Pilihan Raya Umum bagi Sabah diadakan sebelum pembentukan Malaysia, iaitu pada bulan Mac 1963. Tujuan pilihan raya ini ialah memilih calon bagi menduduki Dewan Undangan Negara Sabah. Keputusan pilihan raya tersebut mencatat bahawa parti USNO memperolehi 8 kerusi, UNKO memperolehi 5 kerusi, parti SANAP memperolehi 4 kerusi dan Pasok-Momogun memperolehi 1 kerusi. Berdasarkan keputusan pilihan raya ini, maka dengan nasihat daripada pihak British dan dipersetujui oleh semua ahli perikatan bahawa Donald Stephen diangkat sebagai Perdana Menteri Sabah.
Ketegangan mulai berlaku lagi apabila jawatan Yang Di-Pertua Negara Sabah dipegang oleh Tun Datu Mustapha, di mana menurut pemahamannya bahawa jawatan tersebut sama seperti Gabenor pada zaman British. Keadaan yang berlaku adalah Tun Datu Mustapha lebih terkongkong dalam bidang kuasa politik. Semua urusan pentadbiran di Sabah dipegang dan dikuasai oleh Donald Stephen sendiri. Perkara ini menyebabkan timbulnya jurang kerjasama di antara Perdana Menteri dan Yang Di-Pertua Negara Sabah. Akibatnya impak daripada penting diri sendiri kedudukan Parti Perikatan Sabah mulai menjadi lemah.
Parti USNO di bawah pimpinan Tun Datu Mustapha memerintah Sabah melalui Parti Perikatan Sabah. Samada perkara itu baik atau tidak, rakyat terpaksa akur dengan semua keputusan pemerintah. Walaupun keadaan kelihatannya tidak mengalami masalah tetapi tidak ada kuasa yang boleh menghalang kemaraan kekuasaanUSNO di Sabah. Bangunan United Sabah Islamic Association (USIA) dibina pada bulan Ogos 1969 dengan tujuan mentadbir Islam dan memperluaskan dakwah Islam. Selepas itu pada tahun 1971 Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pula ditubuhkan. Penyebaran agama Islam semakin berleluasa sehingga menimbulkan ketegangan
masyarakat bukan Islam akibat sebilangan rakyat yang dipaksa untuk menganuti Islam. Yang jelas pada masa itu masyarakat bumiputera Islam sahaja yang diberikan keutamaan dan terjadi diskriminasi agama terhadap bumiputera bukan Islam. Ini menimbulkan sikap tidak puas hati dan marah di kalangan rakyat Sabah yang bukan Islam menyebabkan ketegangan kaum dan agama menebal di kalangan masyarakat Kadazan/Dusun, Murut, Rungus dan Cina pada ketika itu.
awalnya terlalu baik. Tiada masalah besar timbul dalam hubungan ini. Namun apabila pengaruh pemimpin Sabah yakni Tun Mustapha terlalu kuat dan berkuasa di Sabah, hubungan erat tadi semakin longgar. Tindak tanduk Tun Mustapha semakin sukar dikawal dan banyak bercanggah dengan kerajaan pusat pimpinan Tun Abd Razak. Pembaziran wang, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa memburukan lagi keadaan.
Pembentukan Parti Bersatu Rakyat Sabah (BERJAYA) dapat di bincangkan berdasarkan hubungan antara Kerajaan Perikatan Sabah dan Kerajaan Pusat Kuala Lumpur pada tahun-tahun akhir pemerintahan Perikatan Sabah. Dengan perbincangan pemimpin persekutuan Kuala Lumpur akhirnya Parti BERJAYA dengan rasminya ditubuhkan pada 15 Julai 1975.
Tetapi bermula pada tahun 1976, maka bermulalah satu detik baru bagi sejarah politik Sabah di bawah pemerintahan Parti BERJAYA pimpinan Harris Salleh. Tahun 1976 juga adalah tahun yang malang bagi kerajaan negara Sabah. Walaupun dipandangan rakyat kerjaan BERJAYA adalah kuasa yang mentabdir dan dapat melahirkan kesejahteraan rakyat, namun tanpa disedari pemerintahan BERJAYA mempunyai keburukan yang sama. Pada era USNO tindakan Tun Datu Mustapha lebih memusatkan kepada hal-ehwal Sabah walaupun dengan cara keras, manakala di zaman BERJAYA pula para pemimpin Malaya dengan mudah mengawal kepemimpinan ini untuk mengikuti telunjuk dan kemahuan para pemimpin Malaya.Parti Bersatu Sabah-PBS
Pada tahun 1984, Datuk Joseph Pairin Kitingan telah dipaksa untuk meninggalkan parti tersebut apabila beliau lantang menentang dasar-dasar kerajaan yang dikatakannya telah menyimpang dari perjuangan asal. Beliau turut dipaksa mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan. Pairin kemudiannya dengan berani bertanding dalam pilihanraya kecil Tambunan pada Disember 1984 sebagai calon Bebas menentang calon kerajaan. Walaupun dengan berbagai rintangan dan taktik kotor pihak lawan, beliau telah berjaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti besar, 3,048. Kemenangan tersebut telah menyemarakkan api perjuangan untuk mengubah senario politik di Sabah serta menegakkan demokrasi dan menentang penyalahgunaan kuasa yang diamalkan pemerintah ketika itu. Satu gerakan baru yang dipimpin Pairin dan disokong secara senyap oleh majoriti akar umbi mula bergerak dan dengan itu, tertubuhnya Parti Bersatu Sabah pada 5hb. Mac 1985 dengan Pairin sebagai presiden parti. (Klik-Rujukan)
Beberapa hari sebelum pilihanraya 1990, PBS bertindak keluar dari Barisan Nasional dan menyertai Gagasan Rakyat yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah. Mereka memberi alasan bahawa mereka telah dianaktirikan sewaktu berada dalam BN. PBS terus mencapai kejayaan dengan memenangi 36 daripada 48 kerusi. Senario politik di Sabah terus berkocak apabila PBS yang berkuasa menerajui kerajaan di Sabah ketika itu bertindak keluar dari gagasan BN sekitar tahun 1990-an memaksa kehadiran UMNO datang ke Sabah setelah Allahyarham Tun Mustapha ketika itu Presiden USNO memikirkan bahawa USNO tidak mampu menumbangkan kerajaan PBS, pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang terlalu kuat pada ketika itu. Tun Mustapha terpaksa mengorbankan kesetiaannya kepada USNO yang terpaksa dibubarkan untuk memberi laluan kepada UMNO, namun perjuangan UMNO bersama BN juga tidak dapat menggugat PBS ketika itu.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 1994, PBS menghadapi tentangan hebat daripada BN yang kini diketuai UMNO yang telah melebarkan sayap ke Sabah. Sebelum itu, PBS turut kehilangan beberapa tokoh pemimpinnya seperti mendiang Datuk Mark Koding yang telah menubuhkan AKAR dan Datuk Yong Teck Lee yang telah menubuhkan Parti Maju Sabah (SAPP) di mana mereka telah menyertai Barisan Nasional. PBS turut mendakwa pilihanraya ini dicemari taktik kotor seperti pembelian undi dan pengundi hantu. Di sebalik semua itu, PBS masih mampu menang walaupun tipis iaitu 25 kerusi berbanding BN 23 kerusi. Pairin terpaksa menunggu selama 36 jam di luar Istana sebelum dibenarkan mengangkat sumpah kerana cuba dihalang pihak Barisan Nasional yang nyata tidak dapat menerima keputusan rakyat. Walubagaimanapun, kerajaan ini cuma mampu bertahan dua minggu setelah hampir kesemua wakil rakyatnya bertindak melompat menyertai BN.
