04 November 2015

SEMANGAT 85

"Semangat 85"
 Pilihan Raya Umum pertama di Sabah telah diadakan pada 16 Disember 1962 di bawah Local Government Elections Ordinance untuk 118 ward di pihak berkuasa tempatan. Setiausaha Kolonial bagi Kerajaan Tempatan selaku Penguasa Pilihan Raya bertanggungjawab menjalankan Pilihan Raya tersebut. Semua urusan pilihan raya berjalan dengan lancar. Kempen pilihan raya dibuat melalui corong radio yang tersedia, melalui media cetak dan risalah bagi tujuan untuk memberi kefahaman kepada rakyat Sabah ketika itu. Pendek kata, pilihanraya ketika itu benar-benar telus dan demokrasi tanpa sekatan kebebasan bersuara.

 Tujuan parti-parti tersebut ditubuhkan kerana Sabah ingin mencapai kemerdekaan melalui kerajaan British dan tidak mahu menyertai pembentukan Persekutuan Malaysia yang telah diwar-warkan ketika itu. Menurut pandangan penganalisis politik, cadangan pembentukan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961 di Singapura (Sunday Mail 1961, Sunday Times 1961) merupakan satu detik penting yang membawa kepada perkembangan parti politik di Sabah. Rakyat Sabah dan Sarawak menginginkan kerajaan British untuk duduk lebih lama sehingga mereka mencapai kemerdekaan sendiri. Isu pembentukan Persekutuan Malaysia semakin dicanangkan dan sangat merisaukan pemimpin-pemimpin tempatan sehingga jalan terbaik yang dilakukan adalah menubuhkan parti masing-masing dengan tujuan menyuarakan pendapat melalui parti yang mereka wakili. Senario pembentukan dan kemunculan parti-parti politik tempatan berlaku begitu drastik dan singkat sekali.

  Kesedaran yang tinggi timbul di kalangan para pemimpin Sabah, walaupun mereka rata-ratanya tidak sebijak Tunku Abdul Rahman yang mempunyai lulusan pendidikan dari Eropah, tetapi semangat patriotisme mereka terhadap negara Sabah begitu tinggi sekali. Mereka dapat melihat masa depan dan boleh meramalkan nasib rakyat Sabah jika berada di dalam Persekutuan Malaysia dengan keadaan Sabah belum merdeka.

  Parti-parti tempatan ditubuhkan dengan tujuan yang jelas dan terarah kepada hala tuju perjuangan parti. Kelihatannya agak ektrimis, tetapi itulah hakikatnya yang terbaik pada masa itu. Bermula pada tahun 1961 akibat daripada isu-isu gagasan Malaysia maka beberapa parti tempatan Sabah ditubuhkan, antaranya:-

United National Kadazan Organization (UNKO)
Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu

  Parti ini ditubuhkan pada 26 Mac 1961 dan merupakan parti pertama yang berjaya muncul dengan skop perjuangan yang jelas iaitu menjaga komuniti rakyat yang berbangsa Kadazan/Dusun, Rungus dan Murut khususnya yang beragama Kristian. Tokoh-tokoh awal yang bersatu dalam penubuhan parti ini ialah Donald Stephens, Peter Mojuntin, Herman Luping, Ganie Gilong, G.S Sundang. Namun Donald Stephen adalah yang dipercayakan untuk memimpin parti ini pada masa itu. Matlamat utama penubuhan UNKO ialah untuk menyatupadukan rakyat Kadazan/Dusun dan Murut supaya mereka pada akhirnya berkerjasama dan bersatu dengan etnik-etnik yang lain untuk memajukan serta membangunkan negara Sabah. Keseluruhan dari maksud perjuangan parti ini adalah benar-benar untuk kebaikan bagi Kadazan/Dusun, Rungus dan Murut dengan tidak mengabaikan etnik yang lain.

  Donald Stephen adalah seorang ahli perniagaan peranakan Australia-Kadazan dari Jesselton. Beliau adalah saudagar balak (timber magnate) dan juga terkenal sebagai pengarang akhbar North Borneo News and Sabah Times.(kemudiannya di kenali sebagai Sabah Times). Kekayaan hasil konsesi balak yang di perolehi daripada penjajah British, telah membolehkan menampung perbelanjaan kegiatan parti politik UNKO. Melalui penglibatannya sebagai pengarang akhbar North Borneo News and Sabah Times telah memudahkan penyampaian pandangan UNKO mengenai pelbagai isu dan kesan-kesannya bila bergabung dalam gagasan Malaysia, di mana Sabah mahukan kemerdekaan melalui British dan bukannya menyertai gabungan Malaysia. Kelantangan parti UNKO menentang gagasan Malaysia di sambut baik oleh rakyat Sabah secara keseluruhannya.

United Sabah National Organization (USNO)
  Kesan negatif yang berlaku kepada rakyat Sabah bumiputera Sabah ketika itu, khususnya mereka yang tidak termasuk dalam skop perjuangan UNKO telah menimbulkan rasa kebimbangan di kalangan penduduk bumiputera Islam di Sabah. Oleh itu, bumiputera Islam telah menubuhkan parti politik mereka sendiri iaitu United Sabah National Organization-USNO dengan matlamat utamanya bagi mewakili cita-cita dan objektif komuniti Melayu Muslim di Sabah. Empat bulan selepas penubuhan UNKO, parti USNO secara rasminya dilancarkan di Kudat oleh Tun Datu Mustapha pada 23hb. Disember 1961.

  Di samping Tun Datu Mustapha yang menyedari betapa penting dan wajarnya parti USNO ini ditubuhkan bagi kepentingan suatu komuniti tertentu, beberapa pemimpin lain yang secara aktif giat dalam pelbagai persatuan dan kegiatan agama Islam bagi penubuhan USNO. Mereka adalah, Datuk Hj.Zakaria Gunn, Datuk Ahmad Mahmud, Hj.Yusuf Shamsuddin, Parman bin Hassan Raji, Datuk Hj. Ariffin, Datuk Abd. Malik Jangkat, Datuk Othman Hj.Sidik, Datu K.M Edinin, Allahyarham Datuk Hj. Abu Bakar Titingan (Timbalan Presiden USNO)-Pemimpin "Persatuan Islam Putatan". Orang-orang ini bekerjasama penuh dengan presiden USNO kerana pengaruhnya yang begitu kuat sejak tahun 1950an di kalangan aktivis agama Islam.

  Tun Datu Mustapha pernah memegang jawatan sebagai Ketua Anak Negeri Gred Satu (OKK) Di lantik menjadi ahli Majlis Perundangan Sabah pada tahun 1955. Datu Harun Datu Nasaruddin Bapanya berbangsa Suluk dan ibunya adalah Bajau Bannaran. Dia mendapat pendidikan di SRK St James, Kudat. Seterusnya, mengikuti kursus pertanian Lembaga Kemajuan Industri Luar Bandar (RIDA) pada tahun 1951 hingga 1952 di Serdang, Selangor. Pada tahun 1959, beliau menyertai kursus Bahasa Inggeris dan Politik di England (Klik-Wikipedia). USNO sejak awal lagi menyokong gagasan Malaysia kerana ia dapat menjamin perkembangan ekonomi dan kestabilan politik Sabah. USNO menggariskan agenda perjuangannya iaitu "Bersatu, Bersedia, Berkhidmat" kearah mencapai kemerdekaan melalui Malaysia.

  Tun Datu Mustapha adalah pemimpin pertama Sabah yang menyokong agama Islam di jadikan agama rasmi Sabah dan begitu juga Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Dasar perjuangan USNO inilah yang menyebabkan timbulnya kontroversi dan pertentangan hebat dengan parti UNKO pimpinan Donald Stephen. Namun menjelang pembentukan Persekutuan Malaysia, kedua parti ini bekerjasama dan bersatu.

United National Pasok-Momugun Organization
(PASOK-MOMUGUN)
  Perkembangan rakyat yang di bawah jagaan kedua parti, iaitu UNKO dan USNO memberikan reaksi sedikit berbeza kepada orang-orang yang berbangsa Murut. Mereka merasa sedikit terabai jika dibandingkan dengan rakyat yang berbangsa Kadazan dan bumiputera Melayu Islam. Oleh itu G.S. Sundang keluar daripada parti UNKO dan menubuhkan United National Pasok Momugun Organization (Pasok Momugun) pada 4hb. Januari 1962. Peribadi yang turut berperanan penting dalam penubuhan parti ini ialah O.K.K. Sundang.

  Parti ini disertai oleh kebanyakkan orang Murut dan Dusun, di mana parti ini ditubuhkan bertujuan untuk melindungi hak kaum Bumiputera di kawasan pedalaman dan juga menentang gagasan Malaysia. Perkara ini menjadi faktor utama pertentangan mereka dengan parti USNO. Begitu juga dengan UNKO, di mana timbulnya suatu sikap tidak berpuas hati mereka terhadap penggunaan "Kadazan" sehingga timbul diskriminasi tertentu di kalangan rakyat yang dilakukan oleh UNKO.

   Kaum-kaum yang lain kelihatannya stabil dan selamat di bawah kuasa jagaan parti-parti tertentu. Namun kaum Cina yang minoriti ketika itu pula melahirkan kebimbangan bahawa mereka seolah-olah tidak diperdulikan. Mereka juga sangat bimbang bahawa ekonomi mereka akan terganggu bilamana Sabah menyertai gagasan Malaysia. Khoo Siak Chiew seorang peniaga Cina yang berpengaruh dari Sandakan menyuarakan kebimbangan mengenai Sabah akan di jajah oleh Tanah Melayu sekiranya Sabah tidak di beri hak berkerajaan sendiri terlebih dahulu.

  Pada mulanya Parti Pasok-Momogun digunakan oleh beberapa Peniaga Cina yang berpengaruh untuk menentang penubuhan Malaysia. Selain Khoo Siak Chiew (Sandakan), seorang lagi ialah Peter Chin yang berasal dari Jesselton (sekarang Kota Kinabalu). Mereka menyumbang dana kepada parti ini untuk membuat gerakan parti. Namun menjelang pembentukan Malaysia, kedua orang Cina itu akhirnya akur kerana kelihatannya sangat sukar untuk dihalang kerana di dalangi oleh satu kuasa besar. Kemudian bantuan dana dihentikan terhadap parti Pasok-Momogun menyebabkan gerakannya terbengkalai. G.S.Sundang bagaimanapun berkeras dan tetap berpendirian menjadi anti Malaysia. Keadaan semakin sukar bagi Pasok-Momogun untuk bergerak dan turut ditinggalkan oleh kedua peniaga Cina itu. Perkara ini membuatkan G.S.Sundang memikirkan semula perkara gagasan Malaysia dan terpaksa akur dengan keadaan. Sehingga November 1962 akhirnya parti Pasok-Momogun menyertai Parti Perikatan Sabah dan menjadi salah satu parti komponen yang menyokong gagasan Malaysia.

  Pada bulan Jun 1964, parti UNKO dan Pasok-Momogun membuat persetujuan bersama untuk bergabung. Maka muncullah satu parti gabungan yang dinamakan sebagai "United Pasok Momogun Kadazan Organization (UPKO)". Parti ini juga menjadi salah satu parti komponen Parti Perikatan Sabah bagi menyokong pembentukan Malaysia.

PERKEMBANGAN PARTI CINA DI SABAH
  Orang Cina juga telah mulai mencari idea terbaik untuk melindungi kepentingan komunitinya di Sabah. Kesedaran timbul kerana kebimbangan terhadap pembentukan gagasan Malaysia. Mereka beranggapan bahawa pembentukan Malaysia ini akan memberikan peluang kepada penguasaan politik Melayu dan boleh menjejas pendidikan, bahasa dan ekonomi mereka.

