Dr. Daud Soesilo
Tidak lama selepas pengedaran edisi pertama TMV (1987), PBM telah dipelawa untuk menyemak terjemahan tersebut. Suatu mesyuarat telah diadakan dengan Jawatankuasa Bahasa PBM. Mesyuarat itu telah memutuskan untuk mengendalikan semakan tersebut khususnya untuk menangani kelemahan berikut (rujukan di bawah berdasarkan edisi TMV):
- Kesilapan ejaan atau kesalahan cetak, misalnya, perkataan mengikutdicetak sebagai mengikat, (Dan 3:21) ; Allan dan bukannya Allah. (Yes. 40:9)
- Corak yang terlalu mengikuti Alkitab Inggeris Berita Baik (GNB) – selalunya kata demi kata contohnya dalam Mrk 1:7 Aku tidak layak bahkan menunduk dan membuka tali kasutnya "I am not worthy even to bow down and untie his thongs."
- Penggunaan bahasa yang lebih mencerminkan Bahasa Indonesia daripada Bahasa Malaysia, misalnya barangsiapa lebih tepat jika sesiapa(Mrk 3:29) digunakan; mula, dan bukannya mulai (Mrk 1:21).
- Kesilapan penterjemahan, contohnya, Sabtu dan bukannya Sabat (Kel 20:8); contoh yang paling ketara boleh didapati di 1 Sam 24:4 berehatdan bukannya membuang air besar.
Suatu bengkel semakan telah diadakan di pejabat PBM di Petaling Jaya dalam bulan Disember 1989, di mana garis panduan yang patut digunakan oleh kumpulan penyemak telah dipersetujui. Ahli-ahli bengkel juga menyarankan untuk mendapatkan penyemak dan pembaca yang mewakili Malaysia Barat dan Timur kerana 78% daripada pengguna Alkitab Bahasa Malaysia adalah penduduk Malaysia Timur. Kerja-kerja semakan tidak bermula sehingga bulan Mei 1990. Sebaik ia dimulakan, mereka juga sedar bahawa, selain kategori di atas yang perlu dititikberatkan, mereka juga patut berusaha untuk memperbaiki istilah teologi termasuk nama-nama Tuhan.
Pasukan penyemak kami terdiri daripada tiga penyemak, beberapa peneliti dan pembaca serta seorang ahli gaya bahasa yang mewakili pelbagai mazhab di seluruh negara dan juga pemimpin-pemimpin gereja, ahli fakulti dari Seminari Theologi Malaysia (STM), Seminari Teologi Sabah (STS), dan Universiti Malaya, bersama beberapa pakar bahasa dan beberapa guru sekolah dan orang awam (bukan dari kalangan pastor) yang fasih dalam Bahasa Malaysia.
Perjanjian Baru dan Mazmur yang telah disemak telah diterbitkan dalam tahun 1995, dengan cetakan sebanyak 5,000 naskhah. Pada penghujung tahun 1996, edisi semakan Alkitab Berita Baik (TMV96) telah dicetak bersama dengan Buku-buku Deuterokanonika Bahasa Malaysia yang pertama. Ia telah dilancarkan dan ditahbiskan pada 25 Januari 1997 di Gereja Methodist Triniti di Petaling Jaya. Edisi ini laris dijual dan dalam bulan April 1997, PBM melaporkan bahawa terdapat kurang daripada 9,000 naskhah yang tinggal di dalam stoknya berbanding 35,000 naskhah yang telah dicetak (25,000 naskhah merupakan edisi Protokanon dan 10,000 naskhah edisi Deuterokanonika). Dengan itu, PBM merancang untuk mencetak semula TMV96.
Penambahan Nota Kaki Edisi pertama tidak mengandungi nota kaki atau rujukan silang. Namun demikian, nota kaki telah ditambah (misalnya, terjemahan alternatif, eksegesis, kebudayaan, sejarah dan geografi) serta rujukan silang berdasarkan Good News Bible dan Alkitab Bahasa Indonesia sehari-hari (reka letak baru BIS). Atas permintaan pembaca yang inginkan ciri harfiah teks asli, satu lagi jenis nota kaki telah diperkenalkan untuk mendedahkan istilah asal untuk menyatakan terjemahan harfiah bagi beberapa istilah utama. Contohnya, untuk kaedah penterjemahan dinamik/fungsian, frasa ‘the Kingdom of God’ atau ‘the Kingdom of Heaven’ telah diterjemahkan dengan membawa maksud asal konteksnya. Justeru, dalam beberapa kandungan teks yang berkenaan, frasa sebegini telah diterjemahkan seperti berikut a) ‘Pemerintahan Allah’ (Mat. 6:10, 33 dsb), b) ‘menjadi umat Allah’ (Mat. 13:38) atau c) ‘Dunia Baru Bapa-Ku’ dan ‘Dunia Baru Allah’ (Mrk. 14:25; Lk. 13:28 dbg).