Setelah kemenangan tipis dalam pilihanraya 1994, PBS menghadapi tekanan besar dari BN yang ternyata cuba merampas kuasa di Sabah. Kejatuhan PBS bermula apabila 3 orang wakil rakyatnya, Datuk Lajim Hj. Okin (Klias), Datuk Rubin Balang (Kemabong) dan Hj. Zaini Mat Isa (ADUN dilantik) bertindak keluar untuk menyertai UMNO. Ia kemudian diikuti hampir semua wakil rakyatnya yang lain termasuklah Timbalan Presiden Tan Sri Bernard Dompok, Setiausaha Agung Tan Sri Joseph Kurup yang masing-masing telah menubuhkan Parti Demokratik Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, dan adik Pairin sendiri Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. Setelah insiden lompat-melompat tersebut, PBS cuma mempunyai 3 wakil rakyat, Pairin, Dr. Maximus Ongkili dan Datu Amirkahar Tun Datu Mustapha. Datu Amirkahar turut menyertai BN beberapa tahun kemudian. Dalam keadaan sedemikian, Pairin tiada pilihan lain selain melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 17 Mac 1994. Keadaan ini menggemparkan seluruh rakyat Sabah. (Klik-Rujukan)
Pada 23 Januari 2002, PBS diterima semula ke dalam Barisan Nasional. Lima wakil rakyat berserta Timbalan Speaker yang telah menyertai PBRS turut kembali ke pangkuan PBS. Setelah memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 4 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004, ahli-ahli PBS turut disertakan dalam kabinet Barisan Nasional negeri dan persekutuan.
Sejak PBS menyertai Barisan Nasional semula, agenda perjuangan parti ini menjadi senyap dan tidak disentuh dengan tegas sebelum ini. Seolah-olah terikat dengan suatu janji atau terma tertentu selepas menyertai BN. Pairin yang dulu disanjung tinggi oleh semua kaum dan khususnya KDMR kini semakin hari semakin terhakis pengaruhnya. Sehinggakan rakyat dengan berani mengatakan dengan terang-terangan melalui media sosial bahawa Pairin tidak lagi layak memegang gelar "Huguan Siou" (Gelar tertinggi bagi kaum KDMR sebagai kepala suku). Semangat tahun 1985 bermula kepada rakyat dengan begitu gah dan semarak sekali untuk berjuang bersama PBS dan rakyat sangat kagum serta percaya kepada setiap calon PBS yang bertanding tanpa melihat latar belakang. Bandingkan dengan Kadoh Agundong yang bukan berprofile tinggi, hanya orang biasa tetapi boleh mengalahkan Harris Salleh ketika itu.
Puncak kegemilangan PBS sejak beberapa tahun semakin merisaukan pihak lawan dan terutamanya pihak pemimpin persekutuan Kuala Lumpur. Rakyat ketika itu sering berkata "Orang cacat sekalipun yang bertanding atas tiket PBS, saya akan undi", betapa kuatnya semangat padu rakyat ketika itu. Namun semua hal ini hanya tinggal kenangan apabila semangat 85 itu dipunahkan oleh taktik kotor pemimpin-pemimpin Malaya.
Sehingga kini di tahun 2015, rakyat masih rindu dengan semangat tahun 1985 yang penuh dengan kenangan manis. Kesatuan rakyat yang sangat tinggi tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Semasa tahun-tahun kegemilangan PBS, rakyat terus bersatupadu sehinggalah penjajah dari Malaya muncul secara terang-terangan melalui parti UMNO dan berjaya mengucar-kacirkan rakyat Sabah yang bersatupadu sebelum ini. Sungguh pun begitu rakyat dengan tidak berputus asa agar PBS bangkit semula, semangat itu muncul semula dan Pairin kembali menjadi wira Sabah. Tetapi sehingga Pilihan Raya Umum tahun 2013, semua impian itu berkecai menjadikan semangat 85 itu tinggal kenangan dan tidak akan kembali lagi.