  Muncul dua aliran reaksi orang Cina di Sabah terhadap pembentukan gagasan Malaysia bagi memperjuangkan kepentingan mereka di Sabah dan kemunculan dua parti politik Cina. Di satu pihak, mereka inginkan sebuah pertubuhan politik, manakala pihak kedua mahukan satu badan bukan politik diwujudkan bagi melindungi dan memperjuangkan kepentingan mereka.

  Pemimpin-pemimpin Cina yang beraliran bahawa penubuhan parti politik adalah jalan terbaik untuk melindungi dan memperjuangkan hak mereka akhirnya telah menubuhkan parti politik mereka. Dua parti Cina yang ditubuhkan pada tahun 1962, iaitu North Borneo Democratic Party (NBDP) berpusat di Jesselton di bawah pimpinan Peter Chin. NBDP mewakili peniaga dan pedagang sederhana dari golongan Hokkien dan Hakka yang kebanyakan daripada mereka berpendidikan bahasa Cina. Manakala satu lagi parti Cina di bawah pimpinan Khoo Siak Chiew iaitu United Party (UP) dan berpusat di Sandakan. Kedua-dua parti politik ini kebanyakkannya disertai dan anggotai oleh peniaga-peniaga kaya dari golongan Hakka dan Teochew yang berpendidikan Inggeris serta sebilangan kecil golongan profesional.

  Kedua-dua parti ini begitu lantang menyuarakan bahawa adalah lebih baik jika Sabah mencapai kerajaan sendiri terlebih dahulu sebelum menyertai Malaysia (United Party). Manakala NBDP pula lantang menuntut taraf berkerajaan sendiri, tidak ada bahasa atau agama rasmi, bahasa Inggeris terus di kekalkan, hubungan rapat dengan Tanah Melayu dan Singapura mesti di jalankan secara beransur-ansur serta hendaklah di tentukan taraf orang Cina kacukan Dusun (Sino-Dusun) di Sabah. Suara perjuangan mereka begitu berpengaruh kerana kedudukan mereka sebagai peniaga maju dan pada ketika itu juga komuniti Cina telah menguasai 32 lesen kayu balak dan 90% ekonomi Sabah juga berada pada tangan orang Cina.Maka kepentingan ekonomi mereka di Sabah perlu lah di lindungi.

  Pada bulan Febuari 1962, beberapa perwakilan dari parti politik Cina iaitu Malayan Chinese Association (MCA) yang diketuai oleh Dr.Lim Swee Aun. Tujuan lawatan perwakilan ini adalah bagi memberikan penjelasan tentang kepentingan gagasan Malaysia dan memujuk dua parti Cina Sabah itu agar bergabung bagi menghadapi pilihan raya pada masa akan datang. Akhirnya persetujuan dilakukan oleh NBDP dan UP untuk bergabung dan lahirlah parti gabungan Cina Sabah iaitu Borneo Utara National Party (BUNAP) dan secara rasminya ditubuhkan pada 12hb. Oktober 1962. Kemudian langkah bijak yang diambil adalah dengan menyertai Parti Perikatan Sabah dengan mengumumkan bahawa mereka menerima dan bersetuju gagasan Malaysia.

   Sejarah parti Cina ini dicatat bahawa pada 16hb. September 1963 iaitu bersamaan dengan tarikh pembentukan Persekutuan Malaysia, parti Cina Sabah ini yang dikenali sebagai Borneo Utara National Party (BUNAP) ditukar dengan nama baru iaitu Sabah National Party (SANAP).

Perikatan Sabah 
  Parti Perikatan ialah sebuah parti politik Malaysia yang dimulakan oleh orang Melayu yang bersatu di bawah presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra, untuk satu tujuan, iaitu berjuang bagi mendapat kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah British untuk Tanah Melayu. Kaum Cina dan India, bergabung dengan orang Melayu untuk tujuan yang sama. Gabungan parti itu menggunakan lambang "Kapal Layar". Parti ini berjaya untuk memperoleh pemerintahan sendiri daripada pihak British dan menjalankan pemerintahan demokrasi sehingga hari ini. Parti ini juga berjaya memperoleh kemerdekaan daripada pihak British untuk Sabah dan Sarawak. Parti Perikatan inilah kemudian bertukar kepada Barisan Nasional yang merupakan sebuah parti politik yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya yang kuat, berjaya, dan mempunyai matlamat yang kukuh dan tersendiri.

  Rumus Parti Perikatan diperbesarkan di bawah kerjasama orang Melayu dan orang bukan Melayu di seluruh Malaysia. Konsep ini disebarkan di peringkat wilayah dan negeri. Gabungan pelbagai parti menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang didaftarkan pada 1 Julai 1974. (Klik Wikipedia).

  Parti Perikatan Sabah diwujudkan oleh gabungan buah fikiran pemimpin politik Sabah dan juga pemimpin-pemimpin politik Persekutuan Tanah Melayu bagi suatu perpaduan rakyat serta menyokong penubuhan gagasan Malaysia. Parti-parti tempatan Sabah yang berada dalam komponen ini ialah UNKO, USNO, SANAP dan PM.

  Sejak tahun 1962 hingga 1967 walaupun wujudnya satu wadah perjuangan setiap parti tempatan di Sabah, persengketaan, curiga-mencurigai dan pendapat yang tertentangan di antara beberapa pemimpin parti besar seperti UNKO yang mewakili komuniti Kadazan/Dusun dan Sino-Kadazan, USNO mewakili komuniti yang terdiri daripada Melayu-Muslim, SANAP mewakili komuniti Cina dan Pasok-Momogun mewakili masyarakat Dusun dan Murut di kawasan Pedalaman.

  Kedudukan Parti Perikatan Sabah agak rapuh kerana penubuhannya adalah dilakukan dengan terburu-buru kerana bertujuan mendapatkan sokongan dan mempercepatkan agenda gagasan Malaysia. Akibat daripada dasar yang tidak kukuh ini, maka ruang persengketaan dan perbezaan pendapat sering terjadi kepada pemimpin-pemimpin yang mewakili komuniti tertentu. Mereka lebih mengutamakan hak-hak dan kepentingan komuniti di bawah jagaan mereka tetap timbul kerisauan mereka terhadap gagasan Malaysia.

  Pilihan Raya Umum bagi Sabah diadakan sebelum pembentukan Malaysia, iaitu pada bulan Mac 1963. Tujuan pilihan raya ini ialah memilih calon bagi menduduki Dewan Undangan Negara Sabah. Keputusan pilihan raya tersebut mencatat bahawa parti USNO memperolehi 8 kerusi, UNKO memperolehi 5 kerusi, parti SANAP memperolehi 4 kerusi dan Pasok-Momogun memperolehi 1 kerusi. Berdasarkan keputusan pilihan raya ini, maka dengan nasihat daripada pihak British dan dipersetujui oleh semua ahli perikatan bahawa Donald Stephen diangkat sebagai Perdana Menteri Sabah.

   Dalam perkara ini timbul juga ketegangan kerana berdasarkan kerusi yang diperolehi oleh parti, maka selayaknya Tun Datu Mustapha layak menjadi Perdana Menteri. Tetapi setelah perbincangan dan kata putus diambil maka kelihatannya adil jika Tun Datu Mutapha memegang jawatan sebagai Yang Di-pertua Negara Sabah dan Donald Stephen sebagai Perdana Menteri Sabah.  

 Ketegangan mulai berlaku lagi apabila jawatan Yang Di-Pertua Negara Sabah dipegang oleh Tun Datu Mustapha, di mana menurut pemahamannya bahawa jawatan tersebut sama seperti Gabenor pada zaman British. Keadaan yang berlaku adalah Tun Datu Mustapha lebih terkongkong dalam bidang kuasa politik. Semua urusan pentadbiran di Sabah dipegang dan dikuasai oleh Donald Stephen sendiri. Perkara ini menyebabkan timbulnya jurang kerjasama di antara Perdana Menteri dan Yang Di-Pertua Negara Sabah. Akibatnya impak daripada penting diri sendiri kedudukan Parti Perikatan Sabah mulai menjadi lemah.

  Ketegangan berterusan di antara USNO dan UNKO, malah masalah semakin bertambah bilamana Pemimpin Malaya sebagai kerajaan pusat campur tangan dalam perkara ini dengan memberi saranan agar Donald Stephen meletakkan jawatannya. Donald Stephen akur dengan pusat, ia melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan memegang portfolio sebagai Menteri Hal-Ehwal Sabah. Tindakan ini memberikan keuntungan kepada parti Cina bilamana Peter Lo dari parti SCA mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri Sabah. Ketegangan di antara parti komponen semakin berlarutan apabila parti UPKO melihat bahawa Tun Datu Mustapha pula akan pasti menjadi Perdana Menteri Sabah selepas ini. UPKO sangat kecewa dengan jalan penyelesaian yang diambil oleh USNO dan SCA serta campur tangan dari Malaya yang bertindak sebagai kerajaan pusat.

  UPKO bertindak agar kemasukan Sabah di dalam Persekutuan Malaysia dikaji semula. Perkara ini ditolak dengan kerasnya oleh Tunku Abdul Rahman. Donald Stephen melihat suatu masalah timbul dengan reaksi Tunku, kemudian ia mewujudkan satu plan kerjasama di antara "Sabah, Sarawak dan Singapura". Kerjasama ini membincangkan kedudukan masing-masing dalam Malaysia oleh kerana persetujuan awal pembentukan Malaysia kelihatannya bermasalah. Tunku Abdul Rahman menghidu perkara ini sebagai suatu ancaman kepadanya. Dengan kuasa yang ada, Tunku menekan Perikatan Sabah dengan memaksa menggugurkan jawatan Donald Stephen sebagai pemimpin UPKO. Akibatnyanya bukan saja Donald Stephen terpaksa meletakkan jawatannya, tetapi diikuti oleh seorang rakan karibnya iaitu Peter Mojuntin. Perkara ini menyebabkan kedudukan UPKO dalam Perikatan Sabah semakin lemah sehinggalah pada bulan Disember 1967 UPKO dibubarkan. Semua rancangan yang dibuat oleh Donald Stephen bagi kepentingan rakyat Sabah khususnya menemui kegagalan. Akibatnya seorang demi seorang ahli-ahli UPKO melompat ke parti USNO demi untuk meneruskan karier politik masing-masing.

Dominasi Parti Politik Tunggal
  Migran ahli UPKO ke parti USNO dilihat suatu hal yang baik di pandangan Tunku dan disambut baik oleh Tun Datu Mustapha. Untuk meredahkan situasi, Donald Stephen dipercayakan untuk memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia. Dengan penghijrahan Donald Stephen ke Australia dan tiada dalam urusan politik Sabah suasan menjadi redah dan pengurusan pentadbiran Sabah kelihatannya berjalan baik dan lancar dengan kekuasaan USNO dan nasihat kerajaan pusat dari Malaya.

   Parti USNO di bawah pimpinan Tun Datu Mustapha memerintah Sabah melalui Parti Perikatan Sabah. Samada perkara itu baik atau tidak, rakyat terpaksa akur dengan semua keputusan pemerintah. Walaupun keadaan kelihatannya tidak mengalami masalah tetapi tidak ada kuasa yang boleh menghalang kemaraan kekuasaan
USNO di Sabah. Bangunan United Sabah Islamic Association (USIA) dibina pada bulan Ogos 1969 
dengan tujuan mentadbir Islam dan memperluaskan dakwah Islam. Selepas itu pada tahun 1971 Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pula ditubuhkan. Penyebaran agama Islam semakin berleluasa sehingga menimbulkan ketegangan
masyarakat bukan Islam akibat sebilangan rakyat yang dipaksa untuk menganuti Islam. Yang jelas pada masa itu masyarakat bumiputera Islam sahaja yang diberikan keutamaan dan terjadi diskriminasi agama terhadap bumiputera bukan Islam. Ini menimbulkan sikap tidak puas hati dan marah di kalangan rakyat Sabah yang bukan Islam menyebabkan ketegangan kaum dan agama menebal di kalangan masyarakat Kadazan/Dusun, Murut, Rungus dan Cina pada ketika itu.