Namun, untuk membantu mereka yang inginkan ciri harfiah istilah asalnya, nota kaki seperti “Harfiah: Kerajaan Allah” atau “Harfiah: Kerajaan Syurga”, telah diselitkan.
Tambahan pula, nota kaki yang serupa juga diselitkan untuk istilah-istilah teologi seperti kebenaran, benar, iman, rahmat, kesejahteraan, dan sebagainya. Komplikasi pula wujud dalam penterjemahan Alkitab Indonesia Terjemahaan Baru(INT) di mana dua istilah Yunani ‘aletheia’ dan ‘dikaiosune’ telah diterjemahkan sebagai satu istilah yang sama iaitu ‘kebenaran’. Justeru, mengikut kaedah penterjemahan dinamik/fungsian, istilah ‘aletheia’ telah diterjemahkan mengikut konteksnya seperti berikut a) ‘bukti yang benar’ (Yoh 5:31), b) ‘Allah sendiri’, atau ‘mengenal Allah’ (Yoh. 1:14; 8:32; 14:6), c) ‘sebagai Allah yang benar’ (Yoh. 4:23, 24), d) ‘kehendak Allah’ (Yoh. 3:21), e) ‘kesetiaan-Nya’ (Yoh. 1:17) atau f) ‘kemurniaan’ (Gal. 2:5), dengan nota kaki ‘Harfiah: kebenaran’. Proses yang serupa telah digunakan untuk perkataan ‘dikaios’ dan ‘dikaiosune’.
Penggunaan istilah ‘Allah’ Untuk menghormati keputusan sebulat suara yang telah dibuat dalam mesyuarat Ketua-ketua Gereja Malaysia tahun 1985 (yang ditaja oleh PBM) dan Perundingan Kuching antara Ketua-ketua Gereja tahun 1989 (yang ditaja oleh Persekutuan Kristian Malaysia (Christian Federation of Malaysia) mengenai penggunaan istilah ‘Allah’, PBM selaku suruhan Gereja-gereja Malaysia, mengakuri keputusan tersebut. Dari sudut ilmiah pula, istilah ‘Allah’ yang dipinjam dari Bahasa Arab sebenarnya serumpun dengan nama Tuhan dalam Bahasa Ibrani – ‘El’, ‘Elohim’, ‘Eloah’ seperti dalam Perjanjian Lama Ibrani. Penganut Kristian di Arab, sebelum wujudnya agama Islam, telah berdoa kepada Allah, sementara ‘Allah’ pula digunakan oleh penulis teologi Kristian dalam Bahasa Arab. Penggunaan istilah ‘Allah’ oleh penganut Kristian wujud sebelum adanya Islam. Tambahan pula, ‘Allah’ adalah nama Tuhan dalam Alkitab Bahasa Arab yang lama mahu pun yang moden (Versi Arab Terkini). Oleh itu, penganut Kristian di Mesir, Lebanon, Iraq, Indonesia, Malaysia, Brunei dan tempat-tempat lain di Asia, Afrika dan sebagainya, di mana bahasa yang digunakan ada hubungan dengan bahasa Arab, telah menggunakan istilah ‘Allah’ bila merujuk kepada Tuhan Pencipta dan Bapa kepada Tuhan Yesus Kristus. Akhirnya, dalam bahasa Melayu dan Indonesia, perkataan ‘Allah’ telah digunakan selama ini: pada mulanya dalam edisi cetak Injil Matius dalam Bahasa Melayu (Ruyl, 1629), kemudiannya dalam Alkitab Melayu lengkap yang pertama (Leijdecker, 1733), seterusnya dalam Alkitab Melayu lengkap yang kedua(Klinkert, 1879) dan terjemahan-terjemahan selepas itu.