Sejak parti USNO kuat, rakyatnya kuat namun dirosakkan sendiri oleh kepalanya akibat campurtangan kuasa penjajah. Sebenarnya Tun Datu Mustapha menjadi lebih sadis kesan dari seorang tali barut Malaya iaitu seorang wali Kuala Lumpur yang sengaja dipasang oleh pemimpin KL yang bernama Datuk Syed Kechik bin Syed Mohammad berasal dari Kedah berkelulusan Peguam. Di era parti BERJAYA, rakyat begitu sejahtera dalam perpaduan mereka, namun kepalanya merosakkan perpaduan ini. Tetapi berlainan dengan era parti PBS, di mana kepalanya tidak merosakkan rakyat tetapi terpaksa menafikan diri kepada rakyatnya kerana tekanan musuh yang terlalu kuat. Seolah-olah keadaan itu dapat digambarkan dalam satu filem, di mana pahlawannya dianiaya, diseksa di depan mata rakyatnya. Demikianlah yang berlaku kepada Pairin sebagai pahlawan Sabah ketika itu. Namun sehingga kini rakyat mulai secara perlahan-lahan menganggap bahawa pahlawan mereka sudah mati.
Antara perkara yang sering dibuat oleh UMNO-BN bagi menakut-nakutkan rakyat Sabah agar tidak berpaling dari gagasan Malaysia ialah:-
- Isu yang mengatakan bahawa Kesultanan Suluk akan merampas Sabah.
- Menguasai semua sektor dan peluang rakyat di Sabah dan memberikannya kepada orang-orang Melayu Malaya.
- Menggunakan Kementerian Pendidikan untuk membentuk pola fikir yang salah mengenai sejarah Sabah, di mana sejarah sebenar Sabah dimanipulasi dan diputar-belit demi kepentingan politik Umno.
- Menghapuskan konsep "Parti Tunggal" di Sabah.
- Dengan menaja parti-parti tempatan Sabah bermula dengan parti PDS, SAPP, AKAR, PBRS bagi memberi ruang yang luas untuk pemimpin dan rakyat Sabah berkelompok dan berpuak-puak. Sehingga ke hari ini penubuhan parti-parti tempatan Sabah yang baru dengan mudah diluluskan dengan tujuan tersebut.
- Menggunakan media massa dan pihak keselamatan untuk mengugut rakyat dan tanpa perikemanusiaan menggunakan akta-akta tertentu untuk membunuh demokrasi Malaysia secara keseluruhan.
- Menggunakan agama sebagai pemecah-belah rakyat di Sabah sehingga rakyat Sabah dengan fanatik menyokong UMNO demi 'nama agama' yang disalahgunakan.
Parti-parti tempatan Sabah yang ada di dalam komponen BN sekarang bukanlah medium pembangunan Sabah dan rakyatnya, tetapi alat penjajah untuk mengelak daripada rakyat Sabah daripada bersatu, sebab mereka sudah melihat sikap rakyat Sabah ketika era USNO, BERJAYA dan PBS yang bertindak sebagai parti tunggal. Kekuatan rakyat Sabah tidak dapat dinafikan dan memberikan sokongan dengan sepenuh jiwa raga mereka terhadap pemimpin yang ada. Parti UPKO (dulunya PDS) dan PBRS hasil tajaan UMNO sangat berperanan untuk melakonkan permainan UMNO, termasuk parti PBS dan LDP. Bagi parti SAPP, keluar dari senarai ini kerana akhirnya mereka sedar dan keluar daripada Barisan Nasional untuk memberi keutamaan kepada rakyat Sabah. Namun SAPP sering mendapat tekanan dari bekas rakan-rakannya dan berusaha agar SAPP akan terkubur dalam arena politik permainan UMNO.
UMNO menggunakan pelbagai taktik, jika parti-parti tajaannya mulai merosot dan tidak mendapat sokongan rakyat, maka apa yang UMNO lakukan ialah menyalurkan peruntukan insfrastruktur pembangunan tertentu dan memastikan bahawa rakyat tertarik dan berterusan memberikan sokongan. Pemimpin-pemimpin veteran ini hanya 'Yes bos' kerana menjaga kepentingan diri. Konsep "Pecah dan Perintah" yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir begitu berkesan dan menjadi senjata ampuh penjajah.
Perkara-perkara ini sudah dikesan oleh rakyat dan mengetahui taktik UMNO, namun rakyat tidak berdaya dan tidak dapat melakukan apa-apa kerana seperti senarai taktik di atas, penjajah akan gunakan mengikut situasi yang sesuai.
Senario Politik Sabah Tahun 2013
Senario baru berlaku terhadap politk Sabah pada PRU-13, di mana sekali lagi Dr. Jeffrey Kitingan mencatat sejarah tersendiri dalam arena politik Sabah dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat dan hasratnya masih pada konsep awal, iaitu memperjuangkan hak-hak Borneo. Dalam rangka kerjasama yang dibuat, Dr. Jeffrey telah membuat satu usul (Deklarasi Tambunan) kepada penasihat dan pemimpin utama PKR, iaitu Anwar Ibrahim. Tetapi malangnya perkara yang diutarakan oleh Dr. Jeffrey itu ditolak kerana dilihat akan memberikan keistimewaan penuh kepada rakyat Sabah dan akhirnya pemimpin-pemimpin Malaya akan terpinggir dari meneruskan keuntungan di Sabah seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Tiada pilihan lain selain keluar daripada Parti Keadilan Rakyat kerana tujuan perjuangannya ditolak.
Solusi yang di ambil oleh Dr. Jeffrey Kitingan adalah bekerjasama dengan parti tempatan dari Sarawak iaitu STAR dengan menjadi penaja parti itu ke Sabah. Musuh-musuh politikya mengambil kesempatan sekali lagi untuk memburuk-burukkan Dr. Jeffrey kerana keluar dari PKR dengan tuduhan tiada pendirian dalam politik. Sedangkan Dr. Jeffrey bertindak keluar dari PKR kerana agenda Borneo yang diperjuangkannya ditolak oleh pemimimpin Malaya. STAR ketika itu bergerak bersama badan NGO, iaitu United Borneo Front (UBF). Dalam siri pertemuan dan kempen parti STAR sebelum menghadapi PRU-13, mereka telah cuba untuk memperjelaskan sejarah, hak-hak Sabah, 20 Perkara dan kuasa autonomi Sabah. Di sinilah dengan bebas Dr. Jeffrey meluahkan segalanya dan intipati sebenar perjuangannya. Namun rakyat Sabah masih nyenyak tertidur disebabkan oleh elusan janji-janji UMNO dan masalah berpuak-puak dalam parti-parti tempatan tajaan UMNO. Rakyat hanya tersenyum dan tersengih dengan agenda yang dibawakan oleh parti STAR.