  Salah seorang bekas pemimpin UPKO, iaitu Peter Mojuntin cuba untuk bangkit menentang kekerasan pemerintahan ketika itu dengan menubuhkan Union Of Sabah People (USAP) bagi menentang kuasa USNO, namun usaha ini gagal berikutan kegagalan USAP didaftarkan. Di samping itu para pemimpin yang bangkit bersama dengan Peter Mojuntin dalam USAP turut di ugut dan dengan mudah disogok dengan wang. Maka hasrat dan cita-cita Union Of Sabah People (USAP) hanya dicatat sebagai warna-warni sejarah politik Sabah.

  Dengan begitu angkuh dan beraninya USNO melakukan hampir setiap perkara tanpa disenangi oleh rakyat. Keluhan rakyat Sabah mulai kedengaran, mereka cukup marah dengan sikap pemerintahan kuku besi yang dilakukan oleh Tun Datu Mustapha. Akhirnya rakyat menarik nafas lega apabila munculnya parti BERJAYA, di mana ianya mengembalikan semangat politik rakyat Sabah.

Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA)
  Hubungan antara kerajaan negara Sabah dan kerajaan Persekutuan pada
awalnya terlalu baik. Tiada masalah besar timbul dalam hubungan ini. Namun apabila pengaruh pemimpin Sabah yakni Tun Mustapha terlalu kuat dan berkuasa di Sabah, hubungan erat tadi semakin longgar. Tindak tanduk Tun Mustapha semakin sukar dikawal dan banyak bercanggah dengan kerajaan pusat pimpinan Tun Abd Razak. Pembaziran wang, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa memburukan lagi keadaan.

  Tahun 1971 pergeseran antara Tun Mustapha dengan kerajaan pusat makin serius terutama berkaitan dengan isu pengurusan ekonomi (hasil balak dan minyak) dan autonomi Sabah. Kerajaan Pusat cuba meredakan ketegangan dengan menawarkan jawatan Menteri Pertahanan peringkat pusat kepada TunMustapha tetapi ditolak oleh beliau. Penolakan ini memanjangkan lagi pergeseran dua belah pihak. Atas nasihat dan galakkan daripada pemimpin Persekutuan Tun Abdul Razak maka tertubuhlah Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah atau Sabah People's United Front atau BERJAYA. Parti BERJAYA ditubuhkan oleh Tun Razak (Bapa Najib) pada 15 Julai 1975, di mana antara pemimpin terpentingnya adalah Datuk Pairin Kitingan sendiri sebagai Setiausaha Agung parti BERJAYA. Kewujudannya adalah hasil daripada kerjasama bekas Perdana Menteri Pertama Sabah, Tun Fuad Stephen dan mantan setiausaha agung Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Harris Salleh. 

  Pada peringkat awal parti ini dipimpin oleh Datuk Harris Mohd Salleh yang dibantu oleh Timbalan Presiden Datuk Ganie Gilong, Yeo Pao Tzu dan Haji Ampong Puyun. Tuan Haji Mohd Noor Mansur sebagai Setiausaha Agung, Joseph Pairin Kitingan sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Datuk Peter Mojuntin sebagai Bendahari. Sokongan kerajaan Pusat ke atas BERJAYA menyebabkan Tun Mustapha tidak dapat menghalang kemaraan parti tersebut. Selain daripada sokongan ahli-ahli politik Sabah, BERJAYA turut mendapat sokongan daripada ahli-ahli politik Persekutuan dan Sarawak. Antaranya ialah Abd Gapar Baba, Abd Rahman Yaacub dan Yang Dipertua Negera Sabah sendiri iaitu Tun Fuad.

  Pembentukan Parti Bersatu Rakyat Sabah (BERJAYA) dapat di bincangkan berdasarkan hubungan antara Kerajaan Perikatan Sabah dan Kerajaan Pusat Kuala Lumpur pada tahun-tahun akhir pemerintahan Perikatan Sabah. Dengan perbincangan pemimpin persekutuan Kuala Lumpur akhirnya Parti BERJAYA dengan rasminya ditubuhkan pada 15 Julai 1975.

  BERJAYA mendapat sokongan daripada penduduk tempatan dan hasilnya,pada pilihanraya negeri April 1976, daripada 48 kerusi yang dipertandingkan, BERJAYA telah memenangi 28 kerusi. USNO pula hanya memenangi 20 kerusi sahaja yang kebanyakannya dimenangi di kawasan penduduk beragama Islam. Apa yang menjadi keunikan dan keistimewaan BERJAYA ialah ianya merupakan parti pertama yang betul-betul bersifat multiracial yang di tubuhkan di Sabah. Ini dapat di lihat apabila parti ini di terajui oleh pemimpin dari golongan bumiputera Muslim dan bukan Muslim iaitu terdiri daripada bangsa Kadazan/Dusun, Bajau, Suluk, Rungus, Murut, Bisaya, Brunei, Orang Sungai, Kwijau, Tatana, Tidong dan Kimaragang. Persatuan-persatuan Cina juga menyertai parti ini kerana keyakinan mereka kepada parti ini dalam membangunkan semua bangsa di Sabah dalam melibatkan diri dalam politik Sabah. 

  Tetapi bermula pada tahun 1976, maka bermulalah satu detik baru bagi sejarah politik Sabah di bawah pemerintahan Parti BERJAYA pimpinan Harris Salleh. Tahun 1976 juga adalah tahun yang malang bagi kerajaan negara Sabah. Walaupun dipandangan rakyat kerjaan BERJAYA adalah kuasa yang mentabdir dan dapat melahirkan kesejahteraan rakyat, namun tanpa disedari pemerintahan BERJAYA mempunyai keburukan yang sama. Pada era USNO tindakan Tun Datu Mustapha lebih memusatkan kepada hal-ehwal Sabah walaupun dengan cara keras, manakala di zaman BERJAYA pula para pemimpin Malaya dengan mudah mengawal kepemimpinan ini untuk mengikuti telunjuk dan kemahuan para pemimpin Malaya.

  Sehingga 3 perkara besar dan malang berlaku pada negara Sabah hanya dalam tahun 1976, iaitu Pertama tragedi kematian pemimpin-pemimpin utama Sabah, kemudian disusuli dengan penyerahan 95% hasil minyak Sabah diserahkan kepada Petronas, di mana ini sebabnya urusan pemimpin-pemimpin utama Sabah yang terkorban dalam nahas helikopter itu untuk berangkat ke Kuala Lumpur bagi menyelesaikan ketegangan kerana rasa tidak puas hati oleh pemimpin-pemimpin Sabah terhadap agihan  hasil  minyak  Sabah  yang  dibuat oleh pihak pemerintah ketika itu. Kemudian malang yang ketiga adalah status Sabah sebagai sebuah Negara diturunkan kepada Negeri dan dimasukkan dalam senarai negeri Persekutuan Malaya yang pada mulanya 11 buah negeri. Kemudian pada Pada 16 April 1984, daerah Labuan pula diserahkan oleh Harris Salleh kepada kerajaan persekutuan tanpa persetujuan dari rakyat Labuan dan dengan cara yang tidak sepatutnya. Penyerahan Labuan ibarat menyerahkan 'cucu kepada nenek yang kaya raya'.

Parti Bersatu Sabah-PBS
  Kemenangan Parti PBS dalam pilihanraya pada tahun 1985 telah memeranjatkan semua pihak terutamanya parti BERJAYA dan Kerajaan Persekutuan sendiri. Namun bagi rakyat ia sememangnya telah di duga memandangkan keadaan politik pada masa tersebut yang tidak menentu. Keadaan politik Sabah sudah mulai kucar-kacir dan banyak perkara yang diselewengkan oleh Harris Salleh sendiri yang bersekongkol dengan pemimpin politik persekutuan Kuala Lumpur.

  Pada tahun 1984, Datuk Joseph Pairin Kitingan telah dipaksa untuk meninggalkan parti tersebut apabila beliau lantang menentang dasar-dasar kerajaan yang dikatakannya telah menyimpang dari perjuangan asal. Beliau turut dipaksa mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan. Pairin kemudiannya dengan berani bertanding dalam pilihanraya kecil Tambunan pada Disember 1984 sebagai calon Bebas menentang calon kerajaan. Walaupun dengan berbagai rintangan dan taktik kotor pihak lawan, beliau telah berjaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti besar, 3,048. Kemenangan tersebut telah menyemarakkan api perjuangan untuk mengubah senario politik di Sabah serta menegakkan demokrasi dan menentang penyalahgunaan kuasa yang diamalkan pemerintah ketika itu. Satu gerakan baru yang dipimpin Pairin dan disokong secara senyap oleh majoriti akar umbi mula bergerak dan dengan itu, tertubuhnya Parti Bersatu Sabah pada 5hb. Mac 1985 dengan Pairin sebagai presiden parti. (Klik-Rujukan)

  PBS yang baru berusia 47 hari telah menyertai pilihan raya 1985 dan terus mencipta kejutan dengan memenangi 25 daripda 48 kerusi Dewan Undangan Negeri. Apa yang lebih mengejutkan Ketua Menteri dan presiden BERJAYA, Datuk Harris Salleh tewas di Tenom kepada seorang yang langsung tidak terkenal, Kadoh Agundong. Parti pemerintah BERJAYA cuma mampu memenangi 6 kerusi, dengan USNO 16 kerusi serta PASOK 1. Kejayaan ini membolehkan PBS menubuhkan kerajaan dan memerintah negeri Sabah dengan Pairin dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah yang ke-6. Setelah rusuhan 1986 yang didalangi parti yang kalah untuk cuba menjatuhkan kerajaan PBS, PBS membubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan satu lagi pilihanraya pada Mei 1986. Kali ini PBS berjaya mengukuhkan lagi kedudukan mereka setelah memenangi 34 daripada 48 kerusi. PBS kemudian menyertai Barisan Nasional (BN).

  Beberapa hari sebelum pilihanraya 1990, PBS bertindak keluar dari Barisan Nasional dan menyertai Gagasan Rakyat yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah. Mereka memberi alasan bahawa mereka telah dianaktirikan sewaktu berada dalam BN. PBS terus mencapai kejayaan dengan memenangi 36 daripada 48 kerusi. Senario politik di Sabah terus berkocak apabila PBS yang berkuasa menerajui kerajaan di Sabah ketika itu bertindak keluar dari gagasan BN sekitar tahun 1990-an memaksa kehadiran UMNO datang ke Sabah setelah Allahyarham Tun Mustapha ketika itu Presiden USNO memikirkan bahawa USNO tidak mampu menumbangkan kerajaan PBS, pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang terlalu kuat pada ketika itu. Tun Mustapha terpaksa mengorbankan kesetiaannya kepada USNO yang terpaksa dibubarkan untuk memberi laluan kepada UMNO, namun perjuangan UMNO bersama BN juga tidak dapat menggugat PBS ketika itu.

  Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 1994, PBS menghadapi tentangan hebat daripada BN yang kini diketuai UMNO yang telah melebarkan sayap ke Sabah. Sebelum itu, PBS turut kehilangan beberapa tokoh pemimpinnya seperti mendiang Datuk Mark Koding yang telah menubuhkan AKAR dan Datuk Yong Teck Lee yang telah menubuhkan Parti Maju Sabah (SAPP) di mana mereka telah menyertai Barisan Nasional. PBS turut mendakwa pilihanraya ini dicemari taktik kotor seperti pembelian undi dan pengundi hantu. Di sebalik semua itu, PBS masih mampu menang walaupun tipis iaitu 25 kerusi berbanding BN 23 kerusi. Pairin terpaksa menunggu selama 36 jam di luar Istana sebelum dibenarkan mengangkat sumpah kerana cuba dihalang pihak Barisan Nasional yang nyata tidak dapat menerima keputusan rakyat. Walubagaimanapun, kerajaan ini cuma mampu bertahan dua minggu setelah hampir kesemua wakil rakyatnya bertindak melompat menyertai BN.

