parti-parti politik Malaya hanya menumpukan kancah pertandingan politiknya di Malaya, manakala parti-parti politik tempatan Sabah akan hanya di Sabah. Sekiranya Pakatan Rakyat Harapan Baru ini memerintah, maka Malaysia akan diterajui bersama dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak, di mana Sabah akan memerintah sendiri dengan pelaksanaan kuasa autonomi yang sepatutnya hak Sabah dari dulu dan kembali kepada konsep Perjanjian Malaysia yang sebenar.

   Dalam usaha USA-GABUNGAN memperkuatkan jenteranya, masih tetap dipersoalkan kredibiliti dan kemampuan parti-parti politik tempatan. Pengalaman lalu dijadikan ukuran, di mana selama parti-parti tempatan yang mentadbir Sabah pelbagai masalah yang muncul akibat ketidakmampuan mereka untuk mengurus tadbir kerajaan. Oleh itu, perlunya ada bantuan daripada parti-parti nasional dari Malaya untuk bertapak di Sabah bagi membantu kerajaan agar tetap stabil. Inilah pola fikir sebahagian rakyat Sabah masa kini yang berimpak dari kekuatan Pakatan Rakyat mempengaruhi fikiran rakyat Sabah.

   USA-GABUNGAN dalam dilema, antara realiti dan fantasi. Kelihatannya rakyat Sabah belum mampu atau tidak mau berdiri di kaki sendiri untuk mentadbir Sabah. Tetap dengan sikap berkongsi bersama dengan kerajaan pusat pemerintah. Kesukaran lain yang dihadapi oleh USA-GABUNGAN untuk mempersatukan rakyat adalah kerana rakyat berpecah-belah dari segi pemikiran tentang hala-tuju Sabah dan ideologi politik yang bercampur-baur. Yang jelas kelihatan sekarang, rakyat Sabah terbahagi kepada beberapa golongan;
  1. Golongan rakyat yang mahukan Sabah keluar dari gabungan Malaysia secara mutlak dan menjadi sebuah negara yang berdaulat.
  2. Golongan rakyat yang tetap mempertahankan Sabah berada di dalam Persekutuan Malaysia tetapi meminta kerajaan yang memerintah kelak agar melaksanakan kuasa autonomi kepada Sabah sesuai dengan konsep Perjanjian Malaysia yang sebenar.
  3. Golongan rakyat yang pro parti Malaya, di mana bekerjasama penuh dengan parti-parti dari Malaya untuk sama-sama mengurus tadbir Kerajaan Sabah agar lebih baik sebelum ini. Golongan ini langsung tidak mempercayai dan yakin dengan kemampuan parti-parti tempatan Sabah atas alasan-alasan tertentu.
  4. Golongan yang pro parti tempatan dan berkeras untuk menolak parti-parti Malaya dan mempunyai azam yang kuat untuk menumbang parti penjajah, iaitu UMNO di Sabah. Mereka memberikan sokongan padu kepada parti-parti tempatan untuk mengambil-alih semua sistem politik Sabah yang dirampas dan dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin Malaya sebelum ini.
  5. Golongan rakyat yang tidak mengambil berat tentang hal-ehwal politik kerana fobia dengan sikap politikus tempatan Sabah yang tidak sentiasa mementingkan diri sendiri.
   Golongan rakyat yang terbahagi di atas memberikan jalan yang sukar untuk USA-GABUNGAN menjadi realiti, di mana perkara ini adalah impian sebahagian rakyat Sabah, malah hampir semua rakyat Sabah tetapi membuat rumusan tersendiri bagaimana USA-GABUNGAN diperlakukan. Sejauh mana kemampuan dan kekuatan pemimpin-pemimpin utama USA-GABUNGAN mencapai hasrat ini bergantung pada pendekatan yang relevan mengikut citarasa rakyat masa kini.

Kemelut Dalaman Parti Pembangkang Tempatan
   Parti STAR-UBF terus telah membuat perancangan sebelum dan selepas PRU-13. Namun perancangan awal yang hendak dilakukan sedikit tergendala kerana kekangan tertentu. PCS adalah hasil buah fikiran Dr. Jeffrey Kitingan sebelum PRU-13, di mana hasratnya untuk mendaftarkan parti itu bagi persediaan PRU-13. Dengan tujuan lain adalah menjawab isu LOMPAT yang selama ini dijadikan bahan untuk menyerang peribadinya. Perancangan awal adalah menggunakan nama Parti Cinta Sabah-PCS untuk tujuan pendaftaran kepada pihak ROS Malaysia, dan penama sebagai presiden parti untuk tujuan pendaftaran dipercayakan kepada seorang pemimpin terdekatnya. Langkah seterusnya yang diambil melalui rancangan awal bagi PCS adalah, bilamana PCS berjaya didaftarkan maka nama itu akan diubah menjadi "STAR Sabah".