Kemunculan STAR memberikan suatu suntikan baru kepada generasi muda Sabah yang berpendidikan. Melihat intipati perjuangan yang dibawakan oleh Dr. Jeffrey telah berjaya menarik minat golongan muda terpelajar ini. Sehingga kerana semangat patriotik yang tinggi kepada Sabah, mereka sanggup berhenti dari kerjaya mereka untuk memperjuangkan agenda tersebut. Antara peribadi oyang begitu berani bertindak berhenti dari profession mereka sebagai pendidik (guru) ialah Cikgu Jalibin Paidi (Ranau), Cikgu Feddrin Tuliang (Ranau), Cikgu Hasmin Azroy (Tenom), Cikgu Maklin Masiau (Kota Marudu) dan beberapa yang lain. Demi untuk mengembalikan hak-hak Sabah, mereka sanggup gadaikan segalanya. Bukan didasari kerana peluang menjadi calon, tetapi kesedaran yang tinggi terhadap perjuangan dan cintakan Sabah.
Dalam masa yang sama, parti SAPP bekas komponen Barisan Nasional yang telah bertindak keluar dari komponen Barisan Nasional kerana menyedari bahawa keadaan perlu diperbetulkan segera, di mana Sabah harus diselamatkan dari masalah pendatang tanpa izin yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Parti SAPP adalah parti pimpinan Yong Teck Lee yang juga pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dalam sistem penggiliran Ketua Menteri yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir Muhammad.
Sebelum pilihan raya ke-13 lagi, SAPP sudah mulai tegas bersuara mengenai soal autonomi Sabah dan isu masalah PTI yang semakin merunsingkan Sabah. Agenda perjuangan SAPP lebih mengukuhkan fakta bersama dengan parti STAR. Dari sudut lain, kelihatan SAPP selari dengan STAR, tetapi dalam hal-hal tertentu mereka bertentangan. Pertentangan yang muncul sebenarnya hanyalah “soal peribadi dan kredibiliti pemimpin”, saling mengungkit kesilapan dan kesalahan yang pernah berlaku sebelum ini. Akibat latar belakang sejarah politik pemimpin utama STAR dan SAPP dijadikan isu ketika itu, maka memberikan peluang besar kepada PAKATAN RAKYAT (PKR, DAP PAS) untuk meraih populariti kepada rakyat Sabah. Soal apa yang diperjuangkan oleh parti STAR dan SAPP tidak lagi menjadi hal yang penting bagi rakyat, tetapi tertumpu pada komitmen perjuangan Pakatan Rakyat yang menjanjikan kehidupan yang cerah kepada rakyat Sabah.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, STAR dan SAPP pernah berhasrat untuk bergabung dalam perjuangan yang hampir sama, namun gagal akibat daripada penyokong masing-masing yang melaga-lagakan pemimpin mereka, di tambah pula dengan kebijaksanaan Pakatan Rakyat mengambil kesempatan dalam kesempitan. Oleh kerana kedua-dua pemimpin parti ini masing-masing punyai pengalaman yang sama dalam arena politik, maka mereka mempertahankan pendirian dan menunjukkan kehebatan masing-masing dengan akur untuk bertembung dalam pilihan raya itu.
Akhirnya, apa yang terjadi akibat pertembungan dua parti pembangkang Sabah itu disertai dengan lawan dari Barisan Nasional dan BEBAS maka semua calon SAPP kalah di seluruh tempat dan STAR hanya bernasib baik dengan kemenangan pemimpin utama mereka iaitu menang kerusi DUN di Bingkor, Keningau. Selepas PRU-13, di peringkat awal kedua-dua parti ini saling menuding, masing-masing mempersalahkan kerana pertembungan itu membawa kekalahan kepada parti SAPP dan STAR. Namun akhirnya peristiwa yang berlaku itu lama-kelamaan diakui sendiri oleh mereka akibat kecuaian, keegoan dan pentingkan diri sendiri dalam perjuangan. Parti STAR dan SAPP mengambil iktibar melalui tragedi yang mereka alami untuk meneruskan perjuangan mereka bagi menghadapi PRU-14 akan datang.
Kemenangan Dr. Jeffrey Kitingan di Bingkor, Keningau memberikannya peluang untuk menyuarakan agenda Borneo di Dewan Undangan Negeri Sabah. Tetapi impak yang diterima dari usul tersebut mendapat reaksi yang negatif khususnya golongan pemimpin UMNO. Sepanjang pembentangan usul, mereka sedaya-upaya mencelah dan mengganggu Dr. Jeffrey Kitingan agar wakil-wakil rakyat tidak terpengaruh yang disifatkan 'hasutan' oleh pemimpin-pemimpin Umno. Tidak puas dengan celaan, Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah pula mengambil peranan untuk menggunakan sebaik mungkin peruntukan masa yang diperuntukkan kepada setiap wakil rakyat. Akhirnya usul tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sempurna.
Rakyat mulai menilai dan melihat betapa pentingnya perkara yang dikemukan oleh wakil rakyat dari Bingkor itu, tetapi disambut buruk oleh golongan pemimpin UMNO kerana hal tersebut bukanlah agenda perjuangan mereka tetapi merupakan ancaman peribadi untuk mengaut keuntungan dalam politik.
Semangat 85 Mulai Kembali Di Kalangan Rakyat Sabah
Bermula dari tahun 2014, rakyat Sabah sudah mulai sedar dan bangkit. Kesedaran ini bukan hanya dipelopori oleh golongan kumpulan tertentu melalui media tetapi turut diberi peranan penting oleh YB.Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, Datuk Kalakau Untol dan turut mendapat suntikan daripada pemimpin veteran era BERJAYA iaitu Datuk Haji Noor Mansoor. Penampilannya di arena politik era millenium telah memberikan ispirasi kepada generasi muda.