  Setelah kemenangan tipis dalam pilihanraya 1994, PBS menghadapi tekanan besar dari BN yang ternyata cuba merampas kuasa di Sabah. Kejatuhan PBS bermula apabila 3 orang wakil rakyatnya, Datuk Lajim Hj. Okin (Klias), Datuk Rubin Balang (Kemabong) dan Hj. Zaini Mat Isa (ADUN dilantik) bertindak keluar untuk menyertai UMNO. Ia kemudian diikuti hampir semua wakil rakyatnya yang lain termasuklah Timbalan Presiden Tan Sri Bernard Dompok, Setiausaha Agung Tan Sri Joseph Kurup yang masing-masing telah menubuhkan Parti Demokratik Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, dan adik Pairin sendiri Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. Setelah insiden lompat-melompat tersebut, PBS cuma mempunyai 3 wakil rakyat, Pairin, Dr. Maximus Ongkili dan Datu Amirkahar Tun Datu Mustapha. Datu Amirkahar turut menyertai BN beberapa tahun kemudian. Dalam keadaan sedemikian, Pairin tiada pilihan lain selain melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 17 Mac 1994. Keadaan ini menggemparkan seluruh rakyat Sabah. (Klik-Rujukan)

  PBS cuba bangkit semula dengan barisan pemimpin yang baru dan dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1995 berjaya memenangi 8 daripada 20 kerusi Parlimen di Sabah yang juga menyaksikan Jeffrey dan Dompok tewas di tangan calon PBS. Jeffrey kembali ke pangkuan PBS dan membantu parti tersebut untuk menghadapi pilihanraya 1999. Walaubagaimanapun, PBS cuma mampu memenangi 17 daripada 48 kerusi tetapi calon-calonnya berjaya mengalahkan bekas wakil rakyatnya yang telah melompat termasuklah Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Bernard Dompok dan presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup. Peristiwa lompat-melompat berulang semula apabila enam wakil rakyat yang diketuai Jeffrey Kitingan bertindak melompat menyertai PBRS pada 22 April 2000.

 Pada 23 Januari 2002, PBS diterima semula ke dalam Barisan Nasional. Lima
wakil rakyat berserta Timbalan Speaker yang telah menyertai PBRS turut kembali ke pangkuan PBS. Setelah memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 4 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004, ahli-ahli PBS turut disertakan dalam kabinet Barisan Nasional negeri dan persekutuan.

Semangat tahun 1985 tinggal kenangan
  Parti Bersatu Sabah merupakan parti berbilang kaum walaupun ia dilihat sebagai parti kaum Kadazan-Dusun. Pada dasarnya PBS memperjuangkan demokrasi dan mempunyai wawasan untuk membina negeri Sabah yang maju, harmoni dan bersatu melalui proses demokrasi berparlimen yang tulen. Ia juga berusaha menjaga hak-hak dan kuasa autonomi Sabah, hak asasi manusia dan menegakkan keadilan. Parti itu turut memperjuangkan hak-hak istimewa kaum Bumiputera dan kepentingan kaum lain, memelihara budaya tradisional setiap kaum di Sabah serta kebebasan beragama di Malaysia. Antara isu yang paling lantang disuarakan parti itu adalah isu pendatang tanpa izin di Sabah, Projek IC, pembangunan tidak seimbang, pengundi hantu dan 20 Perkara perjanjian kemasukan Sabah ke dalam Malaysia.

  Sejak PBS menyertai Barisan Nasional semula, agenda perjuangan parti ini menjadi senyap dan tidak disentuh dengan tegas sebelum ini. Seolah-olah terikat dengan suatu janji atau terma tertentu selepas menyertai BN. Pairin yang dulu disanjung tinggi oleh semua kaum dan khususnya KDMR kini semakin hari semakin terhakis pengaruhnya. Sehinggakan rakyat dengan berani mengatakan dengan terang-terangan melalui media sosial bahawa Pairin tidak lagi layak memegang gelar "Huguan Siou" (Gelar tertinggi bagi kaum KDMR sebagai kepala suku). Semangat tahun 1985 bermula kepada rakyat dengan begitu gah dan semarak sekali untuk berjuang bersama PBS dan rakyat sangat kagum serta percaya kepada setiap calon PBS yang bertanding tanpa melihat latar belakang. Bandingkan dengan Kadoh Agundong yang bukan berprofile tinggi, hanya orang biasa tetapi boleh mengalahkan Harris Salleh ketika itu.

  Puncak kegemilangan PBS sejak beberapa tahun semakin merisaukan pihak lawan dan terutamanya pihak pemimpin persekutuan Kuala Lumpur. Rakyat ketika itu sering berkata "Orang cacat sekalipun yang bertanding atas tiket PBS, saya akan undi", betapa kuatnya semangat padu rakyat ketika itu. Namun semua hal ini hanya tinggal kenangan apabila semangat 85 itu dipunahkan oleh taktik kotor pemimpin-pemimpin Malaya.

  Sehingga kini di tahun 2015, rakyat masih rindu dengan semangat tahun 1985 yang penuh dengan kenangan manis. Kesatuan rakyat yang sangat tinggi tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Semasa tahun-tahun kegemilangan PBS, rakyat terus bersatupadu sehinggalah penjajah dari Malaya muncul secara terang-terangan melalui parti UMNO dan berjaya mengucar-kacirkan rakyat Sabah yang bersatupadu sebelum ini. Sungguh pun begitu rakyat dengan tidak berputus asa agar PBS bangkit semula, semangat itu muncul semula dan Pairin kembali menjadi wira Sabah. Tetapi sehingga Pilihan Raya Umum tahun 2013, semua impian itu berkecai menjadikan semangat 85 itu tinggal kenangan dan tidak akan kembali lagi.

Taktik dan cara UMNO-BN mencegah agar rakyat Sabah tidak bersatu
  Sejak beberapa tahun parti penjajah sudah mengintai untuk masuk ke Sabah, namun tidak berpeluang kerana ketegasan pemimpin-pemimpin politik ketika itu. UMNO dapat melihat, bahawa kekuatan Sabah ialah 'rakyat', di mana apabila rakyat sudah mulai bersatu kesatuan itu sukar digugat. Sehinggalah pemimpin mereka sendiri yang merosakkan senjata kesatuan itu.

  Sejak parti USNO kuat, rakyatnya kuat namun dirosakkan sendiri oleh kepalanya akibat campurtangan kuasa penjajah. Sebenarnya Tun Datu Mustapha menjadi lebih sadis kesan dari seorang tali barut Malaya iaitu seorang wali Kuala Lumpur yang sengaja dipasang oleh pemimpin KL yang bernama Datuk Syed Kechik bin Syed Mohammad berasal dari Kedah berkelulusan Peguam. Di era parti BERJAYA, rakyat begitu sejahtera dalam perpaduan mereka, namun kepalanya merosakkan perpaduan ini. Tetapi berlainan dengan era parti PBS, di mana kepalanya tidak merosakkan rakyat tetapi terpaksa menafikan diri kepada rakyatnya kerana tekanan musuh yang terlalu kuat. Seolah-olah keadaan itu dapat digambarkan dalam satu filem, di mana pahlawannya dianiaya, diseksa di depan mata rakyatnya. Demikianlah yang berlaku kepada Pairin sebagai pahlawan Sabah ketika itu. Namun sehingga kini rakyat mulai secara perlahan-lahan menganggap bahawa pahlawan mereka sudah mati.


  Antara perkara yang sering dibuat oleh UMNO-BN bagi menakut-nakutkan rakyat Sabah agar tidak berpaling dari gagasan Malaysia ialah:-

  1. Isu yang mengatakan bahawa Kesultanan Suluk akan merampas Sabah.
  2. Menguasai semua sektor dan peluang rakyat di Sabah dan memberikannya kepada orang-orang Melayu Malaya.
  3. Menggunakan Kementerian Pendidikan untuk membentuk pola fikir yang salah mengenai sejarah Sabah, di mana sejarah sebenar Sabah dimanipulasi dan diputar-belit demi kepentingan politik Umno.
  4. Menghapuskan konsep "Parti Tunggal" di Sabah.
  5. Dengan menaja parti-parti tempatan Sabah bermula dengan parti PDS, SAPP, AKAR, PBRS bagi memberi ruang yang luas untuk pemimpin dan rakyat Sabah berkelompok dan berpuak-puak. Sehingga ke hari ini penubuhan parti-parti tempatan Sabah yang baru dengan mudah diluluskan dengan tujuan tersebut.
  6. Menggunakan media massa dan pihak keselamatan untuk mengugut rakyat dan tanpa perikemanusiaan menggunakan akta-akta tertentu untuk membunuh demokrasi Malaysia secara keseluruhan.
  7. Menggunakan agama sebagai pemecah-belah rakyat di Sabah sehingga rakyat Sabah dengan fanatik menyokong UMNO demi 'nama agama' yang disalahgunakan.
  Perkara yang sangat ketara sekali dan kesannya berpanjangan sehingga hari ini sejak taktik ini dibuat pada tahun 1994, di mana UMNO mengesan pemimpin Sabah yang berkaliber dan ditawarkan sesuatu termasuk penubuhan parti dan menjadikan mereka Presiden parti. Perkara ini memberikan impak yang sangat jelas bahawa rakyat sentiasa dalam delima dan menjadi 'puppet' kepada permainan politik. Sekejap rakyat akan berpihak parti ini dan dalam masa tertentu memihak lagi parti lain. Kerana apa yang rakyat cari adalah peluang-peluang tertentu untuk kepentingan mereka. Parti politik yang ditaja bukan menjadi medium perjuangan bagi kepentingan Sabah, tetapi dijadikan oleh persekutuan untuk memecahkan undi dan menetapkan sasaran mereka dalam kawasan-kawasan tertentu yang diwakili parti-parti tersebut agar dapat terus menjajah Sabah.

  Parti-parti tempatan Sabah yang ada di dalam komponen BN sekarang bukanlah medium pembangunan Sabah dan rakyatnya, tetapi alat penjajah untuk mengelak daripada rakyat Sabah daripada bersatu, sebab mereka sudah melihat sikap rakyat Sabah ketika era USNO, BERJAYA dan PBS yang bertindak sebagai parti tunggal. Kekuatan rakyat Sabah tidak dapat dinafikan dan memberikan sokongan dengan sepenuh jiwa raga mereka terhadap pemimpin yang ada. Parti UPKO (dulunya PDS) dan PBRS hasil tajaan UMNO sangat berperanan untuk melakonkan permainan UMNO, termasuk parti PBS dan LDP. Bagi parti SAPP, keluar dari senarai ini kerana akhirnya mereka sedar dan keluar daripada Barisan Nasional untuk memberi keutamaan kepada rakyat Sabah. Namun SAPP sering mendapat tekanan dari bekas rakan-rakannya dan berusaha agar SAPP akan terkubur dalam arena politik permainan UMNO.

  UMNO menggunakan pelbagai taktik, jika parti-parti tajaannya mulai merosot dan tidak mendapat sokongan rakyat, maka apa yang UMNO lakukan ialah menyalurkan peruntukan insfrastruktur pembangunan tertentu dan memastikan bahawa rakyat tertarik dan berterusan memberikan sokongan. Pemimpin-pemimpin veteran ini hanya 'Yes bos' kerana menjaga kepentingan diri. Konsep "Pecah dan Perintah" yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir begitu berkesan dan menjadi senjata ampuh penjajah.

  Perkara-perkara ini sudah dikesan oleh rakyat dan mengetahui taktik UMNO, namun rakyat tidak berdaya dan tidak dapat melakukan apa-apa kerana seperti senarai taktik di atas, penjajah akan gunakan mengikut situasi yang sesuai.