   Apabila PCS sudah berjaya didaftarkan selepas PRU-13 sebagai parti politik yang sah di Sabah, maka Dr. Jeffrey Kitingan ingin melakukan apa yang dirancang pada awalnya bagi tujuan parti itu. Namun sangat mengecewakan bahawa penama sebagai presiden tidak lagi mahu melepaskan PCS dan menukarkan nama parti itu kepada STAR Sabah serta tidak mempercayakannya kepada Dr. Jeffrey Kitingan. Jawatankuasa yang mengambil-alih PCS tidak bersetuju untuk menggunakan nama STAR Sabah. Dr. Jeffrey Kitingan mengambil langkah menjaga hati dengan sikap 'win win situation', di mana ia tetap bekerjasama dan menyokong perjuangan PCS dengan menjadi Penasihat/Ketua Umum bagi parti itu.

   Bagaimana reaksi masing-masing? Sebahagiannya mendiamkan diri dan sebahagiannya menjelaskan keadaan sebenar menurut kapasiti mereka. Pihak lain sedikit mempersalahkan Dr. Jeffrey Kitingan kerana beliau juga sudah mengatakan bersetuju dengan pelan tindakan awal tetapi bersikap sorong tarik keputusan. Di suatu perjumpaan rasmi bertarikh 12 Julai 2014 dan 2 Ogos 2014 telah dibuat di suatu tempat dengan menetapkan beberapa persefahaman, maka pada siri perjumpaan ini tertubuhlah Gerkan Perpaduan Sabah (GPS) dengan dua tujuan; 1) Menyatukan Perjuangan, 2) Bersatu dalam satu parti Sabah. Perkara ini dipersetujui kerana mengambil impak secara menyeluruh mengenai parti STAR yang sedia ada, di mana pusatnya berasal dari Sarawak. Di dalam persefahaman yang dipersetujui ini, akhirnya Dr. Jeffrey Kitingan bersetuju bahawa gerakan GPS ini beliau akan menjadi Pengerusi, manakala DSP Wilfred Bumburing akan menjadi Presiden parti.

   Pertemuan dilakukan lagi di antara bulan November-Disember 2014 untuk membuat follow up mengenai perkara yang diputuskan sebelumnya. Di dalam pertemuan ini, maka semua pihak bersetuju secara rasmi bahawa Parti Cinta Sabah-PCS akan digunakan sebagai platform perjuangan bagi menghadapi PRU akan datang. Sementara menunggu pengumuman secara rasmi pengesahan parti ini oleh badan pendaftar, sekali lagi muncul masalah kecil mengenai nama PCS, di mana ada pihak gereja tertentu yang mendakwa bahawa nama yang diambil bersamaan dengan nama gereja mereka. Dua Pemimpin mereka bercadang untuk menjenamakan parti ini dengan nama "ASAL", jika nama PCS tidak dapat diluluskan. Akhirnya ROS meneruskan nama PCS, sebab alasan dakwaan dan bantahan pihak gereja tersebut tidak kukuh untuk mengatakan bahawa nama itu adalah nama gereja mereka dengan maksud dalam sijil pendaftaran gereja tidak menggunakan singkatan perkataan tersebut. Masalah yang muncul ini melambatkan perancangan perjalanan parti dan masih menunggu keputusan rasmi dari pihak pertubuhan parti.

   Sementara menunggu keputusan tersebut, pelbagai keadaan berlaku dan pergolakan sosial dan politik Sabah. Parti-parti tempatan Sabah sedia ada saling bekerjasdama dalam setiap kegiatan dan kelihatan suatu fenomena baru terjadi kepada rakyat Sabah. Namun pada bulan Ogos 2015, Dr. Jeffrey Kitingan membuat satu keputusan yang menimbulkan sedikit masalah dalaman apabila beliau melahirkan hasrat untuk terus bertahan di dalam STAR (Sarawak). Ahli-ahli parti PCS masih menunggu beberapa bulan lagi pengumuman secara rasmi untuk kelulusan penjenamaan parti tersebut.