Rakyat Sabah mulai bersatu, jika dilihat perkembangannya melalui media massa kebangkitan rakyat semakin kuat menentang pemerintah yang ada. Rakyat sudah benar-benar sedar bahawa Sabah dalam keadaan terjajah oleh kuasa dari Persekutuan Tanah Melayu yang bersembunyi dengan nama Malaysia. Hal ini dapat disedari oleh persekutuan bahawa mereka menghadapi keadaan yang sukar pada pilihan raya akan datang.
Saban hari kesepakatan begitu kelihatan di antara parti-parti pembangkang tempatan yang dipelopori oleh parti STAR dan SAPP dan turut disokong oleh oleh badan-badan pertubuhan bukan kerajaan. Pelbagai cara dilakukan oleh pemerintah untuk mengugut dan menakut-nakutkan rakyat, namun semuanya tidak dihiraukan, malahan kerjasama semakin dimantapkan.
Perbincangan meja bulat dibuat di antara beberapa parti, iaitu SAPP dan STAR serta sedang membuka peluang untuk PCS, PPRS, USNO-Baru. Badan NGO besar seperti APS turut bersatu dalam satu pasukan baru yang dinamakan United Sabah Alliance yang akan dikenali sebagai GABUNGAN. Hasrat ini disambut baik dan penuh semangat oleh pemimpin-pemimpin utama masing-masing dan juga mendapat perhatian yang sangat memberangsangkan oleh rakyat. Daily Express yang bertarikh 10hb. Mac 2015 telah memaparkan secara rasmi bahawa United Sabah Alliance dengan rasminya telah wujud secara lisan atas persetujuan meja bulat.
Dalam usaha USA-GABUNGAN memperkuatkan jenteranya, masih tetap dipersoalkan kredibiliti dan kemampuan parti-parti politik tempatan. Pengalaman lalu dijadikan ukuran, di mana selama parti-parti tempatan yang mentadbir Sabah pelbagai masalah yang muncul akibat ketidakmampuan mereka untuk mengurus tadbir kerajaan. Oleh itu, perlunya ada bantuan daripada parti-parti nasional dari Malaya untuk bertapak di Sabah bagi membantu kerajaan agar tetap stabil. Inilah pola fikir sebahagian rakyat Sabah masa kini yang berimpak dari kekuatan Pakatan Rakyat mempengaruhi fikiran rakyat Sabah.
USA-GABUNGAN dalam dilema, antara realiti dan fantasi. Kelihatannya rakyat Sabah belum mampu atau tidak mau berdiri di kaki sendiri untuk mentadbir Sabah. Tetap dengan sikap berkongsi bersama dengan kerajaan pusat pemerintah. Kesukaran lain yang dihadapi oleh USA-GABUNGAN untuk mempersatukan rakyat adalah kerana rakyat berpecah-belah dari segi pemikiran tentang hala-tuju Sabah dan ideologi politik yang bercampur-baur. Yang jelas kelihatan sekarang, rakyat Sabah terbahagi kepada beberapa golongan;
- Golongan rakyat yang mahukan Sabah keluar dari gabungan Malaysia secara mutlak dan menjadi sebuah negara yang berdaulat.
- Golongan rakyat yang tetap mempertahankan Sabah berada di dalam Persekutuan Malaysia tetapi meminta kerajaan yang memerintah kelak agar melaksanakan kuasa autonomi kepada Sabah sesuai dengan konsep Perjanjian Malaysia yang sebenar.
- Golongan rakyat yang pro parti Malaya, di mana bekerjasama penuh dengan parti-parti dari Malaya untuk sama-sama mengurus tadbir Kerajaan Sabah agar lebih baik sebelum ini.
- Golongan ini langsung tidak mempercayai dan yakin dengan kemampuan parti-parti tempatan Sabah atas alasan-alasan tertentu.
- Golongan yang pro parti tempatan dan berkeras untuk menolak parti-parti Malaya dan mempunyai azam yang kuat untuk menumbang parti penjajah, iaitu UMNO di Sabah. Mereka memberikan sokongan padu kepada parti-parti tempatan untuk mengambil-alih semua sistem politik Sabah yang dirampas dan dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin Malaya sebelum ini.
- Golongan rakyat yang tidak mengambil berat tentang hal-ehwal politik kerana fobia dengan sikap politikus tempatan Sabah yang tidak sentiasa mementingkan diri sendiri.
Bagaimanakah Pola Politik Sabah Akan Datang?
Sejak tahun 1961, apabila parti politik mulai ditubuhkan akibat daripada suatu ketakutan mengenai gagasan pembentukan MALAYSIA. Parti-parti politik tempatan mulai ditubuhkan dengan cepat kerana kesedaran yang tinggi bagi mempertahankan Sabah daripada bergabung dengan gagasan Malaysia. Jika diimbas kembali parti-parti tempatan yang ditubuhkan, dapat dilihat kerangka fikir para pemimpin politik ketika itu untuk menjaga komuniti masyarakat Sabah yang ada. UNKO/Pasok-MOMOGUN, mewakili komuniti Kadazan/Dusun, Murut, Rungus dan beberapa etnik yang lain di bahagian pedalaman. USNO muncul bagi menjaga kebajikan bumiputera yang beragama Islam dan beberapa etnik yang lain. Manakala parti-parti Cina bernaung di dalam parti gabungan iaitu BUNAP. Peranan dilakukan masing-masing demi untuk kepentingan bersama sebagai rakyat Sabah.
Walaupun demikian, usaha setiap parti yang berdiri bagi mewakili komuniti tertentu kelihatan baik, tetapi untuk mencari titik temu persefahaman sebenar tidak dapat dicapai. Ini jelas apabila timbul ketidakpuashatian pihak lain, syak wasangka, saling mempersalahkan, mendominasi keadaan dan saling tidak mempercayai. Inillah sikap Sabahan yang telah meracuni dan merosakkan Perikatan Sabah. Banyaknya parti dalam satu-satu gabungan tidak menjamin adanya kesatuan, malah ruang untuk berpuak-puak dan berpecah-belah semakin lebar.