Senario Politik Sabah Tahun 2013
  Senario baru berlaku terhadap politk Sabah pada PRU-13, di mana sekali lagi Dr. Jeffrey Kitingan mencatat sejarah tersendiri dalam arena politik Sabah dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat dan hasratnya masih pada konsep awal, iaitu memperjuangkan hak-hak Borneo. Dalam rangka kerjasama yang dibuat, Dr. Jeffrey telah membuat satu usul (Deklarasi Tambunan) kepada penasihat dan pemimpin utama PKR, iaitu Anwar Ibrahim. Tetapi malangnya perkara yang diutarakan oleh Dr. Jeffrey itu ditolak kerana dilihat akan memberikan keistimewaan penuh kepada rakyat Sabah dan akhirnya pemimpin-pemimpin Malaya akan terpinggir dari meneruskan keuntungan di Sabah seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Tiada pilihan lain selain keluar daripada Parti Keadilan Rakyat kerana tujuan perjuangannya ditolak.

  Solusi yang di ambil oleh Dr. Jeffrey Kitingan adalah bekerjasama dengan parti tempatan dari Sarawak iaitu STAR dengan menjadi penaja parti itu ke Sabah. Musuh-musuh politikya mengambil kesempatan sekali lagi untuk memburuk-burukkan Dr. Jeffrey kerana keluar dari PKR dengan tuduhan tiada pendirian dalam politik. Sedangkan Dr. Jeffrey bertindak keluar dari PKR kerana agenda Borneo yang diperjuangkannya ditolak oleh pemimimpin Malaya. STAR ketika itu bergerak bersama badan NGO, iaitu United Borneo Front (UBF). Dalam siri pertemuan dan kempen parti STAR sebelum menghadapi PRU-13, mereka telah cuba untuk memperjelaskan sejarah, hak-hak Sabah, 20 Perkara dan kuasa autonomi Sabah. Di sinilah dengan bebas Dr. Jeffrey meluahkan segalanya dan intipati sebenar perjuangannya. Namun rakyat Sabah masih nyenyak tertidur disebabkan oleh elusan janji-janji UMNO dan masalah berpuak-puak dalam parti-parti tempatan tajaan UMNO. Rakyat hanya tersenyum dan tersengih dengan agenda yang dibawakan oleh parti STAR.

  Kemunculan STAR memberikan suatu suntikan baru kepada generasi muda Sabah yang berpendidikan. Melihat intipati perjuangan yang dibawakan oleh Dr. Jeffrey telah berjaya menarik minat golongan muda terpelajar ini. Sehingga kerana semangat patriotik yang tinggi kepada Sabah, mereka sanggup berhenti dari kerjaya mereka untuk memperjuangkan agenda tersebut. Antara peribadi oyang begitu berani bertindak berhenti dari profession mereka sebagai pendidik (guru) ialah Cikgu Jalibin Paidi (Ranau), Cikgu Feddrin Tuliang (Ranau), Cikgu Hasmin Azroy (Tenom), Cikgu Maklin Masiau (Kota Marudu) dan beberapa yang lain. Demi untuk mengembalikan hak-hak Sabah, mereka sanggup gadaikan segalanya. Bukan didasari kerana peluang menjadi calon, tetapi kesedaran yang tinggi terhadap perjuangan dan cintakan Sabah.

  Dalam masa yang sama, parti SAPP bekas komponen Barisan Nasional yang telah bertindak keluar dari komponen Barisan Nasional kerana menyedari bahawa keadaan perlu diperbetulkan segera, di mana Sabah harus diselamatkan dari masalah pendatang tanpa izin yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Parti SAPP adalah parti pimpinan Yong Teck Lee yang juga pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dalam sistem penggiliran Ketua Menteri yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir Muhammad. 

  Sebelum pilihan raya ke-13 lagi, SAPP sudah mulai tegas bersuara mengenai soal autonomi Sabah dan isu masalah PTI yang semakin merunsingkan Sabah. Agenda perjuangan SAPP lebih mengukuhkan fakta bersama dengan parti STAR. Dari sudut lain, kelihatan SAPP selari dengan STAR, tetapi dalam hal-hal tertentu mereka bertentangan. Pertentangan yang muncul sebenarnya hanyalah “soal peribadi dan kredibiliti pemimpin”, saling mengungkit kesilapan dan kesalahan yang pernah berlaku sebelum ini. Akibat latar belakang sejarah politik pemimpin utama STAR dan SAPP dijadikan isu ketika itu, maka memberikan peluang besar kepada PAKATAN RAKYAT (PKR, DAP PAS) untuk meraih populariti kepada rakyat Sabah. Soal apa yang diperjuangkan oleh parti STAR dan SAPP tidak lagi menjadi hal yang penting bagi rakyat, tetapi tertumpu pada komitmen perjuangan Pakatan Rakyat yang menjanjikan kehidupan yang cerah kepada rakyat Sabah.

  Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, STAR dan SAPP pernah berhasrat untuk bergabung dalam perjuangan yang hampir sama, namun gagal akibat daripada penyokong masing-masing yang melaga-lagakan pemimpin mereka, di tambah pula dengan kebijaksanaan Pakatan Rakyat mengambil kesempatan dalam kesempitan. Oleh kerana kedua-dua pemimpin parti ini masing-masing punyai pengalaman yang sama dalam arena politik, maka mereka mempertahankan pendirian dan menunjukkan kehebatan masing-masing dengan akur untuk bertembung dalam pilihan raya itu.

  Akhirnya, apa yang terjadi akibat pertembungan dua parti pembangkang Sabah itu disertai dengan lawan dari Barisan Nasional dan BEBAS maka semua calon SAPP kalah di seluruh tempat dan STAR hanya bernasib baik dengan kemenangan pemimpin utama mereka iaitu menang kerusi DUN di Bingkor, Keningau. Selepas PRU-13, di peringkat awal kedua-dua parti ini saling menuding, masing-masing mempersalahkan kerana pertembungan itu membawa kekalahan kepada parti SAPP dan STAR. Namun akhirnya peristiwa yang berlaku itu lama-kelamaan diakui sendiri oleh mereka akibat kecuaian, keegoan dan pentingkan diri sendiri dalam perjuangan. Parti STAR dan SAPP mengambil iktibar melalui tragedi yang mereka alami untuk meneruskan perjuangan mereka bagi menghadapi PRU-14 akan datang.

  Kemenangan Dr. Jeffrey Kitingan di Bingkor, Keningau memberikannya
peluang untuk menyuarakan agenda Borneo di Dewan Undangan Negeri Sabah. Tetapi impak yang diterima dari usul tersebut mendapat reaksi yang negatif khususnya golongan pemimpin UMNO. Sepanjang pembentangan usul, mereka sedaya-upaya mencelah dan mengganggu Dr. Jeffrey Kitingan agar wakil-wakil rakyat tidak terpengaruh yang disifatkan 'hasutan' oleh pemimpin-pemimpin Umno. Tidak puas dengan celaan, Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah pula mengambil peranan untuk menggunakan sebaik mungkin peruntukan masa yang diperuntukkan kepada setiap wakil rakyat. Akhirnya usul tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sempurna. 

  Rakyat mulai menilai dan melihat betapa pentingnya perkara yang dikemukan oleh wakil rakyat dari Bingkor itu, tetapi disambut buruk oleh golongan pemimpin UMNO kerana hal tersebut bukanlah agenda perjuangan mereka tetapi merupakan ancaman peribadi untuk mengaut keuntungan dalam politik.
  Dengan kemudahan yang ada ketika ini, iaitu Facebook, Tweeter, Instagram, Youtube dan sebagainya dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat untuk saling berkongsi maklumat. Dengan mudah dan pantas suatu berita sampai kepada segenap rakyat yang menggunakan kemudahan yang ada. Dalam posting di Facebook mengenai sikap beberapa pemimpin UMNO dan Ketua Menteri menjadi di mana dikongsikan oleh setiap rakyat berjumlah 3,387 orang dan 63,591 rakyat yang telah menyaksikannya. Menurut penelitian komen-komen rakyat Sabah melalui facebook berkaitan video itu, hampir 85% rakyat mengutuk para pemimpin UMNO terutamanya Musa Aman selaku Ketua Menteri yang tidak menampakkan kualiti seorang pemimpin yang baik.
Semangat 85 Mulai Kembali Di Kalangan Rakyat Sabah
  Bermula dari tahun 2014, rakyat Sabah sudah mulai sedar dan bangkit. Kesedaran ini bukan hanya dipelopori oleh golongan kumpulan tertentu melalui media tetapi turut diberi peranan penting oleh YB.Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, Datuk Kalakau Untol dan turut mendapat suntikan daripada pemimpin veteran era BERJAYA iaitu Datuk Haji Noor Mansoor. Penampilannya di arena politik era millenium telah memberikan ispirasi kepada generasi muda. 

   Rakyat Sabah mulai bersatu, jika dilihat perkembangannya melalui media massa kebangkitan rakyat semakin kuat menentang pemerintah yang ada. Rakyat sudah benar-benar sedar bahawa Sabah dalam keadaan terjajah oleh kuasa dari Persekutuan Tanah Melayu yang bersembunyi dengan nama Malaysia. Hal ini dapat disedari oleh persekutuan bahawa mereka menghadapi keadaan yang sukar pada pilihan raya akan datang.

  Saban hari kesepakatan begitu kelihatan di antara parti-parti pembangkang tempatan yang dipelopori oleh parti STAR dan SAPP dan turut disokong oleh oleh badan-badan pertubuhan bukan kerajaan. Pelbagai cara dilakukan oleh pemerintah untuk mengugut dan menakut-nakutkan rakyat, namun semuanya tidak dihiraukan, malahan kerjasama semakin dimantapkan.

  Perbincangan meja bulat dibuat di antara beberapa parti, iaitu SAPP dan STAR serta sedang membuka peluang untuk PCS, PPRS, USNO-Baru. Badan NGO besar seperti APS turut bersatu dalam satu pasukan baru yang dinamakan United Sabah Alliance yang akan dikenali sebagai GABUNGAN. Hasrat ini disambut baik dan penuh semangat oleh pemimpin-pemimpin utama masing-masing dan juga mendapat perhatian yang sangat memberangsangkan oleh rakyat. Daily Express yang bertarikh 10hb. Mac 2015 telah memaparkan secara rasmi bahawa United Sabah Alliance dengan rasminya telah wujud secara lisan atas persetujuan meja bulat.

  Dalam usaha USA-GABUNGAN memperkuatkan jenteranya, masih tetap dipersoalkan kredibiliti dan kemampuan parti-parti politik tempatan. Pengalaman lalu dijadikan ukuran, di mana selama parti-parti tempatan yang mentadbir Sabah pelbagai masalah yang muncul akibat ketidakmampuan mereka untuk mengurus tadbir kerajaan. Oleh itu, perlunya ada bantuan daripada parti-parti nasional dari Malaya untuk bertapak di Sabah bagi membantu kerajaan agar tetap stabil. Inilah pola fikir sebahagian rakyat Sabah masa kini yang berimpak dari kekuatan Pakatan Rakyat mempengaruhi fikiran rakyat Sabah.


