21 November 2015

Bersatu Dalam Autonomi Sabah

Suatu masa dahulu saya pernah merasa mual mendengar tentang politik apatahlagi untuk berbicara mengenainya kerana saya beranggapan bahawa politik adalah bohong dan orang yang berpolitik adalah orang yang berbohong. Itu kerana pemikiran saya sempit dan kurang berfikir atau tidak berfikir sama sekali.

Tetapi perubahan semasa nampaknya tidak mengizinkan kita untuk reda atau lari dari kesibukan politik. Setiap hari kita dihadapkan dengan pelbagai situasi kehidupan. Hidup di negara tercinta ini semakin sempit rasanya walaupun wilayah negaranya luas terbentang. Kebanyakan rakyat terasa semakin bertambah miskin walau tanah yang dipijak ini terdapat ‘emas’ dan fikiran seperti dihimpit walau perlembagaan memberikan kebebasan berfikir. Maka kugagahi juga diri ini untuk masuk gelanggang politik walau gelanggang yang kumaksudkan ini hanya gelanggang politik kedai mamak. Saya berfikir bahawa setiap orang tidak harus mengelak daripada berpolitik. Berpolitik soal politik, berpolitik soal ekonomi, berpolitik soal sosial dan berpolitik soal agama. Kemanakah harus kita sembunyikan diri? Tanpa mengira usia, status dan jantina, harus tahu berpolitik. Ringkasnya sebahagian atau mungkin keseluruhan kehidupan kita dipengaruhi oleh politik kerana politik bermaksud proses tingkahlaku untuk membuat sesuatu keputusan.

Ditokok tambah dengan kebimbangan, apakah bangsaku ini dapat bertahan dalam arus dunia global yang semakin deras dan sengit persaingannya. Di negeri Sabah (dahulu adalah sebuah wilayah negara) yang makmur dan bertuah ini jelas terlihat persaingan antara bangsa (bukan antara negara). Maksudnya diterdapat pelbagai kaum dan etnik yang berbeza-beza dan saling bersaing dalam dunia politik, ekonomi dan sosial. Persaingan antara kaum dan etntik sedia ada bertambah seri dengan kehadiran kaum-kaum migran kemudian seperti kaum Melayu Malaya, Cina Malaya, India Malaya, Bugis, Jawa dan beberapa bangsa-bangsa lain yang datang selepas Sabah merdeka. Jika tidak disusunatur tataan persempadanan kaum-kaum di atas maka akan akan wujud jurang pemisah antara kaum-kaum ini. Jurang ini akan mencetuskan prasangka buruk antara sesama kaum. Mungkin suatu masa kelak akan tercetus permusuhan antara kaum dan lebih parah adalah pembunuhan sesama atau antara kaum seperti yang berlaku di negara-negara lain. Kita tidak perlu pergi jauh untuk belajar, perhatikan sahaja apa yang berlaku di negara-negara jiran kita. 

Sebab itu Sabah perlu sebuah kerajaan yang mandiri iaitu sebuah kerajaan yang diwakili pelbagai kaum untuk berkuasa penuh dalam merangka dasar berkaitan hak-hak Sabah. Ya betul, kita mempunyai kerajaan sedia ada yang dapat berfikir untuk kebaikan Sabah seluruhnya namun ini tidak cukup kerana segala keputusan politik hanya berat sebelah dan lebih menguntungkan rakan kongsi Persekutuan Melayu (Malaya). Ayuh anak muda Sabah, anda adalah pembentuk masa depan Sabah yang terbaik dan gemilang. Jangan bosan dengan perjuangan menuntut hak anda. Jangan kecewa dengan politik semasa. Hadapi kenyataan, sedari hak anda dan berikan keputusan muktamad tanpa dipengaruhi oleh manisnya gula-gula yang hanya sementara sahaja. 