Senario ini berlaku beberapa tahun di Sabah dan faktor yang utama dalam kemelut ini adalah CAMPUR TANGAN pemimpin dari Malaya. Sehingga wujud satu sistem politik tunggal yang didominasi oleh USNO dalam perjalanan awal sistem ini. USNO berperanan penting bagi menyatupadukan rakyat Sabah melalui perjuangan ini. Pemimpin utamanya lebih tertumpu kepada kepentingan Sabah, di mana ianya memandang serius soal autonomi Sabah, hasil minyak dan sumber-sumber Sabah. Oleh kerana kuasa tunggal ini sukar untuk digugat, maka timbullah masalah melalui penyelewengan, penting diri sendiri dan menindas pihak-pihak tertentu. Dalang utama disebalik masalah ini pun wujud dari CAMPUR TANGAN pemimpin Malaya melalui wali utama mereka, iaitu Syed Kechik dan kuasa Perdana Menteri Malaya melalui Tun Abdul Razak.
Akhirnya kuasa politik tunggal ini diubah melalui penubuhan parti BERJAYA untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh USNO. Hal ini pun wujud melalui CAMPUR TANGAN pemimpin Malaya dengan memperalatkan pemimpin-pemimpin politik Sabah yang bersikap "Yes Bos" sejak dulu kerana habuan dan kedudukan tertentu yang ditawarkan. BERJAYA juga kelihatan diterima baik oleh rakyat pada mulanya, namun hancur oleh pemimpin utama melalui Harris Salleh dan punca utamanya adalah CAMPUR TANGAN pemimpin Malaya terhadap politik Sabah. Kemudian timbul kesedaran dan kebangkitan rakyat melalui penubuhan PBS atas inisiatif pemimpin politik Sabah sendiri tanpa restu pemimpin Malaya. Apa yang diperjuangkan oleh USNO mengenai soal autonomi, minyak dan kebajikan rakyat Sabah diteruskan oleh PBS dengan lebih tegas dan berani. Perkara ini menimbulkan kemarahan kepada pemimpin politik Malaya kerana mereka melihat bahawa jalan mereka untuk memperalat pemimpin politik Sabah akan tertutup selepas ini. Pelbagai taktik kotor dilakukan, perkara halal dan haram tidak dikesahkan lagi, asalkan mereka boleh meneruskan CAMPUR TANGAN politik Sabah yang jelas melanggar kedaulatan Perjanjian Pembentukan Malaysia melalui 20 Perkara bagi pihak Sabah.
Sejarah yang berlaku terhadap parti tunggal tempatan seperti USNO, BERJAYA dan PBS sudah memberikan banyak pengajaran rakyat Sabah untuk menyedari dan menginsafi hal yang sebenarnya, bahawa dalang kepada setiap masalah di Sabah adalah kerana CAMPUR TANGAN pemimpin Malaya terhadap politik Sabah. Sehingga tahap kritikal yang tidak disedari oleh pemimpin-pemimpin politik Sabah atau sengaja dilakukan sebagai suatu kompromi untuk kepentingan peribadi dan pihak tertentu, di mana mereka telah meminda lima (5) Perlembagaan Sabah yang merupakan immuniti (kekebalan hak-hak dan kuasa Sabah) seperti yang terkandung dalam Memorandum 20Perkara, Laporan IGC 1962, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963. Pindaan Undang-undang tersebut meliputi kuasa Ketua Menteri Sabah, Yayasan Sabah, Tanah, Hutan dan Perlombongan. Pada waktu Kerajaan BN-UMNO membentangkan pindaan undang-undang tersebut, satu-satunya pemimpin Sabah yang tegas dan lantang bersuara membantah pindaan undang-undang tersebut adalah Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. Pemimpin-pemimpin politik Sabah yang lain hanya menutup mata dan telinga kepada hal ini sehingga hari ini rakyat Sabah sudah semakin merasakan keburukannya. Kuasa pentadbiran Sabah, pemilikan dan pengurusan tanah, kuasa ketua menteri dan hal-hal kebajikan Sabah bukan lagi diurus secara langsung di Sabah, tetapi sentiasa "merujuk kepada Kuala Lumpur/Putera Jaya".
Sistem "Divide and Rule" di Sabah
Sistem "divide and rule" (pecah dan perintah) yang dilakukan oleh pihak British terhadap Persekutuan Tanah Melayu di mana Tanah Melayu dipecahkan kepada TIGA SISTEM pemerintahan yang berasingan, iaitu Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Selain itu, masyarakat Melayu, Cina dan India diasingkan atau dipecah-belahkan mengikut sistem politik, sektor pekerjaan dan penempatan. Dengan sistem ini, amat sukar dan mustahil masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu pada masa itu boleh bersatu padu. Kaum-kaum tertentu terikat dengan parti-parti khusus yang mewakili mereka. UMNO dan PAS hanya untuk parti orang Melayu, MCA & GERAKAN khusus untuk orang Cina dan MIC untuk masyarakat India. Versi baru, lahirlah PKR, DAP dan AMANAH.
01. Parti PBS
02. Parti SAPP
03. Parti PBRS
04. Parti LDP
05. Parti UPKO
06. Parti STAR
07. Parti UMNO
08. Parti DAP
09. Parti PAS
10. Parti PKR
11. Parti Bersatu Bugis Sabah (PBBS)
12. Parti Cinta Sabah (PCS)
13. Parti Damai Sabah (Parti SPP)
14. Parti Ekonomi Rakyat Sabah (PERS)
15. Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah (PARTI BERSAMA)
16. Parti Kebangsaan Sabah
17. Parti Kebenaran Sabah (KEBENARAN)
18. Parti Pembangunan Warisan Sabah
19. Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU)
20. Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (BARU)
21. Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN)
22. Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS)
23. Parti Kerjasama Rakyat Sabah (PKRS)
Perkara ini sepatutnya diambil serius oleh para pemimpin politik Sabah dan rakyat, di mana melalui banyaknya parti di Sabah akan membuka ruang yang sangat lebar bagi pemimpin dan rakyat Sabah berpecah, berpuak-puak, mendominasi, mempersalahkan, syak wasangka, iri hati, saling menyalahkan, mengungkit-ungkit, parti ini mengambil orang dari parti itu untuk menjadi ahlinya dengan cara yang tidak sihat dan semua perkara yang berlaku banyak mengarah kepada hal-hal negatif. Kelihatannya ruang untuk rakyat Sabah bersatu padu ketika era USNO, BERJAYA & PBS musnah serta sangat tipis keberangkalian rakyat Sabah bersatu lagi.