   Selepas keputusan yang dibuat oleh Dr. Jeffrey untuk terus berada di dalam STAR, di sinilah munculnya satu cadangan baru untuk menyatukan parti-parti tempatan Sabah, khususnya parti pembangkang. Penyatuan perjuangan itu dinamakan sebagai "United Sabah Alliance", di mana parti STAR, parti SAPP dan APS pimpinan DSP Wilfred Bumburing. Di sinilah terjadi satu kesalahfahaman dari pihak ahli-ahli PCS, kenapa PCS tidak disenaraikan? Apa yang berlaku sebenarnya? Kebanyakkan pemimpin utama UBF/STAR terpinga-pinga tidak dapat bersuara, sebab mereka semua sudah komited kepada pelan perancangan yang sudah dipersetujui bersama. Sekali lagi Dr. Jeffrey menegaskan bahawa walaupun keadaan ini berlaku, teruskan apa yang dirancang dan masing-masing memastikan bahawa kerjasama akan diwujudkan. Seolah-olah dengan keputusan ini farewell di antara pihak DDJK-STAR dan PCS. Dengan berat hati semua pihak terpaksa akur dengan keadaan tanpa bantahan, di mana plan penyatuan yang dirancang lebih awal semuanya tergendala.

  Perkara ini memberikan impak besar kepada STAR Sabah, bilamana ramai pemimpin-pemimpin utama yang menjadi perintis awal STAR Sabah bersama-sama keluar dari parti itu dan bergabung di dalam PCS. Mereka beralasan bahawa walaupun berbeza parti tetapi akan terus bekerjasama dalam perjuangan. Di setiap bahagian STAR, bila kepalanya mengubah haluan, maka para pengikutnya juga akan ikut dan menyebabkan STAR di bahagian itu 'hidup segan, mati tak mau' akibat kehilangan kekuatan. Kemelut dalaman ini semakin menjadi-jadi, tetapi dengan alasan 'kita tetap bersama dalam perjuangan' sebab kita berada dalam satu gabungan parti pembangkang. Di beberapa tempat, timbul juga ketegangan mengenai perkara ini, namun kerana menggunakan perkataan "USA-GABUNGAN" maka ahli-ahli STAR lama terpaksa akur dengan keadaan yang berlaku. Impak yang diterima kepada parti STAR di peringkat bahagian adalah kehilangan ahli, maka tindakan yang mereka lakukan adalah 'tangkap muat orang' siapa saja yang boleh asalkan keahlian mencukupi untuk mengelak daripada bahagian itu dibubarkan. Akibatnya kualiti sebenar STAR tidak menyerlah dan bukan pula semakin mantap tetapi akan menjadi lemah. Sudah menjadi lumrah dan perangai seseorang ahli politik untuk saling memburuk-burukkan, membenarkan diri dan menyalahkan yang lain walaupun ternyata dia salah dan istilah 'kawan menjadi lawan' itu sentiasa berlaku. 

   Pergolakan antara ahli PCS dan STAR berterusan hingga kini bilamana di beberapa tempat mereka mengadakan siri pertemuan rakyat dengan tidak mahu menggunakan atau tidak mahu dikaitkan dengan "USA-GABUNGAN" dengan alasan bahawa USA GABUNGAN sebenarnya belum wujud secara rasmi dan sah, maka tiada apa-apa terma dalam parti tertentu untuk menggunapakai pendekatan ideologi lain. PCS sebenarnya mengambil sikap berkecuali buat sementara waktu kerana perkara yang mereka lalui bersama dengan DDJK. Namun untuk menjaga hati semua ahli dan rakyat mereka berusaha untuk meneruskan kerjasama dengan parti-parti tempatan yang lain. Secara lisan parti-parti tempatan Sabah seperti PCS, PKS, PPRS, USNO Baru akan mengatakan bahawa mereka satu perjuangan dengan USA-GABUNGAN, tetapi hal ini hanya diperkatakan di peringkat bawahan. Mereka juga tidak akan menggunakan USA-GABUNGAN dalam acara-acara rasmi mereka sebab sebenarnya belum atau tidak mengambil langkah pro aktif untuk memantapkan USA-GABUNGAN sebagai satu wadah perjuangan bersama. Kadangkala asumsi-asumsi negatif terjadi di kalangan penyokong dan ahli parti tempatan kerana mempersoalkan ketelusan dan keberadaan parti-parti baru tersebut. Sebagai contoh, parti PPRS pernah dikhabarkan melakukan kerjasama dengan parti UMNO pada PRU-13, namun tidak berjaya. Timbul persoalan bahawa benarkah mereka pro perjuagan Sabah atau ada udang di sebalik mee. Di tambah dengan kerisaun ahli-ahli parti lain terhadap PCS di mana ramai ahli-ahli baru PCS yang menerajui kepemimpinan terdiri bekas calon Pakatan Rakyat-PKR. Mereka bimbang bahawa golongan ini tidak sepenuh pro perjuangan Sabah, tetapi berada pada golongan berkongsi kuasa dengan parti nasional dari Malaya untuk mengurus-tadbir kerajaan Sabah kelak.

   Menjadi tanda tanya kepada rakyat, adakah USA-GABUNGAN ini akan wujud sebagai sebuah parti politik yang akan menjadi salah satu dari komponen parti pembangkang tempatan Sabah dan menjadi 'tuan' dalam komponen? Atau USA-GABUNGAN ini hanya satu nama yang diambil untuk mempersatukan parti-parti politik pembangkang tempatan, di mana bila ada memorendum persefahaman di antara beberapa parti dalam komponen ini, barulah jawatankuasa khas USA-GABUNGAN akan ditubuhkan, di mana dalam AJK yang dilantik terdiri daripada ahli-ahli parti dalam komponen masing-masing dan AJK itulah yang berkuasa penuh untuk membuat keputusan atau menjadi lembaga pengarah dalam komponen, contohnya siapa yang berdiri sebagai calon pada PRU-14 mewakili komponen USA-GABUNGAN dan perkara-perkara lain.

   Perkara ini berlaku di beberapa daerah di mana kemunculan parti-parti baru ini enggan untuk menggunakan nama USA-GABUNGAN dengan alasan belum wujud diperingkat atasan. USA-GABUNGAN tidak akan wujud jika tidak ada kesepakatan awal menggunakan nama ini sebagai platform perjuangan. Bersetuju atau tidak, kita akan lihat, perkara ini akan semakin tegang jika tidak diteliti dan mencari titik masalahnya. Seolah-olah USA-GABUNGAN ini sebagai sebiji mangga yang masak dan cantik, tetapi bila dikupas, penuh dengan ulat perosak, disebabkan orang dalaman dan kelihatanya dalam proses masaknya tidak dilihat oleh orang luar. Akhirnya bila masalah muncul dan tidak boleh diperbaiki lagi, maka berulanglah keadaan di zaman Donal Stephen, di zaman Pairin dan Tun Mustapha. Kepemimpinan dalaman yang merosakkan perancangan sebenar kerana mempunyai agenda yang berbeza. Hal ini ibarat bersalaman dengan tangan kanan dengan senyuman tetapi menyembunyikan batu di tangan kiri.

   Para pengkritik membidas, kesatuan USA-GABUNGAN hanya manis diperkatakan tetapi tiada dalam tindakan, hanya diperkatakan oleh peringkat-peringkat bahagian dan tidak ada persefahaman hitam putih di peringkat atasan dilakukan, samada benar-benar bekerjasama merealisasikan USA-GABUNGAN atau menunggu waktu. Waktu yang ada sudah singkat, hanya ada dua masa yang ditunggu oleh 11 parti-parti baru yang wujud; PERTAMA menunggu persefahaman hitam putih dari pihak lawan sehingga PRU akan datang, dan KEDUA persefahaman hitam putih untuk mewujudkan kerjasama yang mantap di kalangan parti-parti pembangkang tempatan. Parti-parti baru hanya menunggu 2 waktu ini untuk ditawarkan dengan nilai tinggi untuk memanipulasi perjuangan? atau nilai patriotisme perjuangan terhadap Sabah. Siapa tahu, sebab pemimpin-pemimpin politik Sabah sejak dari kemasukkan UMNO ke Sabah suka dikambing hitamkan oleh permainan pemimpin-pemimpin UMNO Malaya.

  Perjalanan masih awal, dan perlu perancangan awal. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kini rakyat biasa sebagai pengundi di Sabah hanya perlu memerhati dua kemungkinan, sama ada akan wujudnya USA-GABUNGAN atau hanya pemanis kata-kata. Rakyat Sabah masih dalam dilema.

* Nipuhawang Blogspot
Reactions:

0 comments :

Post a Comment

Sila Berikan Komen ATAU Sumbangan Artikel/Bahan Anda:-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...