20 October 2010

Bahagian 1: Pandangan Umum mengenai Sejarah Penterjemahan Alkitab Melayu

Oleh: Dr. Daud Soesilo

Tidak ramai yang tahu bahawa sebelum Alkitab diterjemah ke dalam Bahasa Cina, Tamil atau Tagalog, Berita Baik Matius telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh seorang saudagar Belanda bernama Albert Cornelisz Ruyl. Teks itu disiapkan pada 1612, setahun selepas Alkitab Inggeris Versi King James dihasilkan, dan dicetak pada 1629. Amat menarik diketahui bahawa Berita Baik Matius dalam Bahasa Melayu ini merupakan penterjamahan bukan-Eropah yang pertama untuk sebahagian Alkitab. Senaskhah penterjamahan Berita Baik Matius dalam Bahasa Melayu ini yang bertajuk: Iang Testamentum Baharu: Evangelium Mulkadus Bersuratnja Kepada Mattheum kini dipamerkan di Perpustakaan Awam Stuttgard, Jerman.

Ruyl meneruskan usaha penterjamahan Melayu dengan bantuan Jan van Hasel dan Justus Heurnius dan edisi Keempat-empat Berita Baik dan Kisah Rasul-rasul telah dicetak pada 1651. Setahun kemudian, Mazmur dicetak dalam Bahasa Melayu, disiapkan oleh Jan dan Justus. Selepas Kejadian diterjemahkan dan dicetak pada 1662, Rev Daniel Brouwerious seterusnya menghasilkan terjemahan Melayu yang lengkap untuk Perjanjian Baru pada 1668; namun demikian terjemahan ini terjejas kerana terlalu banyak menggunakan istilah pinjaman Bahasa Portugis. 

Melchior Leijdecker, seorang doktor perubatan Belanda yang mendapat latihan teologi, memberikan kita Alkitab Melayu pertama yang lengkap pada 1733. Beliau menterjemahkan Perjanjian Baru (dicetak pada 1731) dan seterusnya keseluruhan Alkitab, semasa beliau bertugas di Batavia (Jakarta sekarang) dengan bantuan jawatankuasa ulasan. Terbitan itu yang bertajuk: Elkitab, Ija itu segala Surat Perdjandjian Lama dan Baharuw telah dicetak di Amsterdam dalam tulisan Rumi. Dua puluh lima tahun kemudian, sebuah Alkitab Melayu lima-jilid dalam tulisan Jawi diterbitkan pada 1758.  Alkitab Melayu yang diterjemahkan Leijdecker merupakan titik permulaan yang penting dan kerja-kerja penterjemahan beliau kemudiannya disemak dengan terperinci sekitar abad ke 19 oleh sekumpulan penterjamah yang berpusat di Indonesia dan Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, di Indonesia pula, seorang mubaligh Belanda dari mazhab Mennonite bernama Hillebrandus Cornelius Klinkert mencetak keempat-empat Buku Berita Baik dalam Bahasa Melayu pada 1861 dan Perjanjian Baru pada 1863, dalam bahasa Melayu kasar ala Semarang, Jawa Tengah. Beliau dibantu oleh Encik Mumin di Kepulauan Riau, Sumatra. Mereka menterjemahkan Berita Baik yang disampaikan oleh Matius pada 1868, Perjanjian Baru pada 1870, dan kemudiannya keseluruhan Alkitab dalam Bahasa Melayu pada 1879. Oleh demikian, ini merupakan usaha utama yang kedua dilakukan untuk menterjemah kesemua enam puluh enam buah buku dalam Alkitab ke dalam Bahasa Melayu.

Di antara 1880 dan 1929, Pertubuhan Bible British dan Negara Asing (BFBS) melalui cawangannya di Singapura megembangkan lagi usaha-usaha penterjemahan Alkitab ke dalam Bahasa Melayu.

Usaha yang paling ketara merupakan kerja-kerja mubaligh LMS William Girdlestone Shellabear yang memberikan kita Alkitab Melayu pertama dalam Bahasa Melayu yang kini digunakan di Semenanjung Malaysia. Dalam versi ini, Yesus diberi nama Isa al-Maseh.

Kita juga mengingati Shellabear sebagai penterjemah yang menghasilkan Perjanjian Baru dalam Bahasa Melayu Baba.

Pada 1929 Pertubuhan Bible Netherlands, BFBS dan Pertubuhan Bible Kebangsaan Scotland menyatukan usaha mereka untuk menghasilkan sebuah Alkitab Melayu yang dapat memenuhi keperluan Semenanjung Malaysia dan Indonesia. Terjemahan baru ini bertujuan untuk menggantikan terjemahan Alkitab dahulu yang diterjemahkan oleh Leijdecker (1733), Klinkert (1879) dan Shellabear (1912). Untuk tujuan ini, seorang mubaligh Jerman bernama Werner August Bode, yang bekerja di Tomohon, Minahasa, menghasilkan Perjanjian Baru Melayu (1938), dan beberapa buku dalam Perjanjian Lama seperti Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan, Ulangan, Yosua, Hakim-Hakim, Rut, Mazmur.