  USA-GABUNGAN dalam dilema, antara realiti dan fantasi. Kelihatannya rakyat Sabah belum mampu atau tidak mau berdiri di kaki sendiri untuk mentadbir Sabah. Tetap dengan sikap berkongsi bersama dengan kerajaan pusat pemerintah. Kesukaran lain yang dihadapi oleh USA-GABUNGAN untuk mempersatukan rakyat adalah kerana rakyat berpecah-belah dari segi pemikiran tentang hala-tuju Sabah dan ideologi politik yang bercampur-baur. Yang jelas kelihatan sekarang, rakyat Sabah terbahagi kepada beberapa golongan;
  • Golongan rakyat yang mahukan Sabah keluar dari gabungan Malaysia secara mutlak dan menjadi sebuah negara yang berdaulat.
  • Golongan rakyat yang tetap mempertahankan Sabah berada di dalam Persekutuan Malaysia tetapi meminta kerajaan yang memerintah kelak agar melaksanakan kuasa autonomi kepada Sabah sesuai dengan konsep Perjanjian Malaysia yang sebenar.
  • Golongan rakyat yang pro parti Malaya, di mana bekerjasama penuh dengan parti-parti dari Malaya untuk sama-sama mengurus tadbir Kerajaan Sabah agar lebih baik sebelum ini.
  • Golongan ini langsung tidak mempercayai dan yakin dengan kemampuan parti-parti tempatan Sabah atas alasan-alasan tertentu.
  • Golongan yang pro parti tempatan dan berkeras untuk menolak parti-parti Malaya dan mempunyai azam yang kuat untuk menumbang parti penjajah, iaitu UMNO di Sabah. Mereka memberikan sokongan padu kepada parti-parti tempatan untuk mengambil-alih semua sistem politik Sabah yang dirampas dan dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin Malaya sebelum ini. 
  • Golongan rakyat yang tidak mengambil berat tentang hal-ehwal politik kerana fobia dengan sikap politikus tempatan Sabah yang tidak sentiasa mementingkan diri sendiri.
  Golongan rakyat yang terbahagi di atas memberikan jalan yang sukar untuk USA-GABUNGAN menjadi realiti, di mana perkara ini adalah impian sebahagian rakyat Sabah, malah hampir semua rakyat Sabah tetapi membuat rumusan tersendiri bagaimana USA-GABUNGAN diperlakukan. Sejauh mana kemampuan dan kekuatan pemimpin-pemimpin utama USA-GABUNGAN mencapai hasrat ini bergantung pada pendekatan yang relevan mengikut citarasa rakyat masa kini.

Bagaimanakah Pola Politik Sabah Akan Datang?

  Sejak tahun 1961, apabila parti politik mulai ditubuhkan akibat daripada suatu ketakutan mengenai gagasan pembentukan MALAYSIA. Parti-parti politik tempatan mulai ditubuhkan dengan cepat kerana kesedaran yang tinggi bagi mempertahankan Sabah daripada bergabung dengan gagasan Malaysia. Jika diimbas kembali parti-parti tempatan yang ditubuhkan, dapat dilihat kerangka fikir para pemimpin politik ketika itu untuk menjaga komuniti masyarakat Sabah yang ada. UNKO/Pasok-MOMOGUN, mewakili komuniti Kadazan/Dusun, Murut, Rungus dan beberapa etnik yang lain di bahagian pedalaman. USNO muncul bagi menjaga kebajikan bumiputera yang beragama Islam dan beberapa etnik yang lain. Manakala parti-parti Cina bernaung di dalam parti gabungan iaitu BUNAP. Peranan dilakukan masing-masing demi untuk kepentingan bersama sebagai rakyat Sabah.

  Walaupun demikian, usaha setiap parti yang berdiri bagi mewakili komuniti tertentu kelihatan baik, tetapi untuk mencari titik temu persefahaman sebenar tidak dapat dicapai. Ini jelas apabila timbul ketidakpuashatian pihak lain, syak wasangka, saling mempersalahkan, mendominasi keadaan dan saling tidak mempercayai. Inillah sikap Sabahan yang telah meracuni dan merosakkan Perikatan Sabah. Banyaknya parti dalam satu-satu gabungan tidak menjamin adanya kesatuan, malah ruang untuk berpuak-puak dan berpecah-belah semakin lebar.

  Senario ini berlaku beberapa tahun di Sabah dan faktor yang utama dalam kemelut ini adalah CAMPUR TANGAN pemimpin dari Malaya. Sehingga wujud satu sistem politik tunggal yang didominasi oleh USNO dalam perjalanan awal sistem ini. USNO berperanan penting bagi menyatupadukan rakyat Sabah melalui perjuangan ini. Pemimpin utamanya lebih tertumpu kepada kepentingan Sabah, di mana ianya memandang serius soal autonomi Sabah, hasil minyak dan sumber-sumber Sabah. Oleh kerana kuasa tunggal ini sukar untuk digugat, maka timbullah masalah melalui penyelewengan, penting diri sendiri dan menindas pihak-pihak tertentu. Dalang utama disebalik masalah ini pun wujud dari CAMPUR TANGAN pemimpin Malaya melalui wali utama mereka, iaitu Syed Kechik dan kuasa Perdana Menteri Malaya melalui Tun Abdul Razak.

  Akhirnya kuasa politik tunggal ini diubah melalui penubuhan parti BERJAYA untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh USNO. Hal ini pun wujud melalui CAMPUR TANGAN pemimpin Malaya dengan memperalatkan pemimpin-pemimpin politik Sabah yang bersikap "Yes Bos" sejak dulu kerana habuan dan kedudukan tertentu yang ditawarkan. BERJAYA juga kelihatan diterima baik oleh rakyat pada mulanya, namun hancur oleh pemimpin utama melalui Harris Salleh dan punca utamanya adalah CAMPUR TANGAN pemimpin Malaya terhadap politik Sabah. Kemudian timbul kesedaran dan kebangkitan rakyat melalui penubuhan PBS atas inisiatif pemimpin politik Sabah sendiri tanpa restu pemimpin Malaya. Apa yang diperjuangkan oleh USNO mengenai soal autonomi, minyak dan kebajikan rakyat Sabah diteruskan oleh PBS dengan lebih tegas dan berani. Perkara ini menimbulkan kemarahan kepada pemimpin politik Malaya kerana mereka melihat bahawa jalan mereka untuk memperalat pemimpin politik Sabah akan tertutup selepas ini. Pelbagai taktik kotor dilakukan, perkara halal dan haram tidak dikesahkan lagi, asalkan mereka boleh meneruskan CAMPUR TANGAN politik Sabah yang jelas melanggar kedaulatan Perjanjian Pembentukan Malaysia melalui 20 Perkara bagi pihak Sabah.

  Sejarah yang berlaku terhadap parti tunggal tempatan seperti USNO, BERJAYA dan PBS sudah memberikan banyak pengajaran rakyat Sabah untuk menyedari dan menginsafi hal yang sebenarnya, bahawa dalang kepada setiap masalah di Sabah adalah kerana CAMPUR TANGAN pemimpin Malaya terhadap politik Sabah. Sehingga tahap kritikal yang tidak disedari oleh pemimpin-pemimpin politik Sabah atau sengaja dilakukan sebagai suatu kompromi untuk kepentingan peribadi dan pihak tertentu, di mana mereka telah meminda lima (5) Perlembagaan Sabah yang merupakan immuniti (kekebalan hak-hak dan kuasa Sabah) seperti yang terkandung dalam Memorandum 20Perkara, Laporan IGC 1962, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963. Pindaan Undang-undang tersebut meliputi kuasa Ketua Menteri Sabah, Yayasan Sabah, Tanah, Hutan dan Perlombongan. Pada waktu Kerajaan BN-UMNO membentangkan pindaan undang-undang tersebut, satu-satunya pemimpin Sabah yang tegas dan lantang bersuara membantah pindaan undang-undang tersebut adalah Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. Pemimpin-pemimpin politik Sabah yang lain hanya menutup mata dan telinga kepada hal ini sehingga hari ini rakyat Sabah sudah semakin merasakan keburukannya. Kuasa pentadbiran Sabah, pemilikan dan pengurusan tanah, kuasa ketua menteri dan hal-hal kebajikan Sabah bukan lagi diurus secara langsung di Sabah, tetapi sentiasa "merujuk kepada Kuala Lumpur/Putera Jaya".

Sistem "Divide and Rule" di Sabah
  Sistem "divide and rule" (pecah dan perintah) yang dilakukan oleh pihak British terhadap Persekutuan Tanah Melayu di mana Tanah Melayu dipecahkan kepada TIGA SISTEM pemerintahan yang berasingan, iaitu Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu  Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Selain itu, masyarakat Melayu, Cina dan India diasingkan atau dipecah-belahkan mengikut sistem politik, sektor pekerjaan dan penempatan. Dengan sistem ini, amat sukar dan mustahil masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu pada masa itu boleh bersatu padu. Kaum-kaum tertentu terikat dengan parti-parti khusus yang mewakili mereka. UMNO dan PAS hanya untuk parti orang Melayu, MCA & GERAKAN khusus untuk orang Cina dan MIC untuk masyarakat India. Versi baru, lahirlah PKR, DAP dan AMANAH.

  Sistem dan konsep British ini diwujudkan di Sabah era Tun Mahathir, di mana pemimpin-pemimpin serpihan PBS dipecahkan melalui penajaan beberapa parti seperti Parti AKAR (Mark Koding), SAPP (Yong Teck Lee), PDS/UPKO (Bernard Dompok), PBRS (Joseph Kurup) , LDP (Chong Kah Kiat). Impak daripada kewujudan parti yang banyak ini telah jelas memecah-belahkan rakyat Sabah untuk mengikuti parti-parti tertentu 'mengikut citarasa', bukan mengikut kepada komuniti seperti konsep awal di dalam Perikatan Sabah. Kebanyakkan rakyat akan lari ke sana dan lari ke sini untuk mendapatkan peluang dan habuan tertentu yang ditawarkan oleh parti-parti yang ada. Sistem 'Pecahkan dan Perintah' berjaya diimplimintasikan terhadap rakyat Sabah dan sehingga kini UMNO-BN bernafas lega menikmati segala sumber kekayaan dan keistimewaan yang terdapat di Sabah yang sepatutnya milik rakyat Sabah.

  Demikian juga pada era ini, di mana selepas PRU-13 dicatatkan oleh laman web FreeMalaysiaToday (FMT) yang bertarikh 25 Mac 2014, bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah meluluskan secara rasmi 13 parti politik baru bagi Sabah. Jika dicampurkan dengan parti politik sedia ada seperti SAPP, PBRS, LDP, PBS, UPKO, STAR dan parti penjajah UMNO, DAP & PKR, ianya menjadikan 23 buah Parti Politik Di Sabah sebagai medium memecah-belahkan rakyat Sabah. Lihat Senarai lengkap ini dan fikirkanlah hasil kecekapan otak pemimpin Malaya lakukan kepada Sabah:-
01. Parti PBS
02. Parti SAPP
03. Parti PBRS
04. Parti LDP
05. Parti UPKO
06. Parti STAR
07. Parti UMNO
08. Parti DAP
09. Parti PAS
10. Parti PKR
11. Parti Bersatu Bugis Sabah (PBBS)
12. Parti Cinta Sabah (PCS)
13. Parti Damai Sabah (Parti SPP)
14. Parti Ekonomi Rakyat Sabah (PERS)
15. Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah (PARTI BERSAMA)
16. Parti Kebangsaan Sabah
17. Parti Kebenaran Sabah (KEBENARAN)
18. Parti Pembangunan Warisan Sabah
19. Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU)
20. Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (BARU)
21. Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN)
22. Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS)
23. Parti Kerjasama Rakyat Sabah (PKRS)

  Perkara ini sepatutnya diambil serius oleh para pemimpin politik Sabah dan rakyat, di mana melalui banyaknya parti di Sabah akan membuka ruang yang sangat lebar bagi pemimpin dan rakyat Sabah berpecah, berpuak-puak, mendominasi, mempersalahkan, syak wasangka, iri hati, saling menyalahkan, mengungkit-ungkit, parti ini mengambil orang dari parti itu untuk menjadi ahlinya dengan cara yang tidak sihat dan semua perkara yang berlaku banyak mengarah kepada hal-hal negatif. Kelihatannya ruang untuk rakyat Sabah bersatu padu ketika era USNO, BERJAYA & PBS musnah serta sangat tipis keberangkalian rakyat Sabah bersatu lagi.