Jelas kelihatan kepada beberapa parti baru yang muncul dan bergiat aktif, sebagai contohnya di dalam gerakan kesepakatan parti pembangkang tempatan Sabah masa kini yang dikenali sebagai USA-GABUNGAN Parti Cinta Sabah sudah mulai mengorak langkah untuk mendapatkan keahlian kepada partinya. Sehingga hal-hal tertentu tidak difikirkan kesan baik dan buruknya. PCS membuat promosi bahawa parti merekalah 'satu-satunya' yang mempunya agenda menuntut kuasa autonomi Sabah dan sebagainya. Hal ini secara langsung menjatuhkan krdebiliti rakan parti yang lain sedangkan mereka juga memperjuangan hal yang sama. Ahli-ahli dari STAR, SAPP akan berpindah keahlian ke PCS menyebabkan perpecahan di peringkat bahagian. Ini berlaku kerana tidak adanya kesepakatan dan kerjasama antara rakan parti dalam pembangkang. Kelihatan baik di pihak PCS, tetapi belum tentu baik di pihak STAR dan SAPP. Inilah salah satu contoh parti yang cuba mendominasi atau mahu menonjol dari yang lain kerana adanya 'advantage' tertentu. Bukan hanya PCS, tetapi kepada parti-parti baru yang lain. PPRS, PKS, PBBS dan lain akan bergerak sedikit masa lagi dan siapa rakyat yang tidak mempunyai keahlian dalam politik? Berapa rakyat yang masih belum menjadi sesebuah parti? Inilah yang akan menjadi wadah perjuangan parti-parti baru.
Sumber Artikel: YB. Datuk Dr. Jeffrey Kitingan
Apabila kita renung diri kita sendiri, kita akan mula memahami siapa diri kita sebenarnya pada saat ini. Keadaan-keadaan ini memerlukan penelitian lebih mendalam tentang diri kita sendiri sebagai satu masyarakat, supaya kita boleh mengatasi masalah-masalah perpecahan politik dan kemunduran ekonomi. Apakah sebab-sebab berlakunya keadaan itu? Bagaimana kita boleh menjadi seperti ini? Marilah kita periksa dan bincangkan beberapa faktor penyebab timbulnya masalah kita dan seterusnya mencari jalan untuk menaganinya.
a). Penting diri sendiri
Sifat terlalu menjaga "kepentingan diri sendiri" di dalam hati setiap insan bergelar pemimpin, seringkali menimbulkan ketidak-setujuan dan pertengkaran. Apabila sikap penting diri sendiri terus berlaku mengatasi kepentingan bersama, maka pendapat seringkkali disampaikan dalam bentuk dan kelakuan yang menuju dan melindungi kepentingan individu sahaja. Kepentingan komuniti dan masyarakat seluruhnya diketepikan. Justeru itu, komuniti kerugian. Hanya orang yang kuat akan selamat dan maju. Rakyat biasa senantiasa diabaikan.
b). Ego dan Kemegahan
Mungkin tiada siapa yang mengakui tetapi ego sebenarnya merupakan musuh dalaman yang tergagah. Para pemimpin seringkali berbangga di dalam diri sendiri, oleh itu mereka mahu dihormati lebih daripada pemimpin yang lain. Pemimpin-pemimpin yang mempunyai tahap kemegahan yang kuat atau tinggi berkecenderungan merasa tidak selamat dan sentiasa mengharapkan agar pendapatnya diterima lebih daripada pendapat orang lain. Ia selalu memikirkan bahawa dialah yang selalu betul.Pemimpin yang egoistik melemahkan semangat orang lain daripada memberi sumbangan. Pemimpin yang bermasalah keegoan yang tinggi hanya menghormati diri mereka sendiri. Mereka selalu enggan melihat mahupun menerima pendapat atau pandangan orang lain. Kebanggan dan kemegahan telah merenggang dan memisahkan perhubungan di kalangan para pemimpin. Jadi, daripada sepatutnya mereka berkumpul dan membincang dengan penuh bersemangat tentang-masalah bersama, mereka sebaliknya menjauhkan diri di antara satu dengan lain dan bercakap dari jauh pula.
c). Kurang Perhubungan
Perkara ini adalah faktor lain. Kita kurang membuat perbincangan untuk menjelaskan masalah dan kebimbangan bersama. Kita menjauhkan diri. Biasanya keadaan inilah akibat daripada masalah-masalah yang lampau atau pengalaman yang tidak baik.