Sebab itu saya berleter ini pun kerana mahu berpolitik. Saya mahu rakan-rakan, adik-adik, abang-abang dan semua rakyat Sabah bersatu dalam autonomi Sabah. Saya mahu bagi tahu kepada anda bahawa autonomi adalah pilihan yang terbaik setakat ini. Autonomi bukan soal mahu meninggalkan Malaysia tetapi soal kuasa lebih kepada Sabah sebagai sebuah negara. Apa yang ditakutkankan, kita bukan mahu berperang guna pisau, senepang AK47, meriam bazoka atau apa-apa senjata canggih di dunia ini. Kita cuma berperang guna mulut dan pena yang akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk undi autonomi. Autonomi bukan kempen membenci kerajaan atau memburukkan mana-mana parti politik namun autonomi adalah suara hati setiap rakyat sabah yang mahu merdeka minda politiknya. 

Suara autonomi ini jangan dipandang ringan saudara-saudari. Autonomi adalah penyelesaian terbaik kepada pembentukan negara bangsa Sabah merdeka. Setiap anda diperlukan bagi menentukan masa depan Sabah. Sama ada anda adalah suku kaum KDM, Bajau, Cina, Melayu, India, Bugis, Jawa, Suluk atau apapun bangsa anda marilah sama-sama membentuk autonomi Sabah. 

Setiap wilayah bangsa menurut sejarah sering berubah-ubah. Pembentukan sesebuah wilayah merdeka (mendiri) teracuan oleh persefahaman di antara kaum-kaum atau bangsa yang menduduki wilayah itu. Kerajaan Sabah mesti diterajui parti Sabah. Tidak boleh dari Malaya atau dari Sarawak kerana dari segi teknikalnya, parti dari luar tetap dikawal oleh ketua dari luar. Jika parti Sabah sudah menguasai kerajaan Sabah, sebenarnya perkataan “menuntut autonomi” tidak sesuai. Sebagai kerajaan kita hanya perlu melaksana kuasa itu. Contohnya sistem pendidikan, imigresen dan sumber galian kita. Bahkan kita boleh halang Petronas ambil minyak Sabah. Petronas boleh ambil tindakan mahkamah, tetapi mana besar antara syarikat atau sebuah kerajaan? Sabah wajar menstruktur semula sistem pentadbiran seperti mengembalikan semula gelaran Yang Dipertua Negara, melaksana pembahagian wilayah yang berstatus 'negeri' yang ada kuasa pentadbiran sendiri.

Rakyat Sabah yang lahir sekitar tahun 60an yang menjadi pemimpin-pemimpin politik dan masih berpeluang hidup pada masa ini dapat menceritakan segalanya bagaimana keadaan pentadbiran Sabah, di mana ketika itu berdiri dengan status sebuah negara. Mereka tahu bagaimana Sabah mengurus sumber kewangan, pendidikan, imigresen serta hasil bumi Sabah. Mereka boleh bandingkan baik buruknya semasa Sabah sendiri yang mengelola semua hal tersebut dan selepas wujudnya campur tangan kerajaan Kuala Lumpur yang telah memanipulasi segala keistimewaan Sabah. Perkara ini menyebabkan status Sabah dalam Malaysia bukan lagi sebagai rakan kongsi, tetapi di bawah ketiak pemimpin-pemimpin politik dari Kuala Lumpur (Persekutuan Tanah Melayu). 

