08 November 2014

JANGAN CAKAP PASAL AGAMA, SENSITIF!!

Oleh: Awis Are-Wish

  Apa masalahnya kita bicarakan soal beragama? Apa yang sensitif bila membicarakan hal ini. Benar! hal tersebut akan menjadi suatu yang sensitif jika perbincangan itu merujuk kepada soal-soal akidah, doktrin dan dogmatika suatu agama. Hal itu akan menjadi sensitif jika diperdebatkan dengan akal yang kosong dan cetek pengetahuan kepada agama tertentu. KENAPA pola fikir rakyat Borneo sangat takut atau dengan cepat mengatakan hal ini “SENSITIF” untuk dibincangkan? Tidak berpengetahuan?



  Dalam SSKM, apabila Doris Jones selaku peneraju perjuangan tersebut menimbulkan isu ini, maka pelbagai reaksi yang timbul melalui ‘posting’ tersebut. Sangat kelihatan bahawa daya dan cara berfikir mereka sangat cetek memahami suatu fakta dan data. Di mana maksud tersebut dan keadaan yang berlaku di Sabah di beberapa tempat mengenai hal pengislaman beramai-ramai dilakukan dengan cara yang tidak dapat diterima oleh masyarakat Borneo. KENAPA? Kerana jelas pencabulan hak asasi beragama di Sabah & Sarawak sudah tidak dihormati. Kita tidak melarang individu tertentu untuk menganut mana-mana agama, sebab hal itu adalah hak dan pilihan masing-masing.


  Group SSKM yang wujud di Facebook menjadi platform pendidikan untuk memberitahu rakyat Borneo bagi memahami apa itu “Perkara 20 (Sabah) & 18 (Sarawak)”, “Perjanjian Malaysia 1963”, dan fakta-fakta sejarah Negara Sabah dan Sarawak yang tidak pernah diajarkan di alam persekolahan sistem pendidikan Malaysia dan tidak pernah didedahkan di mana-mana media cetak dan penyiaran kerajaan. Selama 51 tahun para pemimpin politik Malaya telah berusaha menyembunyikannya dan memanipulasi fakta tersebut kepada rakyat Borneo. 



  Berbalik kepada isu yang dikatakan ‘sensitif untuk dibincangkan’, kenapa boleh menjadi sensitif? Berbincang tentang hal beragama sebenarnya TIDAK SENSITIF bila yang berbincang itu berpengetahuan dan tahu guna akal di dalam berkata-kata dan memahami isu yang sedang diperkatakan. 

 Isu yang SSKM perjuangkan dan para nasionalis Borneo, ialah “PERKARA 1 - Agama” di dalam perkara yang ada dalam Perjanjian Malaysia 1963. Kenapa perkara ini menjadi perkara nombor satu? Kerana hal ini sangat penting untuk diperhatikan. 

   Perkara 1 ini harus dibincangkan, kerana apa yang kita lihat senario berlaku di Sabah khususnya banyak perkara yang melanggari “Kedaulatan Undang-Undang” melalui rukun negara. Kita tidak membantah bahawa agama Islam itu sebagai agama kebangsaan Persekutuan Malaysia. Tetapi lakukanlah dengan cara yang betul dan dapat diterima akal. Kita bukan membicarakan soal Islam adalah benar dan Kristian adalah benar. Agama hanyalah agama, dan tidak menjamin keselamatan akhirat kepada manusia. Tetapi manusia secara peribadi di dalam agama itulah saja yang dapat menentukannya. Agama boleh dipermainkan di mata manusia, jangan hairan jika sebahagian mereka yang bergelar Pope, Paderi, Rahib, Katekis, Pastor, Evangelis, Penatua dan sebagainya hanya berdiri di balik gelar tersebut sedangkan hidupnya jauh dari jalan kebenaran? Begitu juga dengan Islam, di mana kelihatan bersongkok, bertudung, bersolat tiap hari malah bergelar Imam, Haji, Ustaz, Ustazah, Kiyai, dan sebagainya tetapi tiap hari mengeluarkan kata-kata hasutan, memaki, menghina dan melakukan hal-hal yang jahat?

   Point yang dibicarakan oleh SSKM mengenai agama, bukan soal keselamatan, etika dan martabat agama tersebut. TETAPI di mana praktikknya “Kedaulatan Undang-Undang”, di mana praktikknya “Keluhuran Perlembagaan”, di mana praktikknya “Kesopanan dan Kesusilaan” antara sesama manusia? Kenapa melaksanakan hal beragama menimbulkan sakit hati antara sesama dan tidak dapat diterima dengan akal sihat? SEBABNYA, Kerana kehilangan rasa hormat antara sesama manusia, hidup tidak bersusila dan tidak sopan.

   APA SEBENARNYA YANG SENSITIF? untuk dibincangkan, dalam kontek Malaya, Sabah dan Sarawak? Jika kita melihat gambar seperti di bawah ini, di mana sebenarnya yang SENSITIF? Berdaulatkah undang-undang yang dipraktikkan di Malaysia?


Pengislaman dengan cara TIDAK BERETIKA dan melanggar tatasusila beragama
dan mencabul kedaulatan undang-undang

   Apa sebenarnya yang perlu kita lihat sebagai isu sensitif? Sekali lagi, hak untuk memilih mana-mana agama untuk dianuti adalah BEBAS di Sabah/Sarawak. Walaupun agama Islam adalah agama yang telah ditetapkan sebagai agama kebangsaan, TETAPI ‘budaya beragama’ di Malaya tidak boleh diserapkan di kalangan rakyat Borneo.

   Apa yang perlu kita buat sekarang adalah, menentang ketidakadilan dalam pelaksanaan undang-undang dan hak-hak kita dipertikaikan. Kita mahu menuntut agar Perkara 1 berkaitan Agama dimartabatkan sesuai dengan perjanjian. TIDAK BERMAKNA, bila hal ini dituntut maka kita akan berada di bawah pemerintahan Kristian atau agama lain, TIDAK! Biarlah kita rakyat Borneo harmoni, bebas memilih agama sesuai dengan pemahaman yang benar dan dilakukan dengan bertatasusila hidup bermasyarakat.
* Pergo Et Perago  /  Dum Spiro Spero

3 comments :

Post a Comment

Sila Berikan Komen ATAU Sumbangan Artikel/Bahan Anda:-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...