Seringkali, mereka melakukan lebih daripada ungkapan kata-kata kutukan; mereka sering melakukan perbuatan yang menjatuhkan sesama sendiri umpama ketam yang menarik turun ketam yang lain yang cuba melepaskan diri keluar dari dalam bakul. Inilah yang berlaku dalam masyarakat kita. Kita sepatutnya mengubah "Mentaliti Ketam" ke "Mentaliti Kilau/Semut"
Kita perlukan penyelidikan dan analisis tentang keadaan dan masalah, kita juga perlukan jentera untuk menjana dan melaksnakan segala idea-idea. Kita juga memerlukan institusi latihan dan pembelajaran. Selain dari itu, kita juga memerlukan pemimpin-pemimpin yang berpandangan jauh dan bukannya pemimpin yang masih bertaut kepada mimpi indah masa lampau apatah lagi mereka yang hanya menghabiskan tenaga dan sumber-sumber untuk menyalahkan dan mencari jalan menghukum atau mencela pemimpin-pemimpin yang lain. Kepimpinan secara mencela dan menghukum bukan cara penyelesaian mahupun cara menangani masalah kita. Institusi-institusi dan pemimpin-pemimpin progresif adalah wajib sekiranya kita ingin maju. Hanya sedikit hahaja institusi yang ada hubung kait dengan KDMR pada masa ini. KDI, Yayasan Murut (tidak aktif), Yayasan Pembangunan Insan (PDF), PACOS, INDEP, KCCI, dan sebilangan kecil organisasi komersial atau korporat yang dimiliki dan dijalankan oleh personaliti KDMR. Malangnya, institusi-institusi seumpama itu seringkali disalahtafsirkan dan tidak mendapat sokongan yang padu dari masyarakat kerana sikap cemburu dan mentaliti ketam, seperti kita jelaskan sebelum ini.
7. SIKAP
Masyarakat KDMR menderita daripada masalah sikap. Sikap negatif seperti berfikiran "tidak apa", "tunggu dan lihat", berlengah-lengah dan sebagainya. Kurangnya tindakan positif dan berfikir positif.
MEMBENTUK MASA DEPAN
Setelah melihat masalah-masalah yang membelenggu kita, maka marilah membincangkan bagaimana untuk meyelesaikan masalah-masalah kita dan memulakan usaha membentuk hari esok. Sebab-sebab yang telah dikenalpasti dan bincangkan di dalam kertas ini belum menyeluruh. Kita hanya membincangkan punca-punca utama. Bagaimanapun, ianya adalah memadai bagi tujuan perbincangan dan memikirkan bersama langkah-langkahnya.
1.1 LANGKAH-LANGKAH TERTENTU PERLU DIAMBIL SEBELUM KITA DAPAT MERANGKA IDEA-IDEA TERTENTU DAN RANCANGAN-RANCANGAN UNTUK MASA DEPAN
- Langkah pertama ialah kesedaran dan penerimaan kelemahan dan realiti masyarakat kita pada masa kini.
- Langkah kedua ialah memupuk keinginan untuk mencari jalan penyelesaian. Kita menyedari masalah kita dan mengetahui bahawa kita adalah sebahagian daripada masalah tetapi melainkan kita ada keinginan untuk mencari jalan penyelesaian, masalah itu tetap tidak berubah.
- Langkah ketiga ialah berkomunikasi, runding, berkongsi dan berbincang. Inilah kita sedang kita usahakan sekarang. Tetapi, kita masih perlu banyak berkomunikasi.
- Hanya selepas langkah-langkah di atas telah diambil barulah kita boleh bergerak ke arah membuat cadangan-cadangan tertentu. Langkah-langkah di bawah adalah dicadangkan.
- Membentuk Wawasan Bersama. Apa yang kita ingin jadi dan di mana kita hendak pergi dari sini?
- Membentuk Jentera Bersama (a common vehicle) - Bagaimana kita boleh sampai ke situ?
- Membentuk dan melaksanakan Strategi Bersama (common Strategi)
- Menubuh dan menyokong Institusi-Institusi Progresif-membentuk mekanisma.
- Merangka pelan tindakan yang strategik untuk menyelesaikan setiap permasalahan - politik, ekonomi dan sosio -budaya.
a) Ekonomi
- Memahami NEP, DEB dan polisi kerajaan yang lain dan tahu apa yang mereka tawarkan, khususnya kepada bumiputera.
- Menubuh Pusat Penerangan Perniagaan atau Help Me Business Centre untuk masyarakat KDMR.
- Membentuk Dewan Perniagaan KDMR
- Membentuk jaringan atau rangkaian kerja (net work) untuk perhubungan antara satu dengan lain. Ini juga boleh dilakukan dengan menggunakan atau mengubah-suai rangkaian yang sedia ada.
- Berurus - niaga sesama sendiri.
- Buat tumpuan kepada penggunaan dan pemilikan tanah. (Cari jalan untuk menukarkan Tanah Native untuk ekonomi dan pengeluaran yang lebih baik)
- Beri pendidikan dan memodenkan para petani kita.
- Ubah sikap kita
- Tubuhkan pusat-pusat latihan dan penyelidikan.
- Ajar dan cakap bahasa ibunda.
- Galakkan penulisan dalam bahasa KDMR
- Tubuhkan Pusat Biodiversiti di KDI
- Perbanyakan penyelidikan dan pembangunan
- Lebih banyak usaha persefahaman
- Bubar atau gabungkan semua parti politik yang dipimpin oleh KDMR.
- Bersatu di bawah satu parti sahaja.
- Lupakan masa lampau. Tumpukan perhatian untuk sekarang dan untuk masa akan datang.
- Teruskan berkomunikasi
Kembalikan semangat tahun 1985 rakyat menggegarkan Sabah dengan kesatuan yang jitu dari rakyat sendiri. Semangat 85 yang kita bawakan pada era ini bukan mengambil semangat PBS pada waktu itu, tetapi semangat perpaduan dan kebersamaan tanpa benteng-benteng pemisah melalui soal-soal agama, budaya suku dan bangsa. Pulihkan Sabah, selamatkan Sabah!
- "Political Development In Sabah" (Datuk Dr. Herman J. Luping)
- USNO dan Berjaya: Politik Sabah (Hamdan Aziz)
- "Sabah Dalam Konteks Pembinaan Nasion Malaysia. Prosiding Seminar Kebangsaan Pembinaan Nation Malaysia" (Mohd Sarim Hj. Mustajab)
- "Sabah Perubahan dalam Pembangunan" (Sabihah Osman)
- "Politik dan Agama Di Sabah" (Ismail Yusoff)
- http://www.sabahdaily.com
- http://n5tandek.blogspot.my
- http://panjikinabalu.blogspot.my
- http://jendelasabah.blogspot.my
- http://perotojr.blogspot.my/
- http://www.freemalaysiatoday.com/
- https://www.blogger.com