Untuk memenuhi keperluan umat Kristian di Indonesia pula, Pertubuhan Bible Indonesia, yang ditubuhkan pada 1954, mencetak Terjemahan Lama "Old Testament" pada 1958, sebagai langkah awal sehinggalah terjemahan Alkitab Indonesia yang lengkap disediakan. Terjemahan ini mengandungi Perjanjian Lama yang diterjemahkan Klinkert (1879) dan Perjanjian Baru oleh Bode (1938). Sementara itu, Fr. J. Bouma dari Gereja Roman Katolik di Indonesia menghasilkan sebuah terjemahan yang baru dalam Bahasa Indonesia untuk Perjanjian Baru dan diterbitkan oleh Arnoldus di Ende, Flores pada 1964. Dr Cletus Groenen berusaha menghasilkan terjemahan Perjanjian Lama sehingga 1964 bila Gereja Roman Katolik memutus untuk memberhentikan projek penterjemahan mereka dan menyertai program penterjemahan Alkitab yang diusahakan oleh Pertubuhan Bible Indonesia.
  
Pada 1952, suatu pasukan diketuai oleh doktor Belanda J.L. Swellengrebel (1952-59) memulakan kerja-kerja penterjemahan untuk menghasilkan sebuah terjemahan Alkitab yang benar-benar memenuhi keperluan Indonesia. Dimulakan pada 1962, seorang Indonesia, Dr. J.L. Abineno, mengetuai pasukan ini sehinggalah projek ini diselesaikan. Perjanjian Baru dicetak pada 1971, dan terjemahan Alkitab keseluruhannya pada 1974. Ia juga termasuk edisi 'Deuterocanonical'. Versi ini yang diberi nama Terjemahan Baru "New Translation" (INT) merupakan terjemahan Alkitab Indonesia yang menyatupadukan segala mazhab Kristian. Kaedah penterjemahan yang dipraktikkan berdasarkan cara penterjamahan 'formal equivalence', di mana setiap usaha dilakukan untuk mengekalkan bahasa Alkitab asal sebaik yang boleh. 

Pada Oktober 1997 pula, Pertubuhan Bible Indonesia melancarkan Perjanjian Baru yang baru disemak berjudul Perjanjian Baru Terjemahan Baru edisi ke-2(INT97). Ini disediakan oleh sebuah pasukan yang terdiri daripada cendekiawan Alkitab yang mahir dalam gaya bahasa Alkitab Yunani . Lagi pun, pada peringkat akhir usaha penterjemahan ini, ramai cendekiawan Alkitab dan ketua-ketua gereja dari seluruh Indonesia berkumpul di Cipayung, Jawa Barat, untuk membincangkan edisi semakan ini sebelum teksnya dimuktamadkan.

Walaupun INT digunakan di gereja-gereja Malaysia, namun akhirnya kami sedar akan perlunya sebuah terjemahan Alkitab yang benar-benar sesuai untuk Malaysia, supaya Berita Baik dapat disampaikan dengan lebih tepat, tanpa kekeliruan atau salah faham yang mungkin timbul akibat adanya perbezaan antara Bahasa Indonesia dan Melayu. 

Pada waktu yang sama, Pertubuhan Bible Singapura, Brunei dan Malaysia (BSSBM) mencetak Perjanjian Baru Melayu dalam bahasa sepunya berjudulPerjanjian Baru: Berita Baik Untuk Manusia Moden pada 1974. Ia hasil usaha seorang paderi Malaysia Barat yang mempunyai latarbelakang dan pengalaman di Indonesia bernama Rev. Elkanah T. Suwito. Alkitab: Berita Baik Untuk Manusia Moden diterbitkan oleh BSSBM pada 1987. Terjemahan ini berdasarkan kaedah penterjemahan baru iaitu 'Dynamic/Functional Equivalence' yang menitikberatkan pemindahan fungsi dan erti bahasa Alkitab asal lebih daripada mengekalkan gaya bahasa yang asal.

Menggunakan kaedah penterjemahan yang baru ini, versi Alkitab Indonesia yang baru disediakan oleh suatu pasukan penterjemah. Hasil dari usaha ini, Today's Indonesian New Testament telah diterbitkan oleh Pertubuhan Bible Indonesia pada 1977. Justeru, Alkitab Kabar Baik Dalam Bahasa Indonesia Sehari-hari (TIV) diterbitkan pada 1985, dan edisi Deuterocanonical diterbitkan pada 1988. Terjemahan dinamik Alkitab Indonesia ini juga digunakan oleh sesetengah gereja di Malaysia. 

0 comments :

Post a Comment

Sila Berikan Komen ATAU Sumbangan Artikel/Bahan Anda:-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...