Masalah ejaan beberapa hal leksikal dalam kedua bahasa ini masih wujud walaupun kerajaan negara Indonesia dan Malaysia telah mengenakan sistem ejaan yang sama sejak tahun 1972. Contohnya dipaparkan di bawah:
B. Malaysia | B. Indonesia | |
Kej. 28:6 | berkahwin | kawin |
Kej. 42:18 | berfikir | berpikir |
Mzm. 107:17 | diseksa | disiksa |
Ams. 1:10 | pujukan | bujukan |
Mrk. 14:65 | tekalah | terkalah |
Pilihan Perbendaharaan Kata
B. Malaysia | B. Indonesia | |
Kej. 1:25 | puas hati | senang |
Kej. 24:40 | berjaya | berhasil |
Mzm. 107:34 | kezaliman | kejahatan |
Yer. 22:14 | tingkap | jendela |
Dan. 2:49 | pentadbiran | pemerintahan |
Kata Ganti Nama dan Istilah Panggilan
B. Malaysia | B. Indonesia (INT) | |
Kej. 41:1, 7, 45 | baginda | ia (merujuk kepada raja) |
Kej. 41:16 | hamba | aku (orang bawahan raja) |
Mat. 20:21 | Tuan | -Mu (seorang ibu yang bercakap dengan Yesus) |
Mat. 27:11 | kamu | engkau (Pilatus bercakap kepada Yesus) |
Mat. 27:11 | tuan | engkau (Yesus bercakap dengan Pilatus) |
Luk. 15:12 | Ayah | Bapa(k) (anak kepada ayah) |
Perkataan yang Sama tetapi Maknanya Berlainan
Makna B. Indonesia | Makna B. Malaysia | ||
Kel. 14:20 | pasukan (TIV) | angkatan tentera | pasukan |
Ayb. 7:2 | budak | hamba | budak |
Yes. 62:12 | tebusan | yang diselamatkan | tebusan |
1 Kor. 10:5 | ditewaskan | dibunuh | ditewaskan |
Gal. 2:2 | percuma | tidak berguna | percuma |
Dengan cara yang sama, penduduk Indonesia pula memahami istilah Alkitab Bahasa Malaysia seperti mana dalam Bahasa Indonesia, misalnya ‘banci’ dalam Lukas 2:1-2 (TMV96) difahami sebagai ‘pondan’, sedangkan dalam Bahasa Indonesia, ‘banci’ adalah sensus. Begitu juga ‘mengintip’ dalam Mazmur 10:8 (TMV96) difahami umumnya sebagai ‘mengintai’ dan bukannya ‘mengintip’ kerana dalam Bahasa Indonesia, ‘mengintip’ adalah ‘memata-matai’ atau ‘mengintai’. Istilah Bahasa Malaysia ‘memansuhkan’ dalam Roma 3:31 (TMV96) tidak bermakna bagi pembaca Indonesia umumnya.
Penterjemahan Alkitab sentiasa disemak dari masa ke semasa untuk memenuhi keperluan pembaca mengikut masa tertentu. Alkitab telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia untuk pembaca Indonesia pada suatu generasi tertentu, dan kemudiannya disemak dari masa ke semasa. Edisi semakan terkini memudahkan Berita Baik disampaikan dalam bahasa yang lazim digunakan dan senang difahami di samping mengelakkan penggunaan kata kuno dan salah faham yang mungkin timbul. Dengan cara yang sama, Alkitab telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dan disemak untuk keperluan penduduk Malaysia berbagai generasi. Oleh itu, TMV96 telah disediakan dengan mengambil kira keperluan umat Kristian di Malaysia. Ia disediakan khasnya untuk mereka yang mendapat pendidikan Bahasa Malaysia dalam masa 30 tahun yang lalu, yang lebih fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan berbanding dengan Bahasa Inggeris, Cina, Tamil atau bahasa ibunda yang lain. Teras Berita Baik yang mulanya disampaikan dalam Bahasa Ibrani, Aramaic dan Yunani tetap sama; tetapi dalam edisi semakan, nahu, ejaan, pilihan istilah dan gaya dikemaskini supaya menggambarkan penggunaan Bahasa Malaysia yang terkini di samping memudahkan pemahaman tajuk penyelamatan.
Kata-kata Akhir
“Saya amat bangga memiliki dan sempat menggunakan senaskhahAlkitab Bahasa Malaysia Edisi Semakan yang baru dikeluarkan.” ~ (Rev. Samamadin Uloi, Paderi Gereja Anglican St. Patrick, Bahagian BM, Tawau, Sabah)
“Bagi diri saya, saya rasa Edisi Semakan Alkitab Bahasa Malaysia sangat berguna. Setakat ini, saya belum menjumpai ungkapan asing, semuanya dinyatakan dalam bahasa yang biasa. Jadi ia amat sesuai digunakan oleh rakyat Malaysia.” ~ (Pastor Kusam Yontok, Ko-ordinator Evangelism, Gereja SIB, Kota Kinabalu, Sabah)
“Saya berkhidmat secara aktif di dua buah gereja dalam kariah kami dan perlu memahami apa sebenar yang disampaikan dalam Alkitab supaya dapat membantu rakan-rakan memahaminya. Pengeluaran Alkitab Bahasa Malaysia amat berguna bagi saya dan mereka yang ingin kami bantu. Kami amat puas mendapat sebuah Alkitab dalam bahasa yang difahami – bahasa yang diajar di sekolah. Syabas PBM!” ~ (En. Alvin Tikoi, pemimpin di gereja RC St. Anthony, Tenom, Sabah)
Bak kata pepatah Melayu: ‘Tak ada gading yang tak retak,’ begitu juga denganAlkitab Bahasa Malaysia Edisi Semakan ini (TMV96), seperti mana terjemahan yang lain – ia masih boleh diperbaiki. Seperti bahasa yang lain, perbendaharaan kata, tatabahasa, huraian dan gaya Bahasa Malaysia tidaklah statik. Bahasa berubah dari masa ke semasa, dan penggunaan penutur asli Bahasa Malaysia yang membawa perubahan kepada bahasanya. Dengan itu, PBM, selaku hamba gereja-gereja Malaysia, mengalu-alukan komen, pembetulan dan cadangan untuk memperbaiki terjemahan tersebut. Buat masa sekarang, marilah kita menggunakan Alkitab Bahasa Malaysia Edisi Semakan ini untuk kebaikan gereja-gereja di seluruh Malaysia, terutama sekali untuk mereka yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama atau yang kedua, mereka yang menggunakan bahasa kebangsaan di sekolah, di pejabat, di rumah atau sewaktu bermain, dalam upacara sembahyang atau lain-lain majlis serta aktiviti di gereja.