  Jelas kelihatan kepada beberapa parti baru yang muncul dan bergiat aktif, sebagai contohnya di dalam gerakan kesepakatan parti pembangkang tempatan Sabah masa kini yang dikenali sebagai USA-GABUNGAN Parti Cinta Sabah sudah mulai mengorak langkah untuk mendapatkan keahlian kepada partinya. Sehingga hal-hal tertentu tidak difikirkan kesan baik dan buruknya. PCS membuat promosi bahawa parti merekalah 'satu-satunya' yang mempunya agenda menuntut kuasa autonomi Sabah dan sebagainya. Hal ini secara langsung menjatuhkan krdebiliti rakan parti yang lain sedangkan mereka juga memperjuangan hal yang sama. Ahli-ahli dari STAR, SAPP akan berpindah keahlian ke PCS menyebabkan perpecahan di peringkat bahagian. Ini berlaku kerana tidak adanya kesepakatan dan kerjasama antara rakan parti dalam pembangkang. Kelihatan baik di pihak PCS, tetapi belum tentu baik di pihak STAR dan SAPP. Inilah salah satu contoh parti yang cuba mendominasi atau mahu menonjol dari yang lain kerana adanya 'advantage' tertentu. Bukan hanya PCS, tetapi kepada parti-parti baru yang lain. PPRS, PKS, PBBS dan lain akan bergerak sedikit masa lagi dan siapa rakyat yang tidak mempunyai keahlian dalam politik? Berapa rakyat yang masih belum menjadi sesebuah parti? Inilah yang akan menjadi wadah perjuangan parti-parti baru.

  Bagaimana pola politik Sabah menjelang PRU-14 atau selepas? Sukar untuk diramalkan, namun melalui konsep sedia ada (divide and rule) kerangka politik rakyat Sabah akan tetap berada dalam keadaan yang sama walaupun sedikit berbeza. Perpecahan akan terus berlaku di dalam sistem penjajah yang sangat ampuh kepada rakyat Sabah.

KDMR menyumbang peratusan tertinggi 'Perpecahan' Sabah.
Sumber Artikel: YB. Datuk Dr. Jeffrey Kitingan

  Apabila kita renung diri kita sendiri, kita akan mula memahami siapa diri kita sebenarnya pada saat ini. Keadaan-keadaan ini memerlukan penelitian lebih mendalam tentang diri kita sendiri sebagai satu masyarakat, supaya kita boleh mengatasi masalah-masalah perpecahan politik dan kemunduran ekonomi. Apakah sebab-sebab berlakunya keadaan itu? Bagaimana kita boleh menjadi seperti ini? Marilah kita periksa dan bincangkan beberapa faktor penyebab timbulnya masalah kita dan seterusnya mencari jalan untuk menaganinya.

1. SEBAB-SEBAB PERPECAHAN, HALANGAN-HALANGAN & KEMUNDURAN KDMR
  Banyak sebab kenapa kita berpecah dari segi politik dan mundur dari segi ekonomi. Halangan-halangan yang jelas ialah; perbezaan pendapat, kurang kemahiran, iri-hati, penting diri sendiri, sementara ada juga yang tertanam dalam diri kita sendiri-sikap negatif seperti; curiga-mencuriga, berdendam, asuhan budaya dan sebagainya.

* KURANG KONSENSUS DAN TIADA WAWASAN BERSAMA

  Perbezaan pendapat di kalangan pemimpin-pemimpin kita sebenarnya merupakan salah satu sebab yang utama menyebabkan wujudnya keadaan kita sekarang. Disebabkan oleh ketidak-sefahaman, kita tidak dapat menghasilkan satu wawasan bersama. Sebab-sebab mengapa wujudnya masalah kita sekarang ini pun kita tidak bersetuju; apatah lagi dengan visi bersama! Tetapi, pemimpin-pemimpin masyarakat KDM selalu bercakap tentang perkara-perkara yang sama - tanggungjawab bersama, perlunya perpaduan dan kemajuan. Apa sebenarnya yang menyebabkan kita tidak boleh bersetuju - apakah faktor-faktor yang memecah-belahkan kita? Antaranya ialah;

a). Penting diri sendiri
  Sifat terlalu menjaga "kepentingan diri sendiri" di dalam hati setiap insan bergelar pemimpin, seringkali menimbulkan ketidak-setujuan dan pertengkaran. Apabila sikap penting diri sendiri terus berlaku mengatasi kepentingan bersama, maka pendapat seringkkali disampaikan dalam bentuk dan kelakuan yang menuju dan melindungi kepentingan individu sahaja. Kepentingan komuniti dan masyarakat seluruhnya diketepikan. Justeru itu, komuniti kerugian. Hanya orang yang kuat akan selamat dan maju. Rakyat biasa senantiasa diabaikan.

b). Ego dan Kemegahan
  Mungkin tiada siapa yang mengakui tetapi ego sebenarnya merupakan musuh dalaman yang tergagah. Para pemimpin seringkali berbangga di dalam diri sendiri, oleh itu mereka mahu dihormati lebih daripada pemimpin yang lain. Pemimpin-pemimpin yang mempunyai tahap kemegahan yang kuat atau tinggi berkecenderungan merasa tidak selamat dan sentiasa mengharapkan agar pendapatnya diterima lebih daripada pendapat orang lain. Ia selalu memikirkan bahawa dialah yang selalu betul.Pemimpin yang egoistik melemahkan semangat orang lain daripada memberi sumbangan. Pemimpin yang bermasalah keegoan yang tinggi hanya menghormati diri mereka sendiri. Mereka selalu enggan melihat mahupun menerima pendapat atau pandangan orang lain. Kebanggan dan kemegahan telah merenggang dan memisahkan perhubungan di kalangan para pemimpin. Jadi, daripada sepatutnya mereka berkumpul dan membincang dengan penuh bersemangat tentang-masalah bersama, mereka sebaliknya menjauhkan diri di antara satu dengan lain dan bercakap dari jauh pula.

c). Kurang Perhubungan
  Perkara ini adalah faktor lain. Kita kurang membuat perbincangan untuk menjelaskan masalah dan kebimbangan bersama. Kita menjauhkan diri. Biasanya keadaan inilah akibat daripada masalah-masalah yang lampau atau pengalaman yang tidak baik.



2. MEMIKIRKAN KESILAPAN-KESILAPAN YANG LAMPAU

  Kita kerapkali terlalu memikirkan perkara yang lampau. Kita cenderung menyalahkan orang lain di atas keadaan kita. Kita seringkali menoleh ke belakang dan menghayal atau memikirkan detik-detik kegemilangan kaum kita di masa lampau tetapi kita tidak menggunakan tenaga untuk membuat sesuatu tindakan positif bagi masa depan. Kita terlalu banyak menyimpan perasaan dendam di dalam diri kita. Sikap inilah yang menghalang kita daripada mendapatkan cara pemikiran dan tingkah laku yang diharapkan. Inilah di antara faktor pencetus keadaan kita pada masa ini.

3. IRI HATI DAN MENTALITI KETAM
  Masyarakat KDMR berkecenderungan untuk merasa cemburu akan kejayaan bangsa sendiri. Walaupun hasrat kita masing-masing ialah ingin berjaya, namun pada masa yang sama kita iri hati dan seringkali memperkatakan perkara yang tidak baik terhadap rakan-rakan sebangsa yang agak berjaya daripada diri kita sendiri. Sebenarnya, samaada anda percaya atau tidak, orang kita begitu seronok sekali apabila melihat kejatuhan orang kita sendiri, terutama sekali para pemimpin kita, dengan mengatakan "kotoh", "kuroh", "itulah", 'kioh", "ino no konogi", untuk mengutuk kejatuhan pemimpin-pemimpin masyarakat kita.

  Seringkali, mereka melakukan lebih daripada ungkapan kata-kata kutukan; mereka sering melakukan perbuatan yang menjatuhkan sesama sendiri umpama ketam yang menarik turun ketam yang lain yang cuba melepaskan diri keluar dari dalam bakul. Inilah yang berlaku dalam masyarakat kita. Kita sepatutnya mengubah "Mentaliti Ketam" ke "Mentaliti Kilau/Semut"

4. TERLALU SENSITIF DAN EMOSIONAL
  Perkara ini juga merupakan masalah kita, masyarakat KDMR adalah insan amat peramah, baik hati dan mudah tersentuh tetapi sifat itu membuatkan orang-orang kita terlalu emosional. Sifat terlalu sensitif dan emosional membuatkan kita bertindak balas terhadap rangsangan luar secara membabi buta dan terlalu mengikut perasaan. Kita selalu menyimpan perasaan geram dan itu menyebabkan kita mudah tersinggung lalu merajuk (mengaus/kumaus) dan dalam keadaan itu kita tidak dapat bertindak secara objektif. Kadangkala kita terlalu takut menyinggung perasaan orang lain sehingga kita tidak berani menyuarakan kepincangan-kepincangan masyarakat orang lain kerana hendak menjaga hati mereka. Ketika berhadapan dengan masalah atau dilema, kita selalunya di pihak yang rugi kerana kita terlalu membiarkan orang lain membuat kata putus.

5. FAKTOR BUDAYA DAN AMALAN TRADISI
  Amalan budaya kita juga merupakan faktor kemunduran dan kemiskinan kaum kita. Misalnya; budaya meminum minuman beralkohol, bermabuk-mabukan apa bila dilakukan secara berlebih-lebihan, sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang kita, adalah budaya yang membuang masa, melemahkan badan dan selalu melambatkan keupayaan mental kita. Amalan hidup tradisional seperti hasrat dan matlamat pengeluaran, yang hanya bersifat "cukup makan" atau untuk keseronokan, dan tidak mengambilkira konsep menabung dan pelaburan, merugikan kita dari segi komersial dan ekonomi. Keadaan yang sama juga timbul daripada proses pengeluaran yang mana kos marginal tidak ada. Sebaliknya, kos keseluruhan dan penyertaan maksimum dianggap sebagai faktor yang paling penting. Di dalam keadaan-keadaan seperti ini, masyarakat KDMR tidak sedar kehilangan daya saing dari segi ekonomi.

6. KEKURANGAN INSTITUSI DAN KEPIMPINAN YANG PROGRESIF

  Satu lagi faktor yang penting ialah kekurangan institusi dan kepimpinan yang progresif. Dari dahulu sehingga sekarang, masyarakat KDMR hanya berminat untuk menjadi ahli-ahli politik, peniaga-peniaga kecil dan kakitangan kerajaan. Mereka berbuat demikian tanpa sokongan mana-mana institusi. Institusi yang mereka ketahui hanyalah parti-parti politik, persatuan-persatuan (atau persatuan kebudayaan) atau agensi-agensi kerajaan. Oleh sebab itu, mereka tidak mengetahui bagaimana menyatu-padu dan bersatu-padu di antara mereka kerana kekurangan sokongan institutional tentang bagaimana membawa perubahan dan perkembangan positif. Pembentukan institusi terutama sekali institusi yang progresif adalah satu keperluan asas untuk kemajuan dan pembangunan, kerana tanpa institusi berkenaan kita tidak dapat pergi jauh.

  Kita perlukan penyelidikan dan analisis tentang keadaan dan masalah, kita juga perlukan jentera untuk menjana dan melaksnakan segala idea-idea. Kita juga memerlukan institusi latihan dan pembelajaran. Selain dari itu, kita juga memerlukan pemimpin-pemimpin yang berpandangan jauh dan bukannya pemimpin yang masih bertaut kepada mimpi indah masa lampau apatah lagi mereka yang hanya menghabiskan tenaga dan sumber-sumber untuk menyalahkan dan mencari jalan menghukum atau mencela pemimpin-pemimpin yang lain. Kepimpinan secara mencela dan menghukum bukan cara penyelesaian mahupun cara menangani masalah kita. Institusi-institusi dan pemimpin-pemimpin progresif adalah wajib sekiranya kita ingin maju. Hanya sedikit hahaja institusi yang ada hubung kait dengan KDMR pada masa ini. KDI, Yayasan Murut (tidak aktif), Yayasan Pembangunan Insan (PDF), PACOS, INDEP, KCCI, dan sebilangan kecil organisasi komersial atau korporat yang dimiliki dan dijalankan oleh personaliti KDMR. Malangnya, institusi-institusi seumpama itu seringkali disalahtafsirkan dan tidak mendapat sokongan yang padu dari masyarakat kerana sikap cemburu dan mentaliti ketam, seperti kita jelaskan sebelum ini.

7. SIKAP
  Masyarakat KDMR menderita daripada masalah sikap. Sikap negatif seperti berfikiran "tidak apa", "tunggu dan lihat", berlengah-lengah dan sebagainya. Kurangnya tindakan positif dan berfikir positif.

MEMBENTUK MASA DEPAN
  Setelah melihat masalah-masalah yang membelenggu kita, maka marilah membincangkan bagaimana untuk meyelesaikan masalah-masalah kita dan memulakan usaha membentuk hari esok. Sebab-sebab yang telah dikenalpasti dan bincangkan di dalam kertas ini belum menyeluruh. Kita hanya membincangkan punca-punca utama. Bagaimanapun, ianya adalah memadai bagi tujuan perbincangan dan memikirkan bersama langkah-langkahnya.

1.1 LANGKAH-LANGKAH TERTENTU PERLU DIAMBIL SEBELUM KITA DAPAT MERANGKA IDEA-IDEA TERTENTU DAN RANCANGAN-RANCANGAN UNTUK MASA DEPAN

  1. Langkah pertama ialah kesedaran dan penerimaan kelemahan dan realiti masyarakat kita pada masa kini.
  2. Langkah kedua ialah memupuk keinginan untuk mencari jalan penyelesaian. Kita menyedari masalah kita dan mengetahui bahawa kita adalah sebahagian daripada masalah tetapi melainkan kita ada keinginan untuk mencari jalan penyelesaian, masalah itu tetap tidak berubah.
  3. Langkah ketiga ialah berkomunikasi, runding, berkongsi dan berbincang. Inilah kita sedang kita usahakan sekarang. Tetapi, kita masih perlu banyak berkomunikasi.
  4. Hanya selepas langkah-langkah di atas telah diambil barulah kita boleh bergerak ke arah membuat cadangan-cadangan tertentu. Langkah-langkah di bawah adalah dicadangkan.
1.2. KEMANAKAH ARAH KITA DARI SINI?
  1. Membentuk Wawasan Bersama. Apa yang kita ingin jadi dan di mana kita hendak pergi dari sini?
  2. Membentuk Jentera Bersama (a common vehicle) - Bagaimana kita boleh sampai ke situ?
  3. Membentuk dan melaksanakan Strategi Bersama (common Strategi)
  4. Menubuh dan menyokong Institusi-Institusi Progresif-membentuk mekanisma.
  5. Merangka pelan tindakan yang strategik untuk menyelesaikan setiap permasalahan - politik, ekonomi dan sosio -budaya.
1.3. CADANGAN
a) Ekonomi
  • Memahami NEP, DEB dan polisi kerajaan yang lain dan tahu apa yang mereka tawarkan, khususnya kepada bumiputera.
  • Menubuh Pusat Penerangan Perniagaan atau Help Me Business Centre untuk masyarakat KDMR.
  • Membentuk Dewan Perniagaan KDMR
  • Membentuk jaringan atau rangkaian kerja (net work) untuk perhubungan antara satu dengan lain. Ini juga boleh dilakukan dengan menggunakan atau mengubah-suai rangkaian yang sedia ada.
  • Berurus - niaga sesama sendiri.
  • Buat tumpuan kepada penggunaan dan pemilikan tanah. (Cari jalan untuk menukarkan Tanah Native untuk ekonomi dan pengeluaran yang lebih baik)
  • Beri pendidikan dan memodenkan para petani kita.
  • Ubah sikap kita
  • Tubuhkan pusat-pusat latihan dan penyelidikan.
b) Sosio-Budaya
  • Ajar dan cakap bahasa ibunda.
  • Galakkan penulisan dalam bahasa KDMR
  • Tubuhkan Pusat Biodiversiti di KDI
  • Perbanyakan penyelidikan dan pembangunan
  • Lebih banyak usaha persefahaman
c) Politik
  • Bubar atau gabungkan semua parti politik yang dipimpin oleh KDMR.
  • Bersatu di bawah satu parti sahaja.
  • Lupakan masa lampau. Tumpukan perhatian untuk sekarang dan untuk masa akan datang.
  • Teruskan berkomunikasi

  Setiap masalah ada jalan penyelesaian. Kita memang bermasalah dan tidak gembira dengan keadaan sekarang. Adalah sangat baik kerana kita mengakui dan menerima masalah ini sebagai masalah kita bersama. Adalah lebih juga kerana kita menyalahkan diri kita sendiri terhadap keadaan kita daripada menyalahkan orang lain. Dengan demikian kita akan bertanggungjawab terhadap keadaan masa depan kita sendiri. Kita harus belajar dari segala kesilapan kita dan terus berusaha memperbaiki diri sendiri dalam meniti jalan ke arah esok yang lebih cerah. Mungkin kita memerlukan sedikit disiplin diri, perkongsian dan komunikasi sesama kita. Kita perlu lebih objektif dan realistik tanpa terlalu mengorbankan nilai-nilai murni budaya kita. Sudah pasti kita memerlukan lebih banyak usaha untuk kebaikan kita sendiri dan kurangkan sikap pergantungan. Kita harus menggunakan secara kreatif kekuatan kita sebagai sebuah masyarakat dan menukarkan kekuatan tersebut menjadi faedah politik dan sosio-ekonomi. Kita mesti memberi tumpuan yang lebih kepada sektor ekonomi dan pendidikan. Kita mesti saling mendorong antara satu sama lain demi untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Kalau kita bersatu hati dan berganding bahu, seiring sejalan, impian ini tetap menjadi kenyataan dan secara khususnya pola politik rakyat Sabah akan pulih dan menjadi baik.



Parti Republik Sabah vs Parti Demokrat Sabah
  Bubarkan semua parti yang ada di Sabah tanpa ada parti-parti yang mendominasi suatu keadaan tertentu. Kita sudah mendapat kerangka fikiran melalu rentetan sejarah politik Sabah sebelum ini. Di mana sistem Parti Tunggal yang wujud di Sabah telah memberikan masalah kepada pemimpin politik Sabah sendiri dan juga sistem Parti Perikatan juga tidak berkesan kerana impilimintasi yang tidak sihat dilakukan. Masalah terbesar yang timbul dalam politik Sabah adalah CAMPUR TANGAN para pemimpin Malaya yang mencabul kedaulatan Perjanjian Persefahaman semasa pembentukan Malaysia melalui "20Perkara".

  Setelah menyedari punca masalah yang berlaku, maka tiba masanya para pemimpin politik dan rakyat Sabah secara keseluruhan mengubah pola fikir di tampuk lama kepada suatu pemikiran yang baru. Bersikap liberal dalam hal-hal tertentu, kikiskan sentimen agama dan budaya dan bentuk jati diri sebagai penduduk Sabah tulen.

  Sudah tiba masanya Sabah wujudkan sistem politik seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Great Britian. Perlunya wujud parti politik berbilang bangsa yang menyatupadukan rakyat Sabah. Sudah tiba masanya tindakan matang perlu dilakukan segera sebelum Pilihan Raya Umum Malaysia yang ke-14.

  Ramai pemerhati politik Sabah atau timbul cerita-cerita 'kedai kopi' mengenai perlunya kita wujudkan hanya dua parti perikatan yang besar di Sabah, iaitu Parti Demokrat Sabah dan Parti Republik Sabah. Rakyat Sabah dan khususnya para pemimpin perlu mempelajari sejarah perkembangan sistem politik Eropah sehingga mencapai tahap demokrasi yang memberikan inspirasi masyarakat global. Namun, jika perkara ini rakyat Sabah belum mampu mencapainya kerana tahap pemikiran yang terlalu jauh jurangnya dengan pemikiran orang-orang barat, sekurang-kurangnya fahami dan bertindaklah sesuai dengan kerangka fikiran yang dicetuskan oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan melalui sistem GABUNGAN parti.

  USA-GABUNGAN (United Sabah Alliance) adalah alternatif terbaik dan praktikal pada masa kini. Mungkin pada peringkat awal hal 'membubarkan parti tempatan' sedia ada akan menjadi hangat dan akan menimbulkan suatu masalah tertentu, namun tiada pilihan lain PENGORBANAN adalah tuntutan utama bagi mengembalikan kedaulatan Sabah dan terlepas dari cengkaman penjajah Persekutuan Tanah Melayu melalui parti UMNO-BN. USA-GABUNGAN akan ada satu jawatankuasa khas bertindak dan memegang kuasa dalam urusan pengagihan kerusi untuk ditandingi oleh komponen parti dalam pilihan raya akan datang. Jawatan Kuasa Bertindak ini diwakili oleh setiap komponen parti. Melalui lembaga khas tertinggi yang disebut sebagai "Presidential Council" inilah yang akan membuat segala keputusan bersama untuk kebaikan bersama.

  Parti-parti politik yang bergabung dengan USA-GABUNGAN ini akan memperjuangkan perkara yang sama, iaitu; "Autonomi penuh", "20 Perkara", "Dasar berlandaskan 1 Country, 2 System", "Sabah IC", "Hak Anak Negeri/NCR Selama-lamanya", "Perlembagaan Baru", "Mengkaji Hak Minyak".

  Sebagai langkah pertama sebelum politik Sabah boleh mencapai pola politik Eropah, maka sistem politik yang ada sekarang dalam United Sabah Alliance perlu direalisasikan terlebih dahulu. Untuk melakukan perkara ini adalah kembali kepada asas utama iaitu "tolak ansur, persefahaman, toleransi, sikap seperti semut dan saling mempercayai.

  Apabila Sabah kembali kepada negara yang berdaulat di dalam Malaysia sebagaimana kerangka awal Perjanjian Malaysia 1963, maka Sabah mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan arah tuju sendiri, samada mahu membangun di dalam Persekutuan Malaysia atau Sabah akan membuat satu referendum untuk keluar dari gabungan Malaysia untuk berdiri sebagai sebuah negara dan kelak akan tersenarai sebagai salah sebuah negara yang menyertai Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Bersama-sama kita realisasikannya.

  Kembalikan semangat tahun 1985 rakyat menggegarkan Sabah dengan kesatuan yang jitu dari rakyat sendiri. Semangat 85 yang kita bawakan pada era ini bukan mengambil semangat PBS pada waktu itu, tetapi semangat perpaduan dan kebersamaan tanpa benteng-benteng pemisah melalui soal-soal agama, budaya suku dan bangsa. Pulihkan Sabah, selamatkan Sabah!

"Pergo et Perago" | "Sabah Maju Jaya"

DITULIS BERSAMA OLEH
Awis Francis & Andderias Kabin

Bahan-bahan rujukan
  • "Political Development In Sabah" (Datuk Dr. Herman J. Luping)
  • USNO dan Berjaya: Politik Sabah (Hamdan Aziz)
  • "Sabah Dalam Konteks Pembinaan Nasion Malaysia. Prosiding Seminar Kebangsaan Pembinaan Nation Malaysia" (Mohd Sarim Hj. Mustajab)
  • "Sabah Perubahan dalam Pembangunan" (Sabihah Osman)
  • "Politik dan Agama Di Sabah" (Ismail Yusoff)
  • http://www.sabahdaily.com
  • http://n5tandek.blogspot.my
  • http://panjikinabalu.blogspot.my
  • http://jendelasabah.blogspot.my
  • http://perotojr.blogspot.my/
  • http://www.freemalaysiatoday.com/
  • https://www.blogger.com

0 comments :

Post a Comment

Sila Berikan Komen ATAU Sumbangan Artikel/Bahan Anda:-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...