Kaum Kadazan-Dusun juga dikenali sebagai "Momogun" atau "Mamasok" yang bermaksud "orang asal" ataupun "orang asli". Kaum etnik Kadazan-Dusun ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya.
Pada mulanya etnik “Kadazan” dan “Dusun” adalah dua etnik yang berbeza dan masing-masing dengan keberadaannya. Akibat daripada permasalahan politik moden, dua etnik ini seringkali bertelingkah. Untuk menyelesaikan masalah ini agar tidak berlarutan, maka istilah “Kadazan-Dusun” diwujudkan dengan menggabungkan kedua-dua etnik ini serta beberapa etnik kecil yang lain. Sehingga kini istilah yang lebih sinonim diketahui masyarakat moden di Sabah ialah masyarakat “KDMR” (Kadazan-Dusun-Murut-Rungus) dengan pemahaman yang lebih luas bahawa “KDMR” ialah gabungan daripada 27 suku orang asal yang terdapat di Sabah.
Huguan Siou Suku Kadazan-Dusun
Kaum Kadazan-Dusun juga mempunyai ketua suku seperti suku-suku yang lain di dunia ini. Ketua bagi Kaum Kadazan-Dusun disebut sebagai “Huguan Siou” (Paramount Leader) yang membawa makna “Pemimpin Utama/Agung”. Pertabalan sebagai Huguan Siou dilakukan dengan upacara dan ritual khusus oleh kumpulan Bobolian dan dilakukan di Nunuk Ragang, Ranau.
Huguan Siou adalah dipilih berdasarkan keperibadiannya yang berani, gagah, disegani dan dihormati oleh seluruh sukunya. Dia sanggup lakukan segalanya demi menjaga sukunya daripada ditimpa sebarang masalah. Huguan Siou juga bertindak sebagai satu institusi penjaga adat dan pelindung bagi sukunya. Pemimpin pertama yang diangkat sebagai Huguan Siou bagi masyarakat KMDR ialah Tun Fuad Stephens sehingga akhir hayatnya dalam kemalangan kapal terbang pada tahun 1976.
Tujuh tahun berlalu setelah kematian Tun Fuad Stephens sebagai Huguan Siou, masyarakat KDMR belum menemukan pemimpin utama mereka. Sehinggalah tahun 1984 Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan telah dipilih oleh Bobolian sebagai Huguan Siou sehinggalah hari ini (2016). Beliau dipilih kerana kelantangan dan keberaniannya menjaga masyarakat di Sabah dan secara khususnya bagi kaum KDMR. Joseph Pairin Kitingan bukan saja sebagai Huguan Siou kepada KMDR, tetapi juga dihormati oleh suku-suku lain di Sabah dan melihatnya sebagai pemimpin politik agung bagi Sabah ketika era awal tahun 80an-90an. Akibat dari kemasukkan parti UMNO di Sabah, perjalanan politik Sabah semakin kucar-kacir dan banyak masalah yang terjadi sehingga reputasi Huguan Siou tercemar, di mana Joseph Pairin Kitingan yang dilihat menjaga sukunya kelihatan gagal melakukan apa yang diharapkan. Sehingga tahun 2016, banyak masalah yang berlaku kepada masyarakat KDMR dan tiada suara serta tindakan dari Huguan Siou untuk melindungi suku di bawah jagaannya. Banyak tanah adat dirampas, hak-hak orang asal tergadai, suku yang terbesar di Sabah kini kelihatan diambang kehancuran oleh pendatang-pendatang asing yang semakin memonopoli banyak aspek yang sepatutnya untuk orang asal.
Suara tangisan dan rintihan masyarakat KDMR tidak diendahkan oleh Huguan Siou walaupun tanah adat mereka dirampas, dicerobohi sehinggakan kubur-kubur nenek moyang mereka turut dimusnahkan oleh jentera-jentera perompak yang tidak berperikemanusiaan. Reputasi Huguan Siou sangat tercemar
sehingga kata-kata berunsur negatif dan tidak sedap didengar dilontarkan oleh masyarakat KDMR dipelbagai tempat. Bukan saja melalui media cetak, tetapi melalui teknologi media massa. Kecanggihan teknologi moden mampu memperlihatkan rintihan, ketidakpuashatian, kemarahan dan kekesalan masyarakat KDMR kepada Huguan Siou dan ini sangat jelas di laman media sosial seperti Facebook, Tweeter, Instagram dan Whatsapp.
Keperibadian Huguan Siou pernah suatu ketika dicemari, hanya dengan “menabalkan secara lisan” Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke Sabah. Beliau juga disandangkan kain yang bertulis “Huguan Siou Malaysia”. Masyarakat KDMR bangkit marah dengan hal tersebut di mana rasa hormat serta pemahaman tentang Huguan Siou diperlekehkan. Hal ini juga Joseph Pairin Kitingan hanya mengambil sikap berdiam tanpa melakukan sebarang tindakan berdasarkan adat-istiadat yang berkaitan terhadap pihak-pihak tertentu berkenaan dengan Huguan Siou. Sebab seorang Huguan Siou bukan saja mempertahankan tanah adatnya tetapi cukup berpengetahuan dalam adat resam dan bertindak sebagai hakim untuk membuat sebarang keputusan kepada masyarakatnya. Berhubungan dengan kes penggunaan perkataan "Huguan Siou" kepada orang asing, Huguan Siou boleh duduk bersama dengan "Orang Tua Kampung" sebagai satu pasukan bagi membincangkan "Sogit" bagi perkara yang berlaku. Tetapi sikap berdiam diri Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan mengenai isu-isu yang berlaku, jelas memperlihatkan bahawa ketokohannya sebagai Huguan Siou menjadi tanda tanya oleh masyarakat KDMR dan rakyat Sabah secara keseluruhannya.