Bahasa Istana Satu lagi perkara yang dipentingkan oleh pasukan penyemak ialah cara yang tepat untuk menterjemahkan bahasa istana secara dinamik/fungsian agar lebih jelas dalam bahasa harian. Mengikut definisi, bahasa istana bukannya bahasa umum yang biasanya digunakan. Dalam terjemahan bahasa Indonesia, bahasa istana lama tidak lagi digunakan memandangkan institusi diraja telah lenyap di negara itu. Namun, dalam terjemahan Bahasa Malaysia, bahasa istana sesuai dikekal dan diperkembangkan disebabkan pemerintahan beraja dan kesultanan Melayu masih diamalkan di Malaysia. Sebenarnya, bahasa kita sama ada lisan atau tulisan (termasuk akhbar harian dan majalah yang menggunakan bahasa umum) mengabadikan dan memuliakan bahasa istana. Memandangkan bahasa istana juga merupakan sebahagian daripada Bahasa Malaysia umum, pasukan penyemak, setelah berbincang secara panjang lebar dengan penyemak dan ahli gaya bahasa, memutuskan untuk menggunakan bahasa istana dengan berhati-hati, di mana berpatutan, terutamanya dalam teks yang membabitkan kehidupan di istana. Lagi pun, penterjemahan Melayu lama dalam tahun 1879 juga mencerminkan bahasa sebegini. Edisi pertama TMV juga menggunakan bahasa istana misalnya Mrk. 6: 21: ‘pada hari keputeraan Herodes’ berbanding dengan ‘pada hari keputeraan Raja Herodes’ (TMV96).
Kepentingan Seorang Ahli Gaya Pada keseluruhannya, hasil penterjemahan atau projek semakan bergantung sebahagian besarnya kepada kebolehan ahli gaya dalam memeriksa terjemahan tersebut dari segi huraian, kebolehbacaan dan kelancarannya. Hal ini lebih ketara dalam penterjemahan Alkitab dalam bahasa kebangsaan Malaysia memandangkan penduduk Malaysia Timur dan Barat bertutur dalam berbagai loghat yang amat berbeza antara satu sama lain. Contohnya, Bahasa Melayu Sabah dipengaruhi oleh Bahasa Melayu Brunei manakala bahasa agama Kristian di Malaysia Timur pula banyak dipengaruhi paderi, penginjil, pastor dan guru-guru Alkitab dari Indonesia. Namun, terdapat persamaan antara Semenanjung dan Malaysia Timur – kedua-dua kumpulan penduduk ini boleh mendengar radio dan menonton televisyen nasional. Justeru, mendapatkan ahli gaya yang mahir dalam hal komunikasi ini adalah penyelesaian yang paling berkesan. Seorang pemberita yang pernah berkhidmat dengan televisyen nasional dengan gembiranya menyahut cabaran untuk menjadi ahli gaya dalam projek semakan kami. Pengalamannya yang luas dalam bidang komunikasi masa telah membantu dalam menghasilkan sebuah terjemahan yang lancar dengan gaya bahasa yang boleh diterima di seluruh negara. Beliau juga berkhidmat sebagai salah seorang penterjemah Buku-buku Deuterokanonika Bahasa Malaysia.
Terjemahan yang Disemak Sepenuhnya Penting juga dijelaskan bahawa TMV96 bukanlah terjemahan Alkitab yang baru, tetapi sebuah terjemahan yang disemak sepenuhnya. Edisi semakan ini mengekalkan gaya terjemahan TMV (1987), di mana teksnya diterjemah mengikut kaedah dinamik/fungsian yang mementingkan makna isinya dan bukan bentuk. Ia juga penting ditekankan bahawa pasukan penyemak ini tidak ditugaskan oleh PBM untuk menghasilkan terjemahan harfiah sebagaimana yang dilakukan dengan versi Bahasa Inggeris RSV atau terjemahan harfiahAlkitab Indonesia Terjemahan Baru yang sedia ada. Malah, PBM telah merancang projek penterjemahan Alkitab Bahasa Malaysia harfiah tetapi ia hanya akan bermula pada masa akan datang.
0 comments :
Post a Comment
Sila Berikan Komen ATAU Sumbangan Artikel/Bahan Anda:-