Sejarah politik Sabah mencatat bahawa tahap kritikal yang tidak disedari oleh pemimpin-pemimpin politik Sabah atau sengaja dilakukan sebagai suatu kompromi bagi kepentingan peribadi dan pihak tertentu, di mana mereka telah meminda lima (5) Perlembagaan Sabah yang merupakan immuniti (kekebalan hak-hak dan kuasa Sabah) seperti yang terkandung dalam Memorandum 20Perkara, Laporan IGC 1962, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963. Pindaan Undang-undang tersebut meliputi kuasa Ketua Menteri Sabah, Yayasan Sabah, Tanah, Hutan dan Perlombongan. Pada waktu Kerajaan BN-UMNO membentangkan pindaan undang-undang tersebut, satu-satunya pemimpin Sabah yang tegas dan lantang bersuara membantah pindaan undang-undang tersebut adalah Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. Pemimpin-pemimpin politik Sabah yang lain hanya menutup mata dan telinga kepada hal ini sehingga hari ini rakyat Sabah sudah semakin merasakan keburukannya. Kuasa pentadbiran Sabah, pemilikan dan pengurusan tanah, kuasa ketua menteri dan hal-hal kebajikan Sabah bukan lagi diurus secara langsung di Sabah, tetapi sentiasa "merujuk kepada Kuala Lumpur/Putera Jaya". Bermakna kita sudah kehilangan kuasa autonomi dan tidak dapat bergerak secara bebas sebagai kerajaan yang berstatus negara sebagai rakan kongsi membentuk Persekutuan Malaysia. Tanpa disedari, Sabah dilepaskan oleh Kerajaan British dari jajahan mereka dan diambil alih oleh Persekutuan Tanah Melayu yang pada mulanya hanya mempunyai 11 buah negeri (Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis). Kini Sabah dan Sarawak bukan lagi sebagai rakan kongsi yang mempunyai kuasa autonomi dalam Persekutuan Malaysia, tetapi menjadi negeri yang ke-12 dan 13 negeri dalam jajahan Persekutuan Tanah Melayu dan bersembunyi di balik nama “MALAYSIA”. 

Sebagai rakyat Sabah yang sudah disedarkan, betapa pentingnya kuasa autonomi ini dilaksanakan kerana hal ini bukan sepatutnya dituntut, tetapi harus dilaksanakan sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan beberapa dokumen perjanjian persefahaman semasa pembentukan Malaysia. Kitalah yang perlu memikirkannya sekarang, samada mahu menikmati keistimewaan kerajaan Sabah yang sebenarnya atau mahu terus berada di bawah ketiak pihak penjajah. 

Jika autonomi dilaksanakan, kerajaan Sabah 100% berkuasa mengatur sumber, 100% berhak membuat keputusan yang berkaitan kepentingan kerajaan Sabah, 100% boleh mengurus kekayaan dari hasil bumi Sabah sendiri, 100% boleh berbelanja dengan sistem ekonomi yang baik, 100% boleh menguruskan cukai, di mana rakyat dan kerajaan Sabah menikmati hasilnya secara saksama. 90% lebih menguntungkan diri sendiri sebagai rakyat Sabah dan 10% boleh difikirkan bagi orang lain. 

Tetapi, bila rakyat Sabah memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu bertindak dari sekarang, maka Sabah akan berterusan berada di bawah ketiak orang lain sehingga hak-hak, hasil bumi akan habis dan pribumi Sabah berkemungkinan besar akan menjadi pelarian di bumi sendiri. Sebab bila kita memilih untuk berada di bawah ketiak orang lain, 100% kerajaan dan rakyat Sabah akan terus merayu mengemis bantuan dari orang. 100% segala perkara perlu bertanya dan merujuk kepada orang lain, 100% Sabah akan terus kekal sebagai ‘negeri’ yang dilabelkan termiskin di Malaysia, 100% tidak mampu berbelanja mengikut citarasa yang diperlukan akibat kekangan ekonomi yang tidak menentu, 100% hasil cukai kita dibayar atau diserahkan kepada orang lain, 100% berharap pada orang lain dan 5% milik kita sendiri manakala 95% diberikan kepada orang lain. 

Salah satu tindakan yang perlu kita lakukan sebagai rakyat Sabah yang prihatin pada masa kini ialah dengan menyuarakan kemelut dan masalah yang kita hadapi kepada badan kemanusiaan antarabangsa dengan menurunkan tandatangan anda melalui petisyen ini ke meja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Klik di sini. Sementara menantikan Pilihan Raya Umum Malaysia akan datang bantulah rakan-rakan yang lain dengan menjelaskan mengenai autonomi Sabah, sejarah Sabah dan hak keistimewaan Sabah yang dirampas oleh orang lain dari kita. 

Andderias Kabin 
11/11/2015

0 comments :

Post a Comment

Sila Berikan Komen ATAU Sumbangan Artikel/Bahan Anda:-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...