Siapakah Huguan Siou Selepas ini?
Penghujung bulan Julai 2016, satu catatan sejarah berlaku kepada Parti Bersatu Sabah (PBS), di mana Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan selaku Presiden parti dengan serta-merta meletakkan jawatan dan mempercayakannya kepada Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili sebagai Presiden PBS yang baru.
Walaupun parti-parti politik di Sabah tumbuh subur bagaikan cendawan dan parti-parti tempatan itu mendabik dada sebagai parti
yang akan menjaga masyarakat KDMR, parti PBS masih dianggap sebagai parti tempatan jauh lebih mampu mewakili masyarakat tersebut. Spekulasi boleh dibuat, jika selepas ini Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan melepaskan tanggungjawabnya sebagai Huguan Siou adakah akan diteruskan oleh Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili?
Hampir tidak ada bukti bahawa Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili mempunyai tanggungjawab menjaga masyarakat KDMR. Beliau tidak bersuara dalam kes rampasan tanah adat, hanya melepaskan batuk ditangga tentang kes-kes pendatang asing yang semakin merisaukan orang asal, malah kes yang paling serius sekalipun yang pernah terjadi kepada masyarakat Kampung Tombotuon, Kota Belud dia mengambil sikap berdiam diri. Adakah kredibiliti Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili sebagai Presiden PBS baru mampu memberi pengaruh kepada kumpulan Bobolian untuk menabalkannya sebagai Huguan Siou?
Pernah diluahkan oleh masyarakat KDMR bahawa Tan Sri Bernard Giluk Dompok adalah peribadi yang dilihat mempunyai kredibiliti menjadi Huguan Siou selepas Joseph Pairin. Namun luahan-luahan
tersebut hanyalah sementara, kerana Tan Sri Bernard Giluk Dompok lebih mengambil sikap terus berdiam diri selepas bersara dari arena politik melalui Parti UPKO dan namanya sehingga kini semakin pudar di mata masyarakat KDMR. Jika dibandingkan dengan Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, masyarakat KDMR lebih tahu siapa yang seharusnya dipilih.
Tapi berapa banyak buktikah bahawa Tan Sri Bernard Giluk Dompok bersedia bertanggungjawab untuk menjaga masyarakat KDMR sebagai pelindung dan penjaga adat? Ketokohannya tidak berterusan, dengan cara berdiam diri sehingga hari ini, maka kelihatannya beliau tidak dilihat sebagai seorang yang layak menjadi Huguan Siou.
Bagaimana pula dengan peribadi Datuk Dr. Jeffrey Kitingan? Adakah secara eksplisit bahawa masyarakat KDMR menolaknya sebagai Huguan Siou hanya kerana sejarah politiknya? Perlu dijawab secara berfakta, kenapa Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bertindak demikian. Sebab sejak kemunculannya di arena politik, dia sudah banyak bertindak demi untuk kebaikan masyarakat Sabah dan secara khususnya kepada masyarakat KDMR. Datuk Dr. Jeffrey Kitingan juga pernah ditangkap dan dihukum semata-mata melakukan tindakan kebaikan kepada masyarakat Sabah. Beliau menghabiskan masanya untuk menuntut, menyuarakan dan membongkar banyak penipuan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang mengambil hak-hak orang asal dan masyarakat Sabah secara amnya. Perjalanan politknya sangat lama dan telah melalui segala aral yang melintang demi untuk kepentingan dan kebaikan masyarakat Sabah. Sehingga hari ini (2016) beliau tidak pernah berhenti untuk melakukan hal tersebut.
Jika dilihat makna perjuangannya, adakah beliau tidak layak ditabalkan sebagai Hugua Siou? Atau masyarakat KDMR yang menjadi musuh politiknya mengambil alasan bahawa Huguan Siou ini bukan dilantik dari pengaruh politik, tetapi atas kuasa kumpulan Bobolian. Benarkah demikian? Jika Huguan Siou tidak berkaitan dengan dunia politik dan sepatutnya Huguan Siou tidak terlibat dengan politik, kenapa sejak tahun 50an lagi Bobolian tidak tegas dan tidak tepat memilih Tun Fuad Stephens dan tahun 1984 menabalkan Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan sebagai Huguan Siou, sedangkan mereka adalah orang-orang politik? Kenapa kumpulan Bobolian tidak diberi hikmat makrifat daripada “Diwato” untuk memilih peribadi yang bersih dari pengaruh politik? Tanggapi hal ini secara positif.
Sama-samalah kita melihat apa yang akan berlaku selepas